Suara Nadi

Suara Nadi: Sekapur Sirih

Posted on

Menulis adalah suatu tugas kemanusiaan yang sangat purba. Itulah yang dilakukan oleh manusia sedari awal kita membina peradaban. Manusia mengarang simbol-simbol pada dinding gua dan menoreh batu-batu untuk merakam cerita, mengingat, dan mengajar diri sendiri, masyarakat, mahupun pewarisnya. Biarpun tua usianya, menulis atau pengabadian kata-kata dan isi hati tetap istimewa sehingga ke hari ini. Hanya wadahnya sahaja yang mengambil bermacam jenis rupa.

Untuk merancakkan lagi perbincangan-perbincangan intelektual yang lebih sihat dan memenuhi keperluan untuk mewujudkan penulisan-penulisan yang berkualiti, maka Penang Institute dengan bangganya ingin memperkenalkan kepada anda satu lagi penerbitan terbaharu kami yang diberi nama Suara Nadi.

Sesuai dengan namanya, Suara Nadi berhasrat untuk merakam kepelbagaian suara yang ada dalam masyarakat khususnya masyarakat pelbagai budaya, kaum, dan kepercayaan di Pulau Pinang. Suara Nadi berhasrat untuk mencabar, mempermasalahkan, dan mengulang kaji idea-idea dan naratif-naratif yang sudah mapan dalam masyarakat melalui penerbitan esei pendek berbentuk renungan dan pendapat untuk bacaan masyarakat umum.

Suara Nadi ingin merintis denai-denai baharu dengan sabit-sabit sejarah, melihat bagaimana yang lalu senantiasa mentakrifkan yang sekarang, dan bagaimana yang sekarang membentuk yang nanti. Sudah pasti, Suara Nadi bukanlah semata-mata kerinduan terhadap yang sudah sirna, tetapi suatu renungan dan terjemahan bagi sikap mesra terhadap pelbagai idea lama dan baharu yang bersama-sama melahirkan masyarakat ini.

Suara Nadi merupakan sebuah penerbitan di bawah Penang Institute yang pertama dalam bahasa Melayu. Peri pentingnya bukan sekadar untuk memartabatkan bahasa kebangsaan Malaysia, tetapi mengakui bahawa bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa yang paling mampu untuk menterjemahkan makna-makna dan hasrat-hasrat yang ada dalam masyarakatnya.

Sila ikuti esei-esei menarik dan pelbagai perbincangan lain dalam bentuk podcast yang akan diterbitkan di bawah Suara Nadi. Layari laman sesawang dan media sosial Penang Institute untuk sebarang maklumat lanjut. Untuk meningkatkan lagi mutu penerbitan ini, hantarkan segala bentuk ulasan dan cadangan anda ke suaranadi@penanginstitute.org. Sehingga bertemu lagi!