Suara Nadi

Yusof Rawa, Lebuh Acheh, dan Penyebaran Ilmu

Oleh Nidhal Rawa (Penyelidik, Program Kajian Sejarah dan Serantau)   |   Posted on

Ada banyak cerita di sebalik kemasyhuran Lebuh Acheh (Acheh Street). Lorong kecil yang terletak di tengah-tengah bandar George Town itu pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Mini Jeddah’ oleh penduduk setempat. Di celah deretan bangunan rumah kedai di sepanjang lorong itu terletaknya Masjid Melayu Lebuh Acheh yang di bina sejak abad ke-19 lagi. Masjid tua itu menjadi salah satu mercu tanda penting kepada masyarakat Muslim di George Town.

Namun, Lebuh Acheh bukan sekadar lorong kecil yang menghubungkan banyak lorong dan jalan lain di pekan istimewa itu. Ia adalah pusat ekonomi dan tempat berputiknya pelbagai pemikiran dan gagasan intelektual Melayu dan Islam di Pulau Pinang. Selain daripada kedudukannya yang berhampiran dengan pelabuhan Pulau Pinang, hubungan rapat Syeikh Syed Idid al-Arabi, pengasas lorong itu dengan pentadbir British semasa zaman penjajahan dahulu turut memainkan peranan dalam menjadikannya sebagai pusat ekonomi serta pusat pertembungan intelektual Islam utama di Pulau Pinang.

Kemeriahan kegiatan ekonomi di sekitar masjid itu pada suatu masa dahulu telah menarik minat segenap masyarakat dari rantau Nusantara, khususnya masyarakat-masyarakat dari kepulauan Sumatera. “Lubuk emas” ini telah membuka peluang kepada orang Aceh, Boyan, Rawa, Jawa dan lain-lain bukan sahaja untuk berniaga malah akhirnya bermastautin di situ.

Penulisan dan Penyebaran Ilmu

Salah satu kedai yang pernah wujud di antara deretan rumah-rumah kedai di Lebuh Acheh adalah milik Tuanku Syeikh Rao yang merupakan seorang ulama dan saudagar kaya. Beliau mencuba nasib di bumi bertuah ini dengan mendirikan kedai menjual kitab dan kelengkapan ibadah haji. Kemudian mandat ini diturunkan kepada menantunya, Haji Abdullah Nordin Ar-Rawi dan kedai tersebut menjadi salah satu mercu tanda kemajuan orang Rawa dalam bidang perniagaan dan percetakan sejak tahun 1920-an.

Gedung penerbitan dan percetakan United Press adalah antara perusahaan terawal lain yang turut memeriahkan Lebuh Acheh. Legasi ini diteruskan oleh anakanda Haji Abdullah iaitu Haji Yusof Rawa sehingga lewat tahun 60-an.

Kepesatan industri percetakan dan penerbitan buku ini telah menyemarakkan lagi gerakan reformasi yang dipelopori oleh kaum muda di negeri-negeri Selat termasuklah di Pulau Pinang pada lewat 20-an sehinggalah 30-an. Malah, kedai-kedai buku dan percetakan ini kebanyakannya turut mendukung pemikiran reformasi.

Peranannya tidak hanya menjual dan mencetak buku, akan tetapi turut menyimpan khazanah penulisan-penulisan ulama serantau dan sebahagiannya. Penulisan-penulisan ini dijadikan bahan rujukan sekolah-sekolah pondok di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu malah di Patani. Maka, tidak menghairankan apabila kedai-kedai ini menjadi tempat persinggahan penting para ilmuan Muslim serantau dalam mendapatkan kitab-kitab agama. Di situ mereka berkumpul dan belajar bersama.

Kepesatan ekonomi dan kemajuan masyarakat Melayu Lebuh Acheh pernah terganggu ketika Jepun menyerang Pulau Pinang pada tahun 1941. Rumah-rumah, bangunan-bangunan kedai, malah masjid yang tersergam indah akhirnya hancur akibat dibom.

Ketokohan Haji Abdullah Nordin Ar-Rawi terserlah dalam peristiwa tersebut. Ketika tentera Jepun melancarkan serangan di udara, masyarakat yang tinggal di kawasan itu berlindung di Masjid Melayu Lebuh Acheh yang terletak di hujung Jalan Union.

Namun hal yang sebaliknya dilakukan oleh Haji Abdullah Nordin Ar-Rawi. Ketika bom dan peluru sedang berguguran, beliau teringat akan harta orang lain yang diamanahkan untuk beliau jaga lalu meluru keluar menuju ke kedainya untuk menyelamatkan peti simpanan harta itu. Belum sempat beliau kembali ke masjid, sebutir bom telah menamatkan hayatnya. Kisah ini terus tersemat dalam ingatan masyarakat setempat.

