Suara Nadi

Malaysia, Tanah Tumpah Darahku

Oleh Sheryl Teoh (Pegawai Penerbitan)   |   Posted on

Sewaktu umur mencecah 19 tahun, saya membawa diri menaiki pesawat menuju ke sebuah kota di Amerika, jauhnya 13,000 km dari tanah tempat saya lahir dan membesar. Ketika pertama kali menyusun langkah di tanah asing itu, dan menghidu sejenis bau pencuci yang tidak biasa saya hidu namun baunya turut semerbak di banyak bangunan awam di Amerika, rasa gemuruh diiringi dengan rasa teruja dan penuh harapan datang mencucuk. Pada waktu itu, Amerika bagaikan sebuah wilayah perawan dengan sejuta peluang. Saya berdiri di gerbang sebuah perjalanan untuk mengecap Impian Amerika.

Untung sewaktu kanak-kanak saya banyak menghabiskan masa dengan menonton kartun dan rancangan-rancangan televisyen Barat serta membaca buku-buku berbahasa Inggeris. Jadi, kejutan budaya tidak terlalu ketara. Saya perlahan-lahan bersebati dengan masyarakat Amerika dan dengan mudah mencipta teman. Namun, di sebalik sikap ramah orang Amerika, rasa renggang tetap wujud dalam diri saya — bagaikan saya ini akan terus menjadi orang asing. Sekalipun dalam banyak keadaan saya merasa lebih difahami, diterima, dan dihargai di sana, ianya tidak seperti berada di halaman sendiri.

Sebagai seorang rakyat Malaysia berketurunan Cina, sudah menjadi lumrah bagi ibu bapa kami untuk sentiasa menggalakkan anak-anak mereka meninggalkan negara sedari kecil dan mencari padang rumput yang lebih hijau di tempat lain. Tidak sedikit daripada ibu bapa etnik Cina yang bekerja keras dan berjimat-cermat bagi menghantar kami ke universiti-universiti di luar negara. Alasannya bukan kerana tidak percaya dengan universiti-universiti tempatan, tetapi kami tahu bahawa peluang untuk mendapat tempat adalah tipis.

Sejak dari kecil, kami juga sering disuruh untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mendapatkan biasiswa kerana untuk bersaing dan berjaya di Malaysia adalah susah. Walaupun dengan kelayakan yang ada mampu untuk menjamin kehidupan yang lebih baik di Amerika, saya tetap pulang ke Malaysia setelah menerima segulung ijazah.

Namun, keputusan saya untuk kembali ke negara sendiri biarpun peluang-peluang kerjaya yang lebih baik terhidang di luar negara bukanlah sesuatu yang unik. Ramai pelajar Malaysia di universiti-universiti di luar negara adalah mereka yang merindui kampung halaman, mereka meratah mi Maggi dan Milo, dan mengelamun untuk keluar bersama teman-teman di kedai mamak bukannya di pub atau Taco Bell. Malah, ramai daripada teman saya di universiti sudahpun pulang ke Malaysia.

Ada juga pandangan bahawa rakyat Malaysia berketurunan Cina lebih setia terhadap China dan tidak mampu untuk berasimilasi dengan budaya Malaysia. Retorik anti-Cina ini memuncak dengan wujudnya desakan-desakan supaya orang Cina Malaysia untuk “balik Tongsan” dan penggunaan istilah-istilah seperti “pendatang”.

Hakikatnya, kami menganggap diri kami sebagai rakyat Malaysia, dan generasi muda khususnya, tidak langsung memiliki ingatan atau hubungan dengan negara tempat kami disuruh pulang itu. Kami tidak berkongsi sejarah dengan warganegara China dan oleh itu tidak mampu untuk merasa terhubung dengan mereka sedalam yang kami rasakan bersama saudara se-Malaysia kami.

Sebagai seorang pelajar antarabangsa, mustahil saya dapat berkongsi cerita dengan para pelajar antarabangsa dari China tentang pelbagai telatah nakal kami sewaktu di sekolah, atau berkongsi rasa cinta kami terhadap sambal, atau kerinduan kami untuk bersarapan roti canai dan teh tarik. Malah, seperti rakyat Malaysia pelbagai etnik dan latar belakang lain, saya memperingati Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan, meratapi korban nahas MH17 dan MH370, dan bersorak apabila Nicol David dan Lee Chong Wei berjaya mengangkat negara kita ini ke pentas antarabangsa.

