Isu kesaksamaan gender merupakan manifestasi kepada kesedaran dalam politik agar hak, peluang, dan perlindungan diberikan kepada setiap individu tanpa mengira jantina atau peringkat umur. Malah, isu kesaksamaan gender ini diangkat menjadi teras kelima dalam matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goals) seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di Malaysia, isu kesaksamaan gender tidak kurang pentingnya.
Malah dalam Islam, pandangan tentang kesaksamaan gender bukanlah perkara yang asing. Di dalam Al-Quran surah Al-Hujurat ayat 13 misalnya, Tuhan meletakkan lelaki dan perempuan tidak kira bangsa dan kaum itu sama tarafnya. Bahkan, disebutkan lagi dalam surah al-Baqarah ayat 187 bahawa penciptaan lelaki dan wanita itu adalah untuk saling melengkapi. Ini merupakan sebahagian contoh yang terdapat di dalam al-Quran dalam mengangkat nilai kesaksamaan gender. Namun, sejauh manakah isu ini ditanggapi oleh masyarakat Muslim secara umum di Malaysia?
Didikan Awal
Realitinya, perkara ini masih dianggap asing dalam masyarakat kita. Kesedaran masyarakat masih rendah dan kebanyakan hak wanita dipinggirkan dalam aspek sosial dan ekonomi. Ini termasuklah penyertaan wanita yang rendah dalam politik dan kebanyakan peluang ekonomi masih didominasi oleh lelaki yang dilihat lebih berketerampilan dalam budaya masyarakat kini. Perkara ini dapat dilihat dalam Indeks Jurang Gender Global pada tahun 2021, di mana kedudukan Malaysia masih jauh di belakang (112 daripada 156 negara). Antara jurang yang ketara dilihat berlaku adalah dalam sektor ekonomi dan politik.[1]
Isu ketidaksamaan gender ini jelas kelihatan bermula dalam institusi keluarga lagi. Kebanyakan daripada kita sudah dibiasakan bahawa keputusan untuk menentukan hala tuju keluarga adalah dibuat oleh ketua keluarga (suami). Bahkan, kebanyakan anak perempuan dididik supaya lebih menjadi ‘sopan’ dalam menuruti perintah keluarga berbanding lelaki. Banyak pantang larang yang perlu dituruti oleh seorang wanita yang sering dianggap sebagai simbol maruah dalam sebuah keluarga. Malah, sikap ‘sopan’ sering dijadikan alasan agar wanita tidak mengkritik suatu perkara yang dianggap salah.
Terdapat satu kes baru-baru ini bahawa seorang isteri telah membongkar kecurangan suaminya melalui media sosial. Masih ada lagi yang menganggap bahawa suami itu tidak bersalah manakala tindakan isteri itu berdosa atas alasan tidak menjaga aib suami. Bagi saya, menjaga aib (dosa peribadi) itu boleh disembunyikan selagi mampu. Namun, sikap curang dalam hubungan suami isteri itu lebih besar mudaratnya. Penerapan sikap ‘sopan’ bukanlah alasan untuk menafikan penindasan yang berlaku dalam sebuah rumahtangga.
Selain itu, jurang kesaksamaan gender juga mengekang kemajuan wanita untuk berdaya saing dalam sektor ekonomi. Berbanding lelaki, wanita perlu menempuhi pelbagai halangan terutama bagi yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak. Kebanyakan daripada kita masih beranggapan bahawa pendidikan anak di rumah perlu digalas oleh wanita manakala lelaki bertanggungjawab dalam mencari rezeki. Sikap sebegini kadangkala merencatkan kesedaran akan kesaksamaan gender dalam memenuhi keperluan ekonomi yang pesat.
Malah, ada wanita yang sanggup menamatkan kerjaya mereka atas alasan untuk menjaga anak-anak mereka. Meskipun itu merupakan pilihan peribadi, namun keterbatasan ruang penjagaan anak yang selamat dan kondusif membuatkan kebanyakan wanita sanggup berkorban dan memilih jalan yang sukar ini.
