
Ada beberapa hal di bawah langit ini yang layak diperjuangkan sebaik-baiknya. Pertama adalah kehormatan diri, dan kedua adalah kemampuan untuk merasa malu. Dua hal ini berkait rapat dengan integriti seseorang sebagai individu. Kehormatan berpijak pada nilai-nilai luhur yang ingin kita pertahankan, sementara rasa malu menjadi batas moral yang mencegah kita melampaui hal-hal yang seharusnya tidak dilakukan. Jika manusia kehilangan kedua-dua hal ini, dia mungkin masih berjalan tegak dan mengenakan pakaian, tetapi telah kehilangan sebahagian daripada alasan mengapa dia layak disebut manusia beradab.
Secara lebih umum, kehormatan adalah seperti mata wang yang kita gunakan untuk membina kepercayaan antara sesama manusia, sementara rasa malu adalah batasan yang menjaga kita daripada perilaku yang merosakkan diri sendiri mahupun orang lain. Kehormatan menjadikan orang percaya kepada kita; rasa malu menjadikan kita tahu bila harus berhenti. Kedua-duanya menuntun kita menjadi peribadi yang adiluhung. Lebih daripada itu, kedua-duanya juga membantu kita membezakan antara perkara yang boleh dilakukan dan perkara yang sepatutnya dilakukan. Hal ini kerana, tidak semua yang boleh kita lakukan layak kita lakukan, dan tidak semua yang menguntungkan kita dapat dibenarkan secara moral.
Watak seseorang biasanya dapat dilihat dengan jelas ketika dia melakukan kesalahan dan ketika disakiti oleh orang lain. Dalam keadaan pertama, kita dapat melihat sama ada dia memiliki kerendahan hati untuk mengakui kesilapannya, dan dalam keadaan kedua, kita dapat melihat sama ada dia memiliki keupayaan untuk mengawal diri agar tidak membalas keburukan dengan keburukan. Kedua-dua keadaan itu menguji sesuatu yang lebih mendasar daripada kecerdasan atau kemampuan seseorang untuk berbicara: watak.
Saat membaca falsafah Stoik, saya menemui pemikiran Seneca tentang bagaimana orang yang melakukan kesalahan seharusnya diperbetulkan melalui nasihat, ketegasan, bahkan hukuman yang patut, tetapi bukan semata-mata kerana kemarahan. Seneca menggunakan analogi seorang tabib yang merawat luka pesakit: siapa yang marah kepada orang yang sedang dia rawat? Tujuan seorang tabib bukan menghina luka, melainkan menyembuhkannya. Demikian pula, tujuan pembetulan moral semestinya bukan untuk memuaskan amarah, melainkan untuk memperbaiki perilaku.
Bagi Seneca, kemarahan bukan syarat untuk menegakkan keadilan. Kita boleh bersikap keras tanpa membenci, tegas tanpa kehilangan akal sihat, dan menghukum tanpa menjadikan hukuman sebagai tontonan balas dendam. Sebaliknya, seseorang yang tidak mampu menerima pembetulan memperlihatkan bahawa dia lebih sibuk mempertahankan harga diri daripada memperbaiki kesalahannya.
Sebagai orang Indonesia yang hidup berjiran dengan negara-negara Asia Tenggara lain, saya merasa pemikiran ini relevan untuk membaca hubungan serantau kita. Dalam beberapa bulan terakhir ini, persoalan kebakaran hutan dan lahan kembali mengingatkan kita bahawa diplomasi bukan hanya urusan perjanjian, protokol, atau siapa yang lebih dahulu mengulurkan tangan. Ada persoalan yang jauh lebih sederhana sekaligus lebih mendasar: bagaimana kita memperlakukan orang lain ketika tindakan yang kita lakukan di wilayah kita menimbulkan kerugian bagi mereka?
Asap Rentas Batas, Menolak Mengaku Salah
Ketika kebakaran hutan dan lahan di Sumatra dan Kalimantan mengirimkan asap ke Malaysia, Singapura, bahkan wilayah lain di Asia Tenggara, persoalannya tidak berhenti pada urusan cuaca atau kualiti udara. Asap memang tidak memerlukan pasport, tidak perlu beratur di imigresen, dan tidak memerlukan visa untuk melintasi Selat Melaka. Namun, ketidakmampuannya memahami batas negara tidak bererti kita juga boleh melupakan batas tanggungjawab moral.
Pada 2013, ketika kabut asap dari kebakaran di Sumatra mengganggu Malaysia dan Singapura, Menteri Koordinator Kesejahteraan Rakyat pada waktu itu, Agung Laksono, mengatakan keluhan Singapura sebagai sikap kekanak-kanakan. Menteri Luar Negeri, Marty Natalegawa juga menyatakan bahawa Indonesia tidak perlu meminta maaf, meskipun Presiden Susilo Bambang Yudhoyono kemudian menyampaikan permintaan maaf kepada kedua negara tersebut.
Pada 2015, Wakil Presiden Jusuf Kalla kembali mempertanyakan mengapa Indonesia harus meminta maaf, dengan alasan bahawa negara-negara jiran selama bertahun-tahun menikmati udara segar dari hutan Indonesia tanpa mengucapkan terima kasih. Hujah itu berbunyi seperti seseorang yang merasa berhak mengotorkan rumah jirannya kerana jiran itu selama ini menikmati pemandangan halaman rumahnya yang indah.
Kita boleh berdebat tentang siapa yang memiliki syarikat perladangan, siapa yang mendapat keuntungan daripada pembukaan tanah baharu, dan siapa yang semestinya menanggung kos pemulihan alam persekitaran. Perdebatan itu penting kerana rantaian ekonomi perladangan sememangnya melibatkan kepentingan yang melangkaui sempadan negara. Namun, ketika perdebatan tersebut digunakan untuk menghindari persoalan utama, kita sedang menyaksikan pembalikan moral: daripada menjelaskan apa yang dilakukan untuk mencegah kerugian, para pegawai pemerintah mempertanyakan mengapa orang yang dirugikan itu berani mengeluh.
Pola serupa muncul lagi pada 2023, ketika Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan pada ketika itu, Siti Nurbaya Bakar, membantah adanya asap lintas batas ke Malaysia dan menyatakan bahawa upaya pemadaman tidak dilakukan berdasarkan permintaan Malaysia. Dakwaan mengenai pergerakan asap sememangnya perlu diperiksa berdasarkan data meteorologi, dan pemerintah berhak menjawab tuduhan yang tidak tepat. Namun, ada perbezaan mendasar antara membantah dakwaan dan meremehkan pihak yang mengajukannya. Ketika negara jiran melaporkan penurunan kualiti udara, tindak balas yang paling masuk akal ialah dengan membuka data, memeriksa sumber pencemaran, dan memperkukuhkan kerjasama—bukan menjadikan persoalan itu sebagai pertandingan diplomatik.
Pada Oktober 2026, persoalan ini kembali menjadi krisis serantau. Malaysia mendesak Indonesia untuk mengambil tindakan tegas terhadap kebakaran yang menyebabkan pencemaran lintas sempadan. Sementara itu, Indonesia dan Singapura membincangkan penyatuan tugas untuk berkongsi maklumat, mengumpulkan bukti rentas negara, dan mengambil tindakan terhadap syarikat yang terlibat dalam kebakaran tersebut. Maksudnya, jalan keluar yang masuk akal sebenarnya tersedia: kerjasama, penegakan hukum, keterbukaan data, dan pertanggungjawaban perusahaan.
Kita perlu ingat bahawa warga Malaysia yang menghidu asap tersebut bukanlah sedang mengikuti perlumbaan retorik. Mereka adalah manusia yang memerlukan udara bersih, sebagaimana warga Indonesia di Sumatra dan Kalimantan yang telah terlebih dahulu merasakan dampak kebakaran tersebut. Anak-anak yang harus belajar di tengah udara tercemar, orang tua yang kesulitan bernafas, dan pekerja yang tetap perlu keluar rumah tidak mendapatkan manfaat apa pun daripada perdebatan tentang siapa yang seharusnya meminta maaf terlebih dahulu.
Persoalannya bukan sama ada Indonesia perlu tunduk kepada Malaysia atau Singapura, tetapi adakah kita sanggup mengakui bahawa penderitaan orang lain tetap penting meskipun mereka tinggal di luar wilayah kita. Hakikatnya, kedaulatan negara tidak bererti kebebasan untuk mengabaikan kesan tindakan kita terhadap negara lain.
Kehormatan sebagai Kemewahan
Para pembuat dasar Malaysia atau Singapura mungkin menganggap bahawa kehormatan dan rasa malu merupakan nilai sejagat yang secara automatik dimiliki oleh setiap orang yang memegang jawatan awam. Dalam pengertian moral, mereka memang sejagat. Namun, dalam praktik politik, kedua-dua perkara itu tidak selalu ada pada mereka yang paling sering berbicara tentang martabat bangsa.
Saya mula curiga bahawa bagi sebahagian pegawai kita, kehormatan dan rasa malu bukan lagi kebajikan, melainkan kemewahan yang tidak masuk dalam belanjawan negara. Kita mampu memperuntukkan dana untuk perjalanan pegawai kerajaan, mencetak slogan pembangunan, dan menyusun pidato tentang kemajuan bangsa. Tetapi untuk mengatakan, “Kami keliru, kami bertanggung jawab, dan kami akan memperbaikinya,” seolah-olah memerlukan anggaran moral yang tidak pernah disahkan oleh mana-mana kementerian sekalipun.
Saya teringat kata-kata aktivis politik Amerika Syarikat, Kwame Ture, yang juga dikenal sebagai Stokely Carmichael: “In order for nonviolence to work, your opponent must have a conscience. The United States has none.” Pernyataan itu lahir daripada konteks perjuangan politik dan etnik di Amerika Syarikat, sehingga tidak boleh dipindahkan ke persoalan Indonesia begitu sahaja. Namun, ada satu kata-katanya yang perlu kita pinjam: “Apa gunanya kita mengharapkan teguran moral jika orang yang kita tegur itu tidak merasa perlu mempertanggungjawabkan tindakannya?
Agar sindiran dan ejekan berguna, setidak-tidaknya seseorang harus merasa terusik oleh penilaian orang lain. Jika semua tuduhan dianggap sebagai serangan, kita bukannya sedang berhadapan dengan kehormatan, tetapi dengan ego yang bertopengkan negara.
Bagaimana kita boleh berbicara tentang kehormatan kepada para pegawai yang mengabaikan isu konflik kepentingan apabila orang-orang yang bermasalah diberikan kedudukan strategik? Bagaimana kita dapat berharap seseorang merasa malu ketika janji yang dia lupakan setelah berkuasa? Bagaimana kita boleh mengharapkan pertanggungjawaban daripada seseorang yang menganggap bahawa kritikan sebagai penghinaan peribadi?
Tentu, tidak semua pegawai dan pembuat dasar sedemikian. Masih ada orang-orang di dalam birokrasi yang bekerja bersungguh-sungguh, penegak undang-undang yang berusaha menjalankan kewajipannya, dan pekerja lapangan yang mempertaruhkan keselamatan mereka untuk memadamkan api. Justeru, kerana mereka ada, kita perlu membezakan kerja sebenar daripada pertunjukan politik. Kita tidak boleh membiarkan kerja keras petugas di lapangan menjadi perisai bagi pernyataan ceroboh pejabat di ruang berpenghawa dingin. Orang yang memadamkan api tidak seharusnya terus-menerus diminta menanggung akibat daripada orang yang gagal mengendalikan lidahnya.
Adat yang kehilangan sikap
Ada satu hal menarik tentang cara orang Betawi menggunakan istilah adat. Dalam penggunaan sehari-hari, istilah ini merujuk kepada tradisi dan kebiasaan bersama yang diwariskan dari generasi ke generasi, tetapi juga dapat digunakan untuk merujuk kepada tabiat atau perilaku seseorang. Dengan kata lain, adat memiliki dimensi kebudayaan sