Suara Nadi

George Town: Menjunjung Warisan, Meremajakan Bandar

Oleh Pan Yi Chieh (Penyelidik, Program Kajian Warisan dan Bandar)   |   Posted on

Tidak dapat dinafikan bahawa kepesatan industri pelancongan berasaskan warisan dan budaya yang berlangsung di George Town sejak lebih daripada sedekad lalu telah merancakkan lagi kegiatan ekonomi khususnya ekonomi tempatan. Kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara yang tidak pernah putus secara tidak langsung berjaya meletakkan bandar ini antara bandar termaju di Malaysia.

Selain daripada kepelbagaian makanan dan tempat-tempat bersejarah, daya tarikan lain yang terdapat di bandar kosmopolitan ini adalah kegiatan seni dan kreatifnya. Pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2008 dengan sendirinya telah memberi nafas baharu kepada sektor ini.

Sejak dari itu, Pulau Pinang khususnya bandar George Town berkembang pesat. Pelbagai projek yang telah diusahakan tidak sekadar untuk menjadikan bandar ini cantik di mata, tetapi juga selesa untuk didiami. Di sini kita berhadapan dengan hakikat bahawa George Town adalah bandar budaya milik bersama. Banyak taman dan laluan pejalan kaki kini telah ditambah baik agar setiap ceruk bandar ini dapat dijejak oleh semua orang.

Walau bagaimanapun, segala yang indah, yang cantik, dan yang enak di bandar ini seakan-akan berdiri pegun seketika. Seperti banyak tempat lain, bandar tempat para pelancong berkelah dan bergelak ketawa sambil menghirup kopi pada saat ini sedang berperang dengan wabak. Manusia dipaksa menyendiri di rumah. Kerana perjalanan rentas negara, negeri, mahupun daerah terhalang, sektor pelancongan akhirnya ikut terhenti.

Wabak tidak hanya memberikan kesan yang besar kepada kehidupan, tetapi juga kepada sektor perniagaan. Namun, di sebalik segala kepayahan yang terpaksa dilalui, kehidupan di waktu wabak turut menghadirkan pelbagai peluang untuk kita. Hanya pada saat ini, George Town sebagai sebuah bandar yang tidak pernah rehat, dapat merenung diri sendiri, bagi menjamin masa depan masyarakatnya yang lebih baik.

Menyapa Yang Lalu, Mengintai Yang Nanti

Sejak akhir abad kelapan belas lagi George Town terkenal sebagai pusat perdagangan serantau. Bagi ramai pengembara dan pedagang, pulau kecil ini menjadi sebuah pelabuhan singgah atau port of call pertama di Asia Tenggara sebelum melanjutkan pelayaran ke destinasi-destinasi yang lain. Walaupun dianggap sebagai tempat persinggahan, ramai daripada mereka akhirnya menjadikan negeri ini sebagai kediaman baharu. Selain barangan perdagangan, mereka turut membawa budaya.

Zaman dahulu mungkin tidak sesenang hari ini. Membina hidup di tempat baharu sudah pasti sulit bagi ramai orang. Maka, di waktu sulit, orang biasanya akan membentuk masyarakat atau kumpulan bagi melangsungkan hidup di tanah asing. George Town tidak terkecuali untuk membuka pintu kepada pelbagai kelompok masyarakat berasaskan kaum, agama, mahupun keluarga. Di pinggir-pinggir pantai di George Town, kita misalnya bertemu dengan kongsi-kongsi Cina yang saling berhubungan dengan kumpulan masyarakat Melayu-Muslim di Lebuh Acheh. Begitu juga masyarakat India yang menghidupkan perniagaan di kawasan Little India.

Budaya tidak pernah beku. Budaya berkomunikasi dan bertindak-balas dengan keadaan masyarakat dan segala perubahan yang terjadi. Hakikat ini kita temui di George Town sejak berabad lamanya. Malah, perkara yang sama turut berlaku di mana sahaja tempat yang dihuni manusia. Proses perbandaran yang terjadi baik di negara maju atau membangun tidak dapat tidak turut menghadirkan perubahan demografi dan cara hidup.

Sebagai contoh, akibat kos sewa dan sara hidup yang tinggi, pada tahun 2000-an, berlakunya gejala masyarakat berpindah keluar dari bandar dan mencari tempat-tempat yang lebih murah. Walau bagaimanapun, pada tahun 2008, dengan pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia, masyarakat diajak untuk kembali ke bandar dan membina semula hubungan dengan bandar.

