Suara Nadi

Sebuah Agama Perdamaian

Oleh Nidhal Rawa (Penyelidik, Program Kajian Sejarah dan Serantau)   |   Posted on

Melihat kepada perkembangan politik dan agama, khususnya agama Islam di Malaysia, terdapat persoalan utama yang masih lagi saya belum temukan jawapan. Jika benar agama menganjurkan perdamaian, kenapa masih wujud lagi pertelingkahan dalam masyarakat atas nama agama?

Saya dilahirkan dan dididik dalam sebuah keluarga yang mempercayai bahawa Islam adalah agama yang menyeluruh (syumul). Ia memandu hidup kita baik di dunia mahupun akhirat. Malah, latar belakang keluarga saya yang giat dalam politik berlatar belakang Islam menjadikan saya terbiasa dengan kehidupan masyarakat yang lebih luas.

Kefahaman Islam yang diajarkan oleh keluarga saya adalah bukan sahaja mengabdikan diri kepada Tuhan dengan beribadat kepada-Nya. Malah, perlu melakukan kebaikan kepada semua manusia tanpa mengira latar belakang, darjat, kaum, dan agama. Saya percaya bahawa anjuran seperti ini turut ada dalam mana-mana kepercayaan agama sekalipun.

Setiap agama mengajarkan perdamaian dalam mencari kebahagiaan di dunia. Saya bersyukur kerana asas negara Malaysia adalah sebuah asas yang didirikan oleh pelbagai latar kaum, budaya, dan agama. Atas kenyataan inilah, sikap muhibah serta toleransi wajib dituruti jika keseimbangan hidup bermasyarakat ingin terus dikekalkan.

“Bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Atas sebab itu saya merasakan bahawa para agamawan—orang yang dihormati oleh masyarakat—sangat berpengaruh terhadap pemahaman masyarakat tentang Islam dan kehidupan beragama di tanah air ini. Percampuran politik dan agama yang tidak berpada-pada lambat-laun berhujung pada perbalahan.

Islam di Ranah Politik

Hakikat kehidupan politik tidak selalunya seindah yang saya bayangkan. Kerana berbeza kepercayaan dan pendapat, masyarakat hidup dengan penuh syak wasangka baik antara agama mahupun sesama agama. Sikap melampau-lampau (ghuluw) serta taksub segelintir penganut agama telah menyebabkan perbalahan yang tidak berkesudahan. Perkara ini ditambah lagi oleh gelagat segelintir ahli politik yang suka untuk menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk meraih sokongan.

Hal ini misalnya dapat dilihat dalam isu seperti pemerkasaan RUU 355, isu arwah Adib, dan BMF (Buy Muslim First). Tanpa disedari, tabiat ini merosakkan lagi kesepaduan dan mewujudkan sikap syak wasangka antara agama dan kaum. Ajaran Islam yang saya fahami adalah untuk berbuat baik sesama manusia dan kehidupan lain.

Atas kesedaran itu, saya sedar bahawa amat tidak wajar sekiranya saya memaksa kawan bukan Muslim saya untuk menerima nilai kepercayaan agama yang saya anuti. Malah dalam konteks kenegaraan, nilai Islam berdasarkan budaya setempat (‘urf) tidak perlu disempitkan sebagai perkara yang tidak boleh diubah atau dipersoalkan.

Sesungguhnya, asas kenegaraan berdasarkan Islam (siasah shar’iyyah) itu bersifat luas dan boleh dipertikai jika ditemui kelemahannya. Maka disini, golongan agamawan yang mendalami disiplin ini (siasah shar’iyyah) perlu lebih terbuka dan lebih memahami konteks realiti di Malaysia. Seharusnya, libat urus ini perlu mengambil kira pandangan mutakhir pakar cendekiawan yang arif tentang politik dan perundangan tanah air.

Sikap segelintir agamawan kadang-kala yang hanya menumpukan kepada persoalan hukum-hakam semata-mata telah menyempitkan lagi cara pandang agama dalam masyarakat. Kebanyakan mereka hanya dibiasakan dengan soal halal haram semata-mata tanpa diberikan ruang untuk berfikir secara kritis. Bahkan lebih teruk lagi kerana seseorang itu mempersoalkan kebaikan atau keburukan sesuatu perkara dalam Islam, mereka terus dihukum dan dikeji. Ruang untuk penambahbaikan akhirnya tertutup.

Selain itu, sikap menghukum yang sering diajarkan oleh segelintir agamawan boleh juga membina jurang dalam masyarakat. Orang yang taksub dengan pegangan sendiri akan terus menghukum sehingga hilang nilai adab sebenar Islam. Manakala, orang yang terasa dihukum akan terus menjauh dan berprasangka dengan Islam.

Sikap begini lazim saya lihat di Malaysia khususnya dalam hal ehwal politik (siasah). Malah ada segelintir daripada mereka mendabik dada bangga atas kejian dan makian kepada seteru politik. Barangkali mereka merasakan bahawa perkara itu adalah suatu manifestasi jihad melawan kemungkaran.

Penghayatan Islam dalam politik kita perlu difikirkan semula. Cara pandang Islam dari sudut kenegaraan wajar mengangkat konteks kepelbagaian yang wujud di tanah air ini. Malah, pemahaman tentang syariat Islam dalam politik tidak perlu hanya disempitkan dengan soal Hudud dan ‘political survival’ kaum tertentu semata-mata. Bagi saya, apa yang perlu didahulukan oleh sesiapa pun adalah keadilan sosial serta usaha peningkatan taraf ekonomi masyarakat.

Wabak yang melanda seharusnya dijadikan medan untuk mencari sinar kebaikan bersama. Kenyataannya, rakyat masih merasa bebanan kemelesetan ekonomi. Kebanyakan daripada kita masih berjuang untuk keluar dari kesempitan ini. Covid-19 menyerang tidak mengenal kaum, bangsa, atau agama. Akhirnya, kita semua perlu bekerjasama dalam mencari jalan keluar. Apa yang diharapkan adalah manfaat kestabilan politik dan ekonomi bersama. “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Nidhal Rawa merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Sejarah dan Serantau di Penang Insitute. Bidang kajian beliau termasuklah politik Islam dan sejarah perkembangan masyarakat Muslim di Pulau Pinang.