Manakala dalam politik, ciri keterampilan seorang pemimpin sering dinilai berdasarkan kegagahan dan kemampuan dalam mendepani masyarakat. Merit ini secara tidak langsung meminggirkan keberadaan wanita. Perkara ini dapat dilihat dalam dewan rakyat di mana kedudukan wanita amat rendah, iaitu sebanyak 15%. Lazimnya, segelintir masyarakat masih meragui akan kemampuan wanita untuk menerajui kepimpinan dan membuat perubahan dalam politik Malaysia. Bahkan, penampilan seorang wanita pernah dijadikan bahan kecaman berbanding idea perubahan yang ingin dibawa sehingga boleh menjatuhkan maruah. Perkara ini pernah berlaku pada seorang tokoh politik wanita pada suatu ketika dahulu.[2]
Norma budaya ini juga sering diperkukuhkan dengan penafsiran Islam yang sempit. Ramai lagi yang masih beranggapan bahawa wanita tidak layak untuk mentadbir negara. Peranan wanita sering disandarkan pada perkara-perkara kecil semata-mata. Hal ini mungkin berpunca daripada kefahaman segelintir masyarakat Muslim yang melihat ciri pemimpin berkemampuan hanya terletak kepada seorang lelaki dan ‘gagah’ untuk meneraju negara.
Sebuah Perjalanan Panjang
Isu kesaksamaan gender perlu ditekankan di peringkat penggubalan dasar mahupun di peringkat akar umbi lagi. Secara amnya, perjuangan kesaksamaan gender ini bukannya perkara yang baharu. Jika diambil kira, sudah hampir 26 tahun Malaysia mengangkat perjuangan kesaksamaan gender dengan meratifikasikan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW).[3]
Antara yang perlu diberi perhatian khusus adalah peletakan kuota minima sebanyak 30% bagi wanita untuk jumlah kerusi di dewan rakyat mahupun mana-mana dalam agensi kerajaan. Sedikit sebanyak ruang yang diberikan ini boleh menggalakkan penglibatan wanita dalam aspek pentadbiran serta penggubalan dasar. Pulau Pinang adalah antara negeri yang ke hadapan dalam melaksanakan dasar ini.
Cara pandang masyarakat tentang kesaksamaan gender wajar diperluaskan. Kesaksamaan bukanlah bermaksud setiap orang lelaki dan wanita mempunyai hak dan keperluan yang sama rata semata-mata. Asasnya, pengkelasan berdasarkan gender dan status itu adalah perlu bagi melihat segala keperluan dengan lebih terperinci. Perkara ini penting untuk memastikan keperluan seperti bajet belanjawan sampai kepada segenap lapisan masyarakat. Impaknya, masyarakat dapat mengecapi kebaikan bersama. Justeru, keperluan kesaksamaan gender boleh direalisasikan.
Setiap makhluk wajar mendapat peluang yang adil dan saksama. Jika melihat kepada sirah Rasulullah dahulu, Islam diterima oleh kebanyakan orang atas prinsip melawan diskriminasi yang berlaku pada ketika itu terutama sekali memelihara hak wanita. Atas semangat ini sepatutnya orang yang beragama lebih memahami keperluan semasa dalam mendepani cabaran ini.
Perjuangan dalam melawan ketidakadilan sosial di dunia merupakan sebuah jalan yang panjang dan berliku. Isu kesaksamaan gender hanyalah merupakan salah satu aspek dalam mengangkat nilai kemanusiaan yang lebih tinggi. Lumrah perjuangan ke arah kebaikan itu amat sukar dan perit. Namun percayalah, setiap kesusahan dihadapi akan memberi kesenangan kepada generasi seterusnya.
Nidhal Rawa merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Sejarah dan Serantau di Penang Insitute. Bidang kajian beliau termasuklah politik Islam dan sejarah perkembangan masyarakat Muslim di Pulau Pinang.
[1] Global Gender Gap Report 2021 ( Mac 2021). Laporan penuh: https://www3.weforum.org/docs/WEF_GGGR_2021.pdf
[2] Portal Berita Astro Awani (26 Mei 2018). Laporan penuh: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penampilan-ditegur-pupuk-penghormatan-lebih-tinggi-buat-wanita-nurul-izzah-176502
[3] SUHAKAM: An Independent Report to the Committee on the Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women [CEDAW] (2017). Laporan penuh: https://tbinternet.ohchr.org/Treaties/CEDAW/Shared%20Documents/MYS/INT_CEDAW_IFN_MYS_27118_E.pdf