Suara Nadi

Miskin Bandar: Impak Wabak dan Daya Tahan Bandar

Oleh Syafiqah Nazurah Mukhtar (Penyelidik, Program Kajian Warisan dan Bandar)   |   Posted on

KEMISKINAN bukanlah satu isu baru di Malaysia. Namun, isu ini semakin hangat dibincangkan apabila saban hari jumlah penduduk miskin bandar semakin meningkat, malah menurut satu artikel Berita Harian baru-baru ini, peratus penduduk miskin bandar adalah melebihi penduduk miskin di luar bandar.[1] Hal ini ditambah lagi dengan trend penghijrahan anak-anak muda dari luar bandar ke bandar-bandar besar di Malaysia. Kebanyakan mereka beranggapan bahawa menetap di bandar dapat menjamin kehidupan yang lebih berkualiti kerana peluang pekerjaan yang lebih banyak.

Walau bagaimanapun, tidak semua yang berpindah ke bandar dapat mengecapi apa yang diidamkan, seperti pekerjaan yang menjamin pendapatan tinggi serta taraf hidup yang lebih berkualiti. Sesetengah daripada mereka terpaksa melakukan apa sahaja pekerjaan termasuklah yang bukan profesional kerana tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan.

Akibatnya, kebanyakan daripada mereka terus menghadapi masalah kewangan serta dihimpit dengan kos sara hidup yang lebih tinggi di bandar. Kebanyakan mereka terjerat dengan hutang-piutang seperti komitmen rumah, kenderaan, dan sebagainya. Bagi mereka, mempunyai simpanan yang mencukupi hanyalah angan-angan sahaja. Malah, kehidupan sebelum ini juga hanya sekadar cukup-cukup makan sahaja.

Masalah sumber pendapatan yang tidak mencukupi ini akan menyebabkan keupayaan mereka dalam hal-hal lain juga menjadi terhad. Antaranya adalah masalah pengangkutan untuk ke tempat kerja serta tidak mampu menanggung kos pusat jagaan anak-anak yang kian meningkat.[2] Golongan miskin bandar umumnya tidak berupaya untuk memperoleh kemudahan dan keperluan asas yang diperlukan. Kebanyakan daripada mereka tinggal di kawasan perumahan yang tidak selesa dan di persekitaran yang tidak selamat. Hal ini menyebabkan mereka mudah terdedah kepada masalah kesihatan, jenayah, dan bencana alam.

Nasib sebagai miskin bandar juga selalunya akan diwarisi oleh generasi mereka seterusnya. Ibu dan ayah mereka tidak mampu untuk menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Maka, anak-anak mereka juga akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji yang mencukupi. Hal ini menyukarkan lagi keluarga mereka untuk keluar daripada kelompok itu.

Berdasarkan situasi yang dialami dan ciri-ciri miskin bandar yang telah dibincangkan, dapat kita katakan bahawa miskin bandar itu sendiri tidak hanya merujuk kepada golongan yang mengalami kekurangan dan ketidakstabilan dari segi kewangan sahaja. Ia juga merangkumi golongan rentan yang selama ini hidup sederhana, tetapi mudah jatuh miskin jika berlaku perkara di luar jangkaan oleh sebab tidak mempunyai simpanan kecemasan.

Penularan wabak Covid-19 dan kawalan pergerakan yang berpanjangan telah memberi impak yang serius terhadap ekonomi negara terutamanya sektor pekerjaan, sekali gus menyebabkan lebih ramai rakyat terkesan. Akhirnya, wujudlah golongan “miskin baharu”, terutamanya yang bekerja sendiri seperti peniaga-peniaga kecil. Ada yang hilang punca rezeki perniagaan, hilang pekerjaan, atau gaji dipotong separuh. Kejadian ini secara tidak langsung menyerlahkan lagi keadaan kewangan rakyat yang rapuh. Namun, kewujudan golongan “miskin baharu” ini bukan sahaja disebabkan oleh kerapuhan kewangan rakyat itu semata-mata. Ia juga mencerminkan kelemahan daya tahan sesebuah bandar.

