Suara Nadi

Melawan Wabak dan Rasuah

Oleh Nidhal Rawa (Penyelidik, Program Kajian Sejarah dan Serantau)   |   Posted on

Sudah lebih setahun kita terkurung kerana wabak Covid-19. Pada saat ini, sebahagian daripada kita telah mengalami kelelahan pandemik (pandemic fatigue). Seperti orang lain, saya mulai gelisah dan kecewa bukan semata-mata kerana pergerakan yang terbatas, tetapi memikirkan tahap pencapaian dan kebolehpercayaan (credibility) kerajaan pada hari ini.

Wabak membawa beban berganda kepada ramai orang. Pengisytiharan darurat dan ketiadaan sidang parlimen atas alasan wabak menyulitkan lagi keadaan. Sehingga ke hari ini, kita tidak mendapat maklumat yang jelas tentang dana perolehan awam. Bahkan, dialog antara rakyat dan pemerintah jarang sekali terjadi. Yang ada hanyalah perutusan khas satu hala oleh Perdana Menteri.

Ketidaktelusan seperti ini telah membuka peluang kepada pelbagai salah laku. Malah, sudah terdapat pelbagai laporan tentang salah laku rasuah yang terjadi kebelakangan ini. Semasa kita bersama-sama melawan wabak ini, terdapat beberapa isu yang dikaitkan dengan skandal rasuah dalam pentadbiran kerajaan. Antaranya ialah isu pemajakan tanah perdana di bawah harga pasaran telah dikaitkan dengan kepentingan antara An-Noor Foundation serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.[1] Selain itu, Malaysia pernah digemparkan dengan pendedahan SPRM terhadap kes penyeludupan pendatang asing melalui pemalsuan cop oleh pegawai imigresen yang terlibat.[2]

Tidak dapat dinafikan bahawa sejak sekian lama rasuah sudah menjadi wabak di negara ini. Namun, sesetengah peraturan-peraturan khas seperti pengisytiharan darurat yang diwujudkan untuk membanteras wabak Covid-19 kadangkala melemahkan proses semak dan imbang. Alasan darurat telah berjaya membekukan peranan besar dewan rakyat. Akibatnya, gejala rasuah bermaharaja lela. Saya seperti kebanyakan rakyat yang lain mula mempertikaikan ketelusan dan kejujuran kerajaan dalam membentuk sikap integriti.

Umum tahu bahawa sifat keutuhan atau integriti yang merangkumi sikap jujur dan telus perlu ada dalam diri seseorang pemimpin. Ia menjadi nilai tambah untuk mengukur kemampuan pemerintah dalam menerajui negara. Malah, sudah wujud mekanisme penguatkuasaan dalam meningkatkan nilai integriti dan menyekat penularan rasuah. Namun, dalam kesedaran yang amat tinggi serta penguatkuasaan  sedia ada, gejala rasuah masih lagi berleluasa tidak kira masa.

Bebanan Rakyat di Kala Wabak

Rakyat bukan sahaja tertekan dengan masalah ekonomi dan kehilangan punca pendapatan, tetapi juga kecewa dengan kegagalan kerajaan dalam mengurus tadbir negara. Hal ini termasuklah segala percanggahan arahan dan maklumat antara kementerian, serta kegagalan segelintir  penggubal dasar untuk mematuhi peraturan operasi standard (SOP) yang dicipta oleh mereka sendiri.

Malah, rakyat melihat ketidakadilan dalam hukuman yang dikenakan terhadap mereka. Tanda pagar “#kerajaangagal” yang tular di sosial media seperti di laman Twitter adalah salah satu manifestasi kemarahan rakyat semasa berjuang untuk melawan wabak ini.

Kehidupan pada waktu wabak seperti hari ini mengajar kita bahawa integriti dalam politik dan pentadbiran awam adalah penting. Nilai integriti merupakan titik tolak kepada berlakunya gejala rasuah. Keculasan segelintir penggubal dasar yang tidak mematuhi SOP Covid-19 sehingga kepada beberapa insiden rasuah yang berlaku dalam kalangan penjawat awam wajar dijadikan iktibar.

Kegagalan kerajaan menangani penularan wabak adalah natijah kepada ketidakstabilan politik. Siri-siri pertukaran kerajaan tanpa pilihanraya dengan adegan lompat parti yang berlaku turut mencalarkan imej integriti politik negara. Malah, penutupan parlimen telah membantutkan proses semak imbang dan mengaburkan kejelasan terhadap inisiatif pencegahan dan pemulihan negara. Seharusnya, nilai integriti dewan rakyat perlu diangkat untuk kebaikan bersama.

Keperluan Perubahan Struktural

Tidak berlebihan untuk mengatakan bahawa gejala rasuah sudah menjadi suatu kelaziman, baik dalam politik mahupun pentadbiran awam sebelum wabak ini lagi. Dalam politik, hal ini mungkin terjadi dalam bentuk sogokan dan habuan untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya. Beberapa tahun lalu saya menjadi salah seorang pemerhati di Pilihan Raya Kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Besar.