Yusof Rawa dan Kebangkitan Semula

Selepas Jepun menyerah kalah, masyarakat Muslim di Lebuh Acheh bangkit semula dari peristiwa hitam ini. Menara masjid Melayu yang runtuh dibangunkan semula oleh masyarakat. Kedai-kedai buku termasuklah kedai buku milik Haji Abdullah Nordin Ar-Rawi dibuka semula. Kali ini dengan nafas baharu.

Legasi penerbitan dan percetakan buku ini diteruskan oleh anak lelaki keduanya iaitu Tuan Guru Haji Yusof Rawa. Sewaktu perang Jepun, beliau sedang menuntut ilmu agama di Mekah. Latar belakang pendidikan Timur Tengah dan Inggeris (dari Penang Free School) yang beliau miliki ini telah menjadikan beliau seorang yang amat fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris dan Arab.

Minatnya terhadap penulisan, percetakan dan penerbitan telah digarap semenjak beliau remaja ketika belajar di Mekah. Ketika itu, beliau sempat bekerja di sebuah syarikat perkapalan berpangkalan di Mekah dan Mesir sebagai seorang penterjemah dalam hal surat-menyurat.

Yusof Rawa tidak seperti rakan-rakannya yang kebanyakannya membuka madrasah, menjadi guru, atau kadi di negeri-negeri lain di Tanah Melayu setelah pulang dari Mekah. Keghairahan beliau dalam penerbitan buku dan penulisan khususnya dalam bidang agama berjaya mengembalikan zaman kegemilangan ayahandanya.

Banyak makalah dan hasil tulisan Tuan Guru Haji Yusof Rawa seperti majalah al-Islah serta karangan Tafsir Ar-Rawi sehingga kini menjadi sumber rujukan para pengkaji. Malah, kepakaran beliau dalam bidang percetakan ini sedikit sebanyak telah membantu rakan-rakan — yang kebanyakannya ulama — mengembangkan Islam di Tanah Melayu. Hasilnya, kebanyakan idea pembaharuan (islah) Islam tanpa mengabaikan perkara asas Islam tersebar luas di Tanah Melayu.

Pendedahan beliau terhadap sistem Pendidikan Inggeris (British) dan kemahiran dalam bidang agama juga telah menjadikan beliau seorang negarawan yang memiliki pandangan yang seimbang antara agama dan duniawi.

Kecenderungan Yusof Rawa dalam aktivisme serta pengaruh pemikiran Islah membawa beliau ke kancah politik. Beliau kemudian menjadi tokoh yang disegani dalam bidang korporat malah juga dalam arena politik.

Hidup Dalam Masyarakat Rencam Budaya

Mungkin darah yang menghidupkan dan menjadikan Yusof Rawa seperti adanya ini adalah darah keturunan Rawa. Seperti orang Minangkabau, adat dan budaya orang Rawa sangat rapat dan menyanjung tinggi nilai-nilai Islam, khususnya dalam hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Ciri-ciri ini ada pada beliau. Biarpun sudah bergelar orang politik, Yusof Rawa sangat akrab dengan orang berlainan kepercayaan.

Sudah menjadi suatu kelaziman bagi beliau sebelum menulis di kedai kitabnya untuk bersua muka sambil menghirup kopi dan roti bakar yang dipesan dan dihantar dari kedai kopitiam di seberang jalan kedai kitabnya. Kesempatan itu digunakan untuk beliau berbual dengan pengusaha kopitiam dan masyarakat setempat. Bagi Yusof Rawa, di situlah pemahaman tentang hidup bermasyarakat dan simpati terhadap nasib masyarakat bermula.

Jiwa politik dan kemasyarakatan Yusof Rawa sudah tentunya bukan hanya pada peringkat tempatan. Beliau pernah menjadi wakil Malaysia dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York (bermastautin di sana selama setahun) serta pernah menjadi duta besar Malaysia ke Iran, Turki dan Afghanistan. Kepercayaan yang diberikan atas kefasihan berbahasa Arab dan Inggeris beliau gunakan sebaik-baiknya untuk manfaat masyarakat dan negara.

Yusof Rawa menamatkan kerjaya politiknya setelah tujuh tahun menjawat jawatan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pertama di Malaysia. Tuan Guru Haji Yusof Rawa mungkin sudah tiada pada hari ini. Tetapi, segala sumbangan, ilmu, dan tunjuk ajarnya menjadi kenangan dan panduan masyarakat sehingga ke hari ini.

Nidhal Rawa merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Sejarah dan Serantau di Penang Insitute. Bidang kajian beliau termasuklah politik Islam dan sejarah perkembangan masyarakat Muslim di Pulau Pinang.

Gambar oleh Nidhal Rawa.