Potensi Daya Tahan Bandar di Kala Wabak

Terdapat pelbagai usaha pembasmian kemiskinan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Namun, dalam konteks perancangan bandar dan pembangunan dasar, daya tahan bandar berbaloi untuk diberi penekanan kerana potensinya. Ia tidak hanya menjadikan bandar itu

lebih berdaya tahan terhadap apa jua krisis mendatang, tetapi ia juga akan mengurangkan kemiskinan dalam jangka masa panjang dengan mengelakkan lebih ramai rakyat jatuh ke dalam kelompok “miskin baharu” jika sesuatu krisis berlaku lagi pada masa hadapan.

Daya tahan bandar merujuk kepada kemampuan sesebuah bandar itu untuk menyerap, pulih, dan bersedia untuk menghadapi keadaan atau krisis di luar jangkaan, baik dari segi ekonomi, persekitaran, sosial, ataupun institusi. Daya tahan bandar bukan sahaja penting dalam usaha untuk mencapai agenda membasmi kemiskinan, malah ia menjadikan sesebuah bandar itu mempunyai kelebihan dalam membangun dengan lebih mampan, sejahtera, dan inklusif.

Penularan wabak Covid-19 memberi kesan yang serius terutamanya kepada sektor ekonomi negara. Daripada turunnya nilai mata wang sehinggalah ramai rakyat kehilangan pekerjaan. Kejadian ini sedikit sebanyak telah membuka mata kita terhadap betapa pentingnya daya tahan sesebuah bandar. Kita dapat lihat bahawa bandar yang mempunyai daya tahan yang lemah akan menerima kesan wabak yang lebih serius dan cepat terkesan.

Dalam situasi wabak seperti sekarang, daya tahan bandar boleh menjadi pengukur kepada sejauh mana sesebuah krisis memberi kesan terhadap penduduknya. Ia juga dapat berfungsi dalam mengurangkan impak krisis terhadap miskin bandar terutamanya kepada golongan yang paling awal dan paling terkesan akibat krisis. Selain itu, ia juga dapat membantu bandar itu pulih dengan lebih mudah jika dilanda krisis.

Kepentingan daya tahan bandar dalam mengurangkan impak terletak kepada elemen utama dalam mengukur daya tahan sesebuah bandar iaitu ekonomi. Ekonomi adalah instrumen yang paling berkesan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengurangkan kemiskinan. Sesebuah bandar yang mempunyai daya tahan ekonomi berupaya untuk menjangkakan risiko, menilai bagaimana risiko itu dapat mempengaruhi aset ekonomi utama, dan berupaya untuk membina kapasiti yang responsif.

Situasi wabak yang masih samar penghujungnya ini mungkin menyukarkan lagi usaha pembasmian kemiskinan. Namun, pada pendapat saya, ia boleh menjadi satu peluang kepada kita untuk bukan sahaja memberi tumpuan terhadap usaha pembasmian

kemiskinan semata-mata, tetapi membina daya tahan ekonomi dan menjadikan bandar itu bersedia untuk menghadapi apa jua krisis mendatang. Sebuah bandar yang sentiasa bersedia dapat mengurangkan jumlah “miskin baharu” di masa hadapan.

Syafiqah Nazurah Mukhtar merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Warisan dan Bandar di Penang Institute. Beliau sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD dalam bidang Perancangan Luar Bandar dan Alam Sekitar.

Gambar oleh Aaron Lee (Unsplash)


[1] Berma, M., & Azmizam, A. R. (2021, May 22). Kesan pandemik beri dimensi baharu kemiskinan bandar. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/05/819444/kesanpandemik-beri-dimensi-baharu-kemiskinan-bandar

[2] Mohd Amin, S. (2021, October 2). Usaha bersepadu tingkat penyertaan wanita dalam pasaran buruh. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/10/871357/usaha-bersepadutingkat-penyertaan-wanita-dalam-pasaran-buruh