Suara Nadi

Politik Anak Muda: Antara Tanggungjawab dan Kebebasan

Oleh Mohammad Zulhafiy Zol Bahari (Pelatih, Program Kajian Warisan dan Bandar)   |   Posted on

Siapa sangka bahawa anak muda yang berjiwa besar juga mampu mengubah nasib masyarakat dan negaranya? Sejarah sudah membuktikan hal ini. Perjuangan untuk memerdekakan negara daripada tangan penjajah lebih enam dekad lalu banyak digerakkan oleh pemuda dan pemudi. Kita mengenal nama-nama seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, dan ramai lagi yang kesemuanya berpolitik sedari usia muda. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang pemikiran, namun matlamatnya hanya satu: untuk bebas.

Pada hari ini, anak muda ada di merata-rata tempat. Mereka mengisi jawatan-jawatan tinggi dalam masyarakat dan maju dalam pelbagai bidang pekerjaan. Namun demikian, walaupun dengan bukti sejarah yang lebih daripada memadai, kita senantiasa dihadapkan dengan pertanyaan tentang kemampuan anak muda atau belia dalam memimpin negara. Mampukah belia di Malaysia hari ini memberi pengaruh terhadap isu-isu masyarakat dan negara? Apa yang perlu dimiliki oleh anak muda untuk menjadi pemimpin?

Tidak dapat dinafikan bahawa kebelakangan ini, belia — sesiapa sahaja yang tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 40 tahun — dilihat semakin giat melibatkan diri dalam hal ehwal politik negara. Buktinya dapat dilihat melalui kewujudan pelbagai kelab dan persatuan pelajar, baik di universiti mahupun di luar pintu pagar kampus. Malah, banyak daripada persatuan pelajar ini merupakan kader parti politik seperti Kelab Mahasiswa UMNO dan Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Penubuhan parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) pimpinan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, juga merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah politik anak muda Malaysia. Setidak-tidaknya, usaha ini dilihat sebagai terjemahan kepada rasa yakin anak muda dalam melakukan perubahan politik khususnya bagi mendesak kepada penglibatan golongan muda yang lebih ramai dalam proses pembuatan keputusan.

Sesungguhnya, wadah untuk anak muda terlibat dalam politik bukan lagi suatu masalah. Teknologi hari ini memungkinkan banyak perkara. Aktivisme politik tidak lagi hanya terjadi di ruang-ruang yang berbentuk fizikal, tetapi turut berlaku di ruang-ruang maya dengan kewujudan media sosial seperti Facebook, Twitter, malah yang terbaharu, Clubhouse. Namun demikian, soalan penting yang perlu ditanyakan adalah sejauh mana bebas anak muda boleh bersuara?

Detik Getir Bagi Kebebasan Bersuara

Suka atau tidak, kebebasan bersuara adalah hak bagi setiap manusia. Perkara ini sudah terjamin dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Menurut Perkara 19 dalam pengisytiharan ini, kebebasan bersuara ditakrifkan sebagai kebebasan untuk berpendapat tanpa campur tangan dan untuk mencari, menerima dan menyampaikan maklumat dan idea melalui mana-mana media tanpa mengira sempadan. Malah, hak yang sama juga termaktub di dalam Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan. Namun, adakah peruntukan perlembagaan sedia ada ini memadai bagi menjamin kebebasan setiap warganegara untuk bersuara dan berpendapat?

Biarpun Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan bersuara kepada setiap warganegara, namun kebebasan bersuara di negara ini dilihat hadir dengan keterbatasan. Malah, dalam konteks ini, kebebasan bersuara sering dianggap sebagai sesuatu yang bukan mutlak dan memiliki limitasi. Hal ini misalnya diterjemahkan melalui kewujudan pelbagai undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Rahsia Rasmi 1972. Daripada sudut lain, kehadiran undang-undang yang seakan-akan menyekat kebebasan bersuara seperti inilah yang akhirnya menghalang minat golongan muda untuk bergiat dalam politik.

Walaupun sudah lebih enam dekad negara ini mengecap kemerdekaan dan memerintah sendiri, tolak-tarik antara demokrasi dan autoritarianisme sentiasa berlaku. Penahanan tanpa bicara ke atas tahanan politik mungkin sudah berakhir setelah Akta Keselamatan Negeri (ISA) dimansuhkan pada tahun 2012, namun bentuk-bentuk gangguan terhadap kebebasan bersuara tetap sahaja berlaku melalui cara berlainan.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menangguhkan pelaksanaan Undi18 yang membenarkan belia mendaftar mengundi secara automatik. Isu ini dilihat sebagai suatu penafian terhadap hak bersuara anak muda kerana keterbatasan mereka dalam mengakses komponen asas berdemokrasi iaitu hak mengundi. Suara belia yang mampu menjadi penyumbang terbesar kepada pemantapan politik di Malaysia diabaikan begitu sahaja.

