Pada suatu malam, Nabi Ibrahim (AS) mendapat mimpi. Dalam mimpi tersebut, baginda diarahkan untuk mengorbankan anak kandungnya sendiri, Nabi Ismail (AS). Ibrahim curiga. Jangan-jangan mimpi tersebut hanyalah mainan iblis. Namun pada malam seterusnya, Ibrahim mengerti bahawa itu adalah pesanan daripada Allah (SWT). Lalu, tanpa ragu-ragu, Ibrahim membawa Ismail ke padang Arafah. Di tangannya tergenggam sebilah pisau dan seutas tali.
Ibrahim membongkarkan perintah tuhan itu kepada Ismail. Anak kecil itu tidak membantah, sebaliknya menyerahkan diri sepenuh hati untuk dikorbankan. Namun, beberapa detik sebelum Ibrahim meletakkan pisau di leher Ismail, keajaiban berlaku. Allah (SWT) menggantikan Ismail dengan seekor qibash. Ismail akhirnya tidak terkorban.
Tidak lama lagi, umat Islam di seluruh dunia akan bersama-sama menyambut Hari Raya Korban bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim (AS) dan kesabaran anaknya, Ismail dalam menunaikan perintah Allah. Mungkin sambutannya tidak akan semeriah tahun-tahun sebelum wabak. Adat ziarah dan berkumpul bersama sanak-saudara adalah mustahil untuk dilakukan ketika pergerakan dan balik kampung terhalang. Malah, upacara korban juga mungkin mustahil untuk dilaksanakan.
Namun, kita tahu bahawa agama tidak terlepas dari simbol. Pada satu sisi, simbol digunakan untuk menandai peristiwa-peristiwa tertentu dalam sejarah perkembangan sesuatu kepercayaan. Pada sisi lain, ia adalah suatu bentuk pernyataan tentang cara pandang alam sesebuah masyarakat. Di sini, simbol mengandung makna yang terlepas dari sifat-sifat intrinsiknya. Warna merah misalnya tidak lagi sekadar sejenis warna tetapi membawa makna bahaya bagi sesetengah masyarakat, atau kesejahteraan bagi masyarakat yang lain.
Begitulah dengan upacara korban dalam agama Islam. Tindakan penyembelihan binatang seperti lembu, kambing, atau unta setiap kali tibanya hari mulia ini adalah pengulangan tindakan simbolik Nabi Ibrahim terhadap anaknya atas perintah Yang Esa. Lalu, di kesempitan ini, bagaimana kita memperingati peristiwa besar dalam Islam itu? Apakah dengan tiadanya upacara penyembelihan binatang secara beramai-ramai bermakna tiadanya tindakan pengorbanan? Pada titik ini, kita kembali kepada makna pengorbanan yang hakiki.
Korban Sebagai Kata Kerja
Untuk menyelami hakikat pengorbanan, maka saya kira kita perlu melihat kata “korban” lebih daripada kata nama tetapi sebagai kata kerja. Sebagai kata nama, korban mungkin tidak lebih dari sekadar ritual yang kita laksanakan setahun sekali ketika tibanya Hari Raya Aidiladha. Kata kerja sebaliknya membawa makna tindakan, baik tindakan yang kemudiannya membawa manfaat kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Oleh itu, berkorban bukan barang mudah. Ia menuntut emosi dan juga tenaga.
Namun demikian, memahami pengorbanan sebagai kata kerja turut mampu membebaskan “korban” daripada pengertian sempitnya iaitu sebagai suatu ritual agama. Kita membawa “korban” ke ranah kemanusiaan, dan membebaskannya dari cekikan waktu. Kini, “korban” menjadi milik setiap manusia. Tindakannya tidak lagi semata-mata untuk agama, tetapi boleh juga untuk negara, masyarakat, mahupun keluarga.
Untuk negara, pengorbanan boleh dimaknai melalui sumbangan dan tindakan rakyat serta pemerintah dalam memastikan kestabilan terus terpelihara. Pengorbanan terhadap masyarakat pula terletak kepada sejauh mana sebuah masyarakat itu berkorban bagi menjamin keharmonian bersama. Dari sudut kekeluargaan pula, pengorbanan mungkin boleh diterjemahkan melalui tindakan seseorang anak yang sanggup melepaskan kerjaya dan kemewahan demi menjaga ibu bapanya yang uzur.
