DILAHIRKAN PADA tahun Monyet, saya sering terkenang hubungan saya dengan mereka. Sebaik sahaja tahun bermula, ibu akan tergesa-gesa ke kedai buku Popular di tingkat tiga Plaza Gurney untuk membeli salah satu daripada buku horoskop Feng Shui, melihat pandangan ringkas tentang apa yang akan berlaku pada tahun hadapan untuk kami berdua. Terkenang zaman kanak-kanak saya dahulu, membesar di Sanur, sebuah pekan di selatan pulau Bali. Sebaik sahaja loceng makan tengah hari berbunyi, saya berlari meluru keluar dari bilik darjah teruja melihat seekor monyet yang ‘bertenggek’ di dinding bata di tepi taman. Saya bersama beberapa orang rakan sekolah ketawa tanpa henti, meniru ekspresi dan gelagat monyet yang menguap.
Langur Endemik
Kehidupan saya yang sentiasa ‘berarak’ ke dan dari hujung bertentangan laut Andaman dan Jawa, dari Singapura ke Bali, kemudian ke Myanmar dan kini menetap di Malaysia, saya melihat sekumpulan monyet yang ‘bermastautin’ di kawasan komuniti bandar. Mereka tiba-tiba muncul di taman permainan, bersantai di kaki perhentian bas atau pun bergaduh dengan pasangan di tepi kolam.
Di Pulau Pinang, dusky leaf monkey, juga dikenali sebagai lotong Cengkong, adalah spesies yang sering dilihat. Mereka sering kelihatan di kawasan yang menghubungkan Teluk Bahang dan Batu Ferringhi, tetapi mereka berkeliaran juga di sekitar kompleks pangsapuri saya di Tanjung Bungah, berdekatan kolam.
Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) telah menyenaraikan Lotong Cengkong sebagai “Terancam” di bawah “Senarai Merah” hasil daripada aktiviti antropogenik seperti pembangunan kawasan hutan seperti pembinaan jalan raya dan kondominium, penukaran hutan belantara menjadi ladang serta pembalakan.
Membina Jambatan
Projek Langur Pulau Pinang (LPP) ialah sebuah organisasi penyelidikan dan pemuliharaan berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kewujudan bersama yang harmoni antara manusia dan hidupan liar bandar yang semakin meningkat. Diasaskan oleh Jo Leen Yap, seorang penyelidik hidupan liar dalam bidang Zoologi terlibat dalam menjalani pelbagai projek pemuliharaan haiwan ini termasuklah penerbitan kertas penyelidikan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat. Malahan melalui projek ini juga, ia telah berjaya membina dua lintasan untuk lotong dan haiwan atas pokok yang lain untuk menyeberang jalan dengan selamat.
Pembinaan dua jambatan kanopi LPP—yang pertama di Teluk Bahang dan yang kedua di Lembah Permai—telah menjadi visi lama organisasi itu. Lintasan hidupan liar membantu primat dan mamalia arboreal lain di kawasan sekitar itu untuk menyeberang jalan dengan selamat dan mengurangkan kemalangan jalan raya.
Pemasangan jambatan pertama LPP di Teluk Bahang telah dipaparkan dalam siri dokumentari tiga bahagian BBC, Primates, yang dikeluarkan pada tahun 2020, yang mana menunjukkan kejayaan projek tersebut. LPP mengikut jejak usaha pemuliharaan lain di seluruh dunia; seperti menggunakan hos api kitar semula yang disumbangkan oleh balai bomba tempatan untuk membina jambatan ini. Hos ini sangat sesuai kerana ia tahan lasak dan mampu menahan cuaca hujan dan panas terik di Pulau Pinang.