Sebagai pemerhati, saya berpeluang untuk melihat pelbagai salah laku yang terjadi sewaktu tempoh berkempen. Antaranya adalah penyalahgunaan jentera kerajaan oleh parti politik dalam proses berkempen. Malah, terdapat juga pemberian pakej baja padi bersubsidi (hak milik kerajaan) secara besar-besaran kepada golongan pesawah semasa tempoh berkempen. Habuan ini seolah-olah menjadi alat untuk memancing undi masyarakat tempatan supaya menyokong parti politik tertentu.

Dalam pentadbiran awam, terdapat segelintir pegawai kerajaan yang sanggup menerima sogokan demi memenuhi hawa nafsu sendiri dan perbuatan ini telah mencacatkan penyampaian perkhidmatan awam yang efisien, jujur dan telus. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kegiatan rasuah berskala besar yang membabitkan sindiket jenayah kian meningkat semasa wabak Covid-19.

Salah satu puncanya adalah kerana kesempitan hidup akibat kesan kegawatan ekonomi.[3] Namun, hal yang turut membimbangkan adalah, mereka yang melaporkan salah laku rasuah kadang-kala terdedah kepada ancaman. Oleh yang demikian, perlunya satu jaminan keselamatan daripada kerajaan terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan gejala rasuah dalam pentadbiran supaya ia dapat dibendung dengan baik.

Sepertimana yang kita tahu, gejala penyelewengan dan salah laku rasuah dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam menjadi alasan utama berlakunya perubahan tampuk kepimpinan negara pada pilihan raya umum tahun 2018. Gabungan parti yang mengambil alih kekuasaan membawa harapan kepada pembentukan sebuah kerajaan yang lebih berintegriti.

Kerajaan pada masa itu telah memberi tumpuan dalam memastikan kecekapan dan ketelusan individu adalah penting. Namun, hal yang lebih mendasar untuk membanteras penyalahgunaan kuasa dan rasuah adalah melalui perubahan struktural. Hal ini terbukti melalui usul yang mahu dibawa ke parlimen untuk mewujudkan akta pembiayaan politik. Walau bagaimanapun, usaha ini gagal apabila terjadinya pengambilalihan kuasa tanpa jalan pilihan raya.

Rang undang-undang pembiayaan politik dilihat menjadi salah satu cara untuk membendung penularan rasuah dalam pilihan raya. Selain itu, ia juga memperkasakan lagi peranan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Dahulunya, kempen pemilihan parti mahupun pilihan raya sering dicemari dengan insiden pembelian undi dan penajaan wang dari sumber tidak diketahui.

Rang undang-undang ini akan mewajibkan setiap parti di Malaysia untuk mengaudit sumber pendapatan dan perbelanjaan untuk tatapan orang awam di parlimen. Tambahan lagi, institusi kerajaan seperti SPR lebih bebas untuk bekerja mengikut garis undang-undang tanpa tekanan politik dari mana-mana pihak.

Selain itu, undang-undang sedia ada perlu juga diperkasakan untuk membanteras gejala rasuah di peringkat pentadbiran awam dan swasta. Salah satunya adalah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711) yang telah berjaya diwartakan pada tahun 2010. Akta ini penting untuk menjamin keselamatan pemberi maklumat.

Namun, saya berpendapat bahawa akta ini perlu diberi kejelasan agar tidak bercanggah dengan akta lain seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. Akta ini secara dasarnya diwujudkan untuk melindungi maklumat keselamatan, pertahanan, dan perhubungan antarabangsa atas tujuan keselamatan negara. Akan tetapi, pendedahan salah laku dalam pentadbiran seringkali dihukum di bawah OSA. Kes seperti ini pernah terjadi kepada Rafizi Ramli apabila beliau mendedahkan laporan audit skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sememangnya tiada jalan mudah untuk membendung penularan rasuah. Cadangan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik serta pemerkasaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat hanyalah salah satu kaedah bagi membendung gejala rasuah yang tidak kunjung selesai ini. Ianya merupakan satu proses yang berterusan berbekalkan kesedaran segenap lapisan masyarakat serta penambahbaikan institusi sedia ada.

Nidhal Rawa merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Sejarah dan Serantau di Penang Insitute. Bidang kajian beliau termasuklah politik Islam dan sejarah perkembangan masyarakat Muslim di Pulau Pinang.

Gambar oleh @wcywendy77 (Twenty20)

[1] Free Malaysia Today (31 Mei 2021). Laporan penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/31/isu-skandal-tanah-lgm-menteri-ada-campur-tangan-kata-bekas-pengerusi/

[2] Berita Harian (17 November 2020). Laporan penuh: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/11/755140/pasport-terbang-kaunter-khas-taktik-seludup-pati-di-pintu-masuk-negara

[3] Berita Harian (10 April 2021). Laporan penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/805662/kes-rasuah-skala-besar-meningkat-ketika-pandemik-sprm