Dengan kata lain, pengorbanan dari sudut kata kerja lebih mengedepankan matlamat, baik dalam bentuk peringatan ataupun pengajaran. Tindakan menjaga ibu bapa memberi peringatan dan pengajaran bahawa ibu bapa adalah segalanya dan pengorbanan yang kita lakukan untuk mereka adalah kecil berbanding pengorbanan mereka dalam membesarkan kita sebagai anak.
Pengorbanan juga perlu dilakukan dengan tujuan dan niat yang betul dan bukan dilakukan secara membuta tuli sehingga merugikan diri sendiri dan orang lain. Oleh yang demikian, seseorang itu perlu bertanya pada diri sendiri, mengapa pengorbanan ini perlu dilakukan dan perlukah pengorbanan ini berlaku? Persoalan sebegini adalah penting supaya setiap tindakan yang dilakukan akan mengikut jalur niat dan tujuan sebuah pengorbanan itu.
Merendah Diri
Pengajaran yang mungkin kita perolehi daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim (AS) dan Nabi Ismail (AS) adalah tentang pengabdian baginda terhadap Sang Pencipta. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 10 Zulhijjah itu mengajarkan kita tentang kesediaan Ibrahim untuk melaksanakan perintah Allah (SWT) biarpun terpaksa melepaskan anak yang disayanginya. Di hadapan tuhan, Ibrahim tunduk merendah diri.
Merendah diri akan membuatkan kita lebih memahami dan menyerap erti sebuah pengorbanan dan mampu membantu kita merenung diri sendiri. Renungan diri sangat penting supaya kita sedar akan kelemahan dan kekurangan yang kita ada. Justeru, kita mungkin akan lebih sedar dan terbuka untuk melakukan sesuatu pada masa hadapan.
Kehilangan sifat rendah diri dalam tindakan pengorbanan akan mencemarkan erti hakiki pengorbanan. Sikap egoistik, tamak dan berpura-pura adalah antara sikap individu yang saya lihat sebagai barah yang menghancurkan nilai sebuah pengorbanan. Malah, sikap menunjuk-nunjuk dalam melakukan sesebuah pengorbanan kini dilihat begitu menyerlah.
Jika dilihat pada dewasa ini ketika sambutan Hari Raya Aidiladha, masyarakat berlumba-lumba untuk menonjolkan siapa yang paling banyak menyumbang haiwan sembelihan untuk dikorbankan. Seterusnya, kegiatan korban itu pula dikongsi di dalam laman media sosial masing-masing dengan pelbagai kapsyen kononnya memahami apa itu pengorbanan. Lebih parah, akibat terlalu banyak haiwan sembelihan yang diberi, wujudnya lebihan hasil sembelihan yang akhirnya membawa kepada pembaziran.
Tindakan sebegini dilihat telah memadamkan penghayatan erti sebenar pengorbanan. Sebaliknya sikap membazir dan menunjuk-nunjuk yang sememangnya tidak digalakkan itu dizahirkan. Keadaan ini berlaku kerana masyarakat pada masa kini melihat pengorbanan itu secara harfiah (luaran) semata-mata tanpa memahami makna dan erti pengorbanan yang sebenar. Sikap egois dan tamak manusia telah melenyapkan kesucian sebuah pengorbanan.
Pengorbanan Tanpa Penghujung
Pengorbanan adalah tindakan yang mulia, suci dan membawa pengertian yang sejagat. Nilai dalam sesebuah pengorbanan perlu dijadikan contoh bagaimana sepatutnya kita menjalani kehidupan. Sebagai manusia, kita perlu memahami dan mengerti tentang makna sebuah pengorbanan supaya kita dapat melakukannya dengan penuh keinsafan dan memberi makna kepada masyarakat.
Meskipun kini masyarakat tidak begitu mengerti makna sebenar pengorbanan, menjadi tanggungjawab kita untuk membuka hati dan minda, menerima dan memahami pengertian sebenar dalam sesebuah pengorbanan. Siapa sahaja mampu melakukan pengorbanan tetapi tidak semua insan mampu mendalami erti sebuah pengorbanan.
Lokman Redzuan merupakan seorang Pembantu Penyelidik/Pentadbiran di Penang Institute. Bidang kajian beliau adalah keselamatan sempadan, dasar luar negara, jenayah rentas sempadan dan polisi keselamatan.
Gambar oleh Afiq Fatah (Unsplash)