Ada benarnya bahawa bukan semua rakyat Malaysia berketurunan Cina merangkul identiti kebangsaan yang kuat, dan mereka mungkin lebih mengidentifikasi diri mereka sebagai orang “Cina” berbanding dengan orang Malaysia. Biarpun begitu, “ke-Cina-an” ini hanya terpakai dalam konteks dan pengalaman orang Cina Malaysia, yang sudah pastinya unik dan berbeza daripada mereka yang berasal dari tanah besar China. Hal ini dengan sendirinya mencerminkan maksud menjadi rakyat Malaysia, kerana bukankah asas pembentukan Malaysia terletak kepada sifat kepelbagaian budayanya?

Sekalipun ada sesetengah daripada kita yang menganggap bahawa integrasi antara kaum sudah gagal, mereka mengabaikan hakikat bahawa walaupun orang Cina di Malaysia mungkin belum menerapkan budaya dan amalan kaum majoriti secara sepenuhnya, budaya masyarakat Cina Malaysia sememangnya telah dipengaruhi budaya kaum-kaum lain secara mendalam.

Nyatanya, tidak ada satu pun kaum yang boleh menganggap diri mereka sebagai wakil tunggal negara ini, atau tidak lagi menjadi Malaysia, dan perlu ditakrif semula sebagai entiti lain. Malaysia yang saya kenal dan membesar bersama adalah Malaysia yang mempunyai kepelbagaian etnik, budaya, dan bahasanya saling bersatu menjadi masyarakat yang kaya dan beragam.

Oleh itu, ketika ramai ahli politik yang tidak bertanggungjawab galak memecah-belahkan masyarakat, kenyataan Sultan Johor yang mengatakan bahawa orang Cina adalah tetamu yang telah menjadi warganegara semula jadi dan penting bagi kesejahteraan sosio-ekonomi Johor adalah sesuatu yang segar dan mengharukan.

Hal ini mengingatkan kita semula kepada konsep ‘Bangsa Malaysia’ — sebuah dasar yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad — yang bermatlamat untuk mewujudkan sebuah identiti kebangsaan yang inklusif buat semua penduduk Malaysia. Pada dasarnya, ‘Bangsa Malaysia’ menyiratkan bahawa Malaysia seharusnya dibina melalui percampuran masyarakat pelbagai etnik, budaya dan agama, bukannya penyerapan dan homogenisasi budaya-budaya minoriti ke dalam budaya kaum dominan.

Hal ini juga bermaksud bahawa sebagai warganegara Malaysia — tidak mengira hak Bumiputera — orang bukan Melayu berhak untuk bersuara dan mengangkat isu-isu untuk diperbincangkan dalam masyarakat. Hal ini adalah sebahagian daripada bentuk penglibatan warganegara — suatu proses yang penting dalam sesebuah negara demokratik.

Tindakan menyuruh orang untuk “meninggalkan Malaysia jika tidak berpuas hati” membuktikan bahawa negara ini tidak memiliki ruang untuk warganya — sekalipun yang minoriti — meluahkan pendapat dan kebimbangan. Kecenderungan ini juga akhirnya menjadikan negara ini dilihat sebagai tidak demokratik.

Biarpun sebagai anak kecil, sangat menyakitkan jika ada orang mengatakan bahawa warna kulit sayalah yang menjadikan saya kurang penting sebagai seorang warganegara. Meninggalkan ibu pertiwi yang memperlakukan saya tidak lebih sebagai anak tiri ini malah lebih melukakan. Walau apapun, Malaysia adalah “tanah tumpahnya darahku”.

Sebagai warganegara Malaysia, saya senantiasa mendambakan yang terbaik untuk negara ini. Saya juga percaya bahawa kemajuan hanya dapat dicapai apabila konsep ‘Bangsa Malaysia’ diterima pakai, dibatinkan sepenuhnya, dan benar-benar diamalkan oleh semua masyarakat.

Sheryl Teoh merupakan Pegawai Penerbitan di Penang Institute. Beliau mendapat pendidikan dalam bidang Sejarah dengan tumpuan terhadap Rom dan Yunani Klasik. Beliau juga berminat dalam pengajian falsafah serta pelbagai isu sosial dan kemanusiaan.

Gambar oleh Izzuddin Helmi (Unsplash)