Memerangi Maklumat Salah
Antara cabaran yang dihadapi oleh LPP ialah stigma sosial yang menganggap bahawa populasi monyet sebagai haiwan perosak. Semasa menulis artikel ini, saya terjumpa satu laman forum tempatan di mana komen-komen menghina dan kasar ditujukan kepada monyet-monyet yang tidak berdosa, dengan menggesa pengguna lain untuk menembak mereka atau meletakkan mercun hidup dalam makanan mereka. Salah satu komen berbunyi: “Anjing peliharaan, lastik, pancutan air, makanan beracun, malah senapang pun tak apa. Mereka membiak seperti arnab, jadi jangan rasa bersalah untuk membunuh sebahagian daripada mereka. Malah, anda akan buat kebaikan untuk semua orang.” Semasa saya membaca komen-komen di forum ini, saya menyedari bahawa manusia seolah-olah telah lupa bahawa tanah ini adalah rumah mereka jauh sebelum ia menjadi milik kita.
Untuk memerangi trend penganiayaan dan salah maklumat yang semakin meningkat, LPP sering menganjurkan aktiviti berasaskan komuniti untuk melibatkan dan mendidik warga tempatan, seperti penglibatan mereka dalam aktiviti mendaki dan menghasilkan risalah bermaklumat dalam tiga bahasa utama – Melayu, Mandarin dan Inggeris. “Ada Monyet?” ialah panduan memberikan petunjuk dan garis panduan ringkas yang mendidik mereka tentang cara menangani monyet jika anda berada di kawasan yang sama dengan mereka. Perkara yang paling penting untuk diingat adalah seperti berikut:
• Jangan sesekali menghampiri dan memberi makanan kepada monyet. Tindakan anda itu baik namun makanan yang tidak sesuai boleh menyebabkan haiwan tersebut jatuh sakit, manakala membuang sampah di habitat mereka tidak akan memberi manfaat kepada mereka. Khususnya, lotong adalah haiwan herbivor yang memakan buah dan uniknya mereka menelan biji buah secara keseluruhan namun saluran pencernaan mereka tidak rosak. Jadi mereka mampu mengeluarkan biji tersebut di lokasi baru, menyebarkan buah dan seterusnya benih pokok baru akan tumbuh dan membiak di tempat baru.
• Jaga jarak yang selamat. Jika anda mendekati seekor monyet, mereka mungkin berasa terancam dan menerkam keluar untuk mempertahankan diri. Adalah disyorkan untuk mengekalkan jarak sebaik-baiknya antara empat hingga lima meter.
• Elak daripada menunjukkan gigi dan membuat sentuhan mata secara langsung. Mereka akan berasa tenang tanpa tatapan tajam anda. Senyuman menunjukkan bahawa anda tunduk dan lemah. Memakai ekspresi yang tenang dan tidak menunjukkan gigi akan mengurangkan kebimbangan monyet terhadap anda.
• Berjalan dengan yakin atau pada kadar yang pantas. Menunjukkan keyakinan menegaskan kekuatan anda dan monyet tidak perlu lagi membimbangkan anda. Jika anda sedang berjalan-jalan, pertimbangkan untuk membawa kayu hiking atau mana-mana kayu panjang yang boleh anda cari. Ketuk kayu di atas tanah dengan perlahan semasa anda berjalan untuk menjauhkan monyet.
Masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencegah kepupusan lebih serius terhadap populasi langur dan makhluk arboreal lain yang menjadikan Pulau Pinang sebagai rumah mereka. Apa yang penting ialah kerja pemuliharaan berterusan yang dilakukan oleh LPP dan usaha kolaboratif masyarakat setempat, untuk menjamin masa depan yang positif untuk haiwan-haiwan ini.
Jika anda ingin terlibat dengan LPP, sila imbas kod QR untuk mencapai halaman utama di tapak web mereka, atau lihat halaman media sosial mereka di Facebook, X, YouTube dan Instagram di bawah pemegang @langurprojectpenang atau @langurpenang.
Grace Sudita sering dirujuk oleh rakan-rakannya sebagai “BBB” (British, Burma dan Bali) kerana latar belakang etniknya yang unik. Pada masa lapangnya, dia meluangkan masa menambah berjuta-juta filem pada senarai tontonannya di Letterboxd namun jarang dapat menontonnya.
Dikutip dan terjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Grace Sunita dalam Penang Monthly, The Langur Project: Penang Bridges Urbanisation with Wildlife Wellbeing, September 2024 Issue.