Tidak memeranjatkan bahawa gejala seperti ini turut berlaku di banyak negara lain di rantau Asia Tenggara, lebih-lebih lagi ketika dunia sedang dilanda wabak. Pemerhatian yang dilakukan oleh Choong Pui Yee, seorang penyelidik dari badan pemikir Penang Institute, menunjukkan bahawa banyak tindakan yang diambil oleh negara-negara di rantau Asia Tenggara dalam menangani penularan wabak Covid-19 secara tidak langsung telah melemahkan tahap demokrasi di negara tersebut. Kejatuhan tahap demokrasi ini digambarkan melalui ketiadaan proses semak dan imbang, halangan terhadap kebebasan bersuara, pelanggaran hak asasi manusia, dan berlakunya ketidakadilan dalam pilihan raya.

Penurunan tahap kebebasan bersuara ini sudah pasti merupakan suatu perkembangan yang merisaukan. Namun, usaha untuk mempertahankan demokrasi dan kebebasan bersuara tetap perlu diteruskan oleh semua pihak terutamanya badan-badan bukan kerajaan dan pihak media. Salah satu cara untuk mengekalkan momentum ini adalah melalui pendidikan politik.

Pendidikan Politik Anak Muda

Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Penglibatan belia dalam aktivisme politik dan sosial bukanlah suatu perkara baharu. Jika kita perhatikan di negara-negara Asia Tenggara lain, golongan belia sudah lama berjuang untuk menuntut dan mempertahankan hak bersuara mereka.

Di Thailand, golongan muda sedang mengadakan tunjuk rasa bagi menuntut pindaan terhadap perlembagaan, mendesak supaya Perdana Menteri mereka meletak jawatan, dan mengembalikan kebebasan mereka untuk berkegiatan. Anak muda di Myanmar pada saat ini juga sedang mengibarkan semangat yang sama, malah lebih menyayat hati apabila ada yang terbunuh demi mempertahankan demokrasi.

Oleh yang demikian, tugas memperkasakan golongan belia adalah amat penting kerana golongan ini diharapkan menjadi ejen yang memainkan peranan aktif dalam mengangkat masalah-masalah masyarakat dan mempertahankan hak asasi manusia. Dalam hal ini, pendidikan politik merupakan kunci utama dalam mendidik seseorang individu tentang peri penting hak bersuara. Hal ini boleh dilakukan melalui banyak cara seperti penganjuran bengkel-bengkel sivik, perbincangan-perbincangan politik, kempen, dan lain-lain.

Tambahan lagi, galakan untuk golongan belia terlibat aktif dalam hal ehwal masyarakat tidak semestinya terbatas dalam wadah politik kepartian sahaja. Ruang-ruang penglibatan politik sudah tentunya turut merangkumi badan-badan bukan kerajaan yang lebih khusus perjuangannya. Saya sendiri pernah bergiat aktif dalam persatuan belia seperti Akademi Advokasi Belia mengenai Kebebasan Berekspresi di bawah anjuran sebuah badan bukan kerajaan Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) dan Internews Malaysia. Di situ, pelbagai kemahiran dan ilmu advokasi telah saya pelajari.

Sikap ingin cuba dan tidak cepat mengalah perlu diterapkan agar belia tidak berada dalam belenggu ketakutan untuk menyuarakan dan mengekspresikan pendapat mereka yang mungkin amat berguna untuk melakukan perubahan. Peribahasa “alah bisa tegal biasa” sangat relevan untuk meyakinkan belia bahawa sesuatu perkara yang rumit pasti boleh disempurnakan jika sering dilakukan.

Harapan untuk belia dalam memperjuangkan hak bersuara boleh dicapai dengan persiapan pendidikan politik yang rapi dan sifat keterbukaan dalam berpolitik. Semangat kejituan, keutuhan, dan cintakan negara akan menjamin kestabilan politik Malaysia yang kini dilihat semakin goyah. Jika semua belia mengambil berat tentang hak ini, sudah tentu masa depan negara akan lebih terjamin.

Mohammad Zulhafiy Zol Bahari merupakan pelatih di Program Kajian Warisan dan Bandar, Penang Institute.

Gambar oleh Ahmad Qime (Unsplash.com)