Baharu dan Lama Hidup Bersama

Terdapat pelbagai kegiatan seperti pendokumentasian budaya yang telah dilakukan untuk meneroka kepelbagaian budaya dan kearifan tempatan. Malah, penganjuran pelbagai festival besar turut memainkan peranan penting dalam menggalakkan lagi pemahaman budaya antara pelbagai masyarakat di George Town. Tidak dapat dinafikan bahawa usaha-usaha ini telah berjaya menarik ramai orang terutamanya golongan muda untuk mencuba nasib di tempat tarikan pelancong seperti George Town.

Namun demikian, terdapat juga kerisauan tentang hilangnya keaslian terutamanya keaslian bangunan-bangunan bersejarah dengan perkembangan kegiatan pelancongan di bandar ini. Banyak bangunan lama khususnya bangunan kediaman telah diubahsuai mengikut selera semasa dan dijadikan bangunan perniagaan.

Pengubahsuaian bangunan warisan yang bertujuan untuk dijadikan lokasi perniagaan atau kediaman menimbulkan dilema dalam diri masyarakat. Pada satu sisi, pengambilalihan serta pengubahsuaian ini penting bagi mengekalkan struktur. Namun pada sisi lain, kegiatan-kegiatan perniagaan ini akan menjadikan bandar ini lebih bersifat “pelancongan”.

Ramai yang menganggap bahawa kehadiran perniagaan-perniagaan baharu seperti hotel, kafe, dan sebagainya ini adalah untuk mengambil untung dari kehadiran pelancong semata-mata. Namun, di samping mencari keuntungan material, ada manfaat lain yang turut disumbangkan oleh mereka. Antaranya adalah, mereka mencipta hubungan-hubungan baharu dengan masyarakat tempatan di bandar ini.

Kehadiran generasi peniaga baharu ini sudah pastinya atas pelbagai sebab. Ada yang melihat bandar ini sebagai tempat yang sesuai untuk mendapatkan pelanggan. Ada juga yang mungkin menyukai dan menghargai seni bina bangunan lama serta sentimen bandar ini sebagai sebuah bandar bersejarah. Malah, terdapat ramai daripada mereka adalah generasi kedua peniaga-peniaga tempatan dan cuba mencari cara lain untuk mempelbagaikan perniagaan.

Di sini mereka membuka kedai-kedai buku, kafe, kedai roti, ruang-ruang seni dan sebagainya. Bagi kebanyakan mereka, kerjaya adalah sangat penting. Namun, hal yang menarik adalah bentuk jalinan yang turut terhasil antara mereka dengan masyarakat tempatan. Sebagai contoh, kehadiran golongan peniaga muda yang mengendalikan kafe-kafe sering membantu jiran-jiran peniaga mereka yang lebih tua ketika anak-anak mereka berjauhan. Hal ini termasuklah membantu mereka dalam menterjemahkan notis-notis daripada kerajaan, menjaga kebersihan di kawasan sekitar, dan sebagainya.

Kedai-kedai baharu ini juga secara tidak langsung akan mewujudkan rasa selamat dalam kalangan peniaga yang lebih tua. Hubungan peribadi dan sikap bantu-membantu yang ditawarkan oleh generasi peniaga muda dan baharu ini dilihat sangat penting pada waktu sekarang lebih-lebih lagi ketika hubungan antara manusia adalah sangat langka. Sudah pasti bahawa kesan gentrifikasi terhadap masyarakat perlu dikaji dengan lebih mendalam. Walau bagaimanapun, sesetengah usaha yang dilakukan oleh penghuni baharu ini dalam menghubungkan masyarakat sekitar perlu dipuji.

Akhirnya, makna kebolehhidupan (liveability) di George Town terletak pada kemampuannya untuk menarik “bakat-bakat” baharu. Golongan peniaga baharu yang umumnya terdiri daripada golongan muda tidak sekadar ingin membina kerjaya tetapi juga mencipta teman dengan penduduk-penduduk tempatan. Suka atau tidak, mereka adalah penghuni bandar yang turut membentuk budaya dan masa depan bandar George Town.

Pan Yi Chieh merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Warisan dan Bandar, Penang Institute. Bidang kajian beliau termasuklah budaya dan seni, transformasi bandar, dan masyarakat rentan.

Gambar oleh Yaopey Yong (Unsplash)