Setiap kali ke kedai Sri Batik Legend di KOMTAR, rasa teruja bagai kera mendapat pisang pasti menyelubungi diri. Melihat deretan baju kaftan yang tergantung di sepanjang laluan sempit di tepi tangga, dan timbunan kain batik yang disusun rapi di atas meja membuatkan saya rambang mata. Peniaganya juga sudah biasa untuk berbual dengan ibu saya sambil membentangkan stok kain baharu.
Begitulah rutin kami setiap kali ke gedung tertinggi di Pulau Pinang itu untuk membayar cukai tanah dan cukai pintu. Kedai batik pasti menjadi persinggahan. Nafsu untuk membeli seakan-akan tidak tertahan walaupun jelas kain batik yang ada di rumah sudah bertimbun. Walau tidak tahu tujuannya, yang penting beli dahulu. Begitulah cogan kata kami jika ke kedai batik.
Sejak kecil lagi, saya sudah sering melihat ibu memakai kaftan batik di rumah. Malah, ibu kawan-kawan saya juga begitu. Tidak hairan jika suatu hari nanti kaftan batik dimartabatkan sebagai baju tidur kegemaran para suri rumah. Kain batik, sesuatu yang begitu biasa dipandang tetapi tidak diberi perhatian istimewa sebenarnya merupakan inti pati budaya kita yang sudah lama termeterai sebagai identiti kebangsaan.
Tak Lapuk Dek hujan, Tak Lekang Dek Panas
Baik di bandar mahupun desa, batik tetap menjadi pakaian harian. Penggunaannya juga sangat pelbagai. Ada orang yang menjadikan batik sebagai kain buaian bayi, sarung semasa berpantang, kain basahan, alas meja, ataupun baju raya. Namun demikian, di sebalik fungsinya yang pelbagai, masyarakat seakan-akan semakin tidak menghargai keunggulannya.
Tempatnya tidak lebih sekadar di rumah. Di pusat membeli-belah mahupun di tempat-tempat awam lain, kita jarang melihat orang yang memakai batik. Apa lagi dalam kalangan anak muda. Daripada memakai batik, mereka lebih gemar mengenakan pakaian berjenama antarabangsa seperti Uniqlo, Adidas, dan sebagainya. Malah, wujud tanggapan dalam kalangan anak muda bahawa batik hanya sesuai untuk dipakai oleh golongan tua, menteri-menteri, dan orang kerajaan sahaja.
Sebagai anak Malaysia, kenyataan ini sudah tentunya sangat menghampakan, lebih-lebih lagi jika kita membandingkan populariti batik di Malaysia dan di Indonesia. Saya mengakui bahawa, setiap kali berkunjung ke negara jiran itu, saya sendiri beria-ia membeli batik. Malah di Malaysia sendiri, saya lebih gemar membeli batik buatan Indonesia.
Adakah ini bermakna saya kurang sedar atau tidak menghargai batik buatan negara sendiri? Mungkin. Adakah ini juga bermakna bahawa saya lebih gemar akan batik Indonesia? Tidak mustahil. Adakah ini bermakna batik Malaysia kurang berkualiti berbanding batik Indonesia? Jawapannya tidak sama sekali. Bagi saya, kita tidak perlu membandingkan batik mana yang lebih cantik kerana hakikatnya, setiap individu mempunyai cita rasa sendiri.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, batik bukanlah sekadar selembar kain. Sejarahnya yang cukup kaya di benua Asia dan Afrika menjadi bukti wujudnya perkongsian budaya antarabangsa sejak ratusan tahun dahulu lagi. Adab perkongsian budaya melalui batik diteruskan sehingga hari ini. Selain digunakan dalam kehidupan harian, batik juga menjadi pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines, Singapore Airlines, dan Garuda Indonesia.
Sebagai pakaian yang dikenakan oleh pramugari bagi syarikat penerbangan negara, batik menjadi konsep budaya pertama yang diperkenalkan kepada penumpang-penumpang antarabangsa. Hal ini menunjukkan betapa simboliknya batik sebagai lambang nasional bagi ketiga-tiga negara berjiran ini walaupun mempunyai ideologi politik, sosioekonomi, dan sosiobudaya yang berbeza.
Dari segi perdagangan antarabangsa, batik bukan sahaja komoditi yang dieksport dan diimport dalam pasaran Asia Tenggara dan seluruh dunia. Malah, ilmu pengetahuan dan budaya yang disebarkan bersamanya juga secara tidak langsung dapat memperdalamkan lagi pemahaman terhadap budaya alam Nusantara — walaupun hal ini mungkin akan turut sama menguatkan konsep Orientalisme.
Sememangnya konsep Orientalisme atau pandangan dan gambaran berat sebelah penulis-penulis Barat terhadap kebudayaan Timur ini sudah lama diperdebatkan. Biarpun demikian, jika dilihat dari sudut yang berlainan, gambaran berbentuk romantisasi eksotik terhadap budaya dan seni Timur tidak semestinya perlu dianggap sebagai sesuatu yang negatif, lebih-lebih lagi jika ianya dapat mencetuskan pemahaman yang lebih mendalam terhadap masyarakat setempat. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Malah, di Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya, batik tetap menjadi tali yang menghubungkan kita semua. Walaupun setiap kaum mempunyai pakaian tradisionalnya yang tersendiri dan wujud tanggapan bahawa batik agak ketinggalan zaman, tidak berlebihan jika saya katakan bahawa hampir semua orang yang membesar di Malaysia dapat mengaitkan batik sebagai pakaian kebangsaan.
Kebelakangan ini, minat terhadap jenama-jenama fesyen tempatan yang bertemakan batik untuk orang muda semakin meningkat. Bentuk perniagaan moden yang berlandaskan media sosial ini semakin laris. Setidak-tidaknya, ia dapat menimbulkan minat orang ramai terhadap seni batik yang pembeliannya sejak sekian lama terlalu bergantung kepada pelancong.
Pada waktu wabak seperti hari ini, perniagaan yang bergantung kepada pelancong berada dalam keadaan yang tenat dan besar kemungkinan banyak perniagaan batik telah gulung tikar. Hal ini amat merisaukan kerana sekiranya industri desa termasuklah industri batik tenggelam, maka keunikan seni kraftangan ini akan turut lenyap dalam masa terdekat. Oleh yang demikian, generasi muda perlu sedar tentang kepentingan serta makna tersirat dalam seni tangan batik. Kewujudannya bukan sekadar sebagai alas meja, tetapi juga lambang bagi identiti kebangsaan.
Bagi saya, keunikan setiap budaya dapat dilihat melalui pakaian tradisionalnya, terutamanya dari segi tenunan serta corak kain yang digunakan untuk acara dan majlis istimewa. Walaupun batik sukar dianggap sebagai baju tradisional dengan adanya pelbagai kaum dan adat di Malaysia, namun imej batik sebagai sesuatu budaya yang dikongsi dan tidak mempunyai batasan kaum amat bermakna bagi identiti kebangsaan Malaysia. Semoga batik terus dipakai kerana ianya merupakan seni yang harus menjadi kebanggaan semua.
Beh May Ting merupakan penyelidik projek di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute. Beliau mendapat ijazah sarjana kedoktoran dalam bidang antropologi dari Monash University, Malaysia.
Gambar oleh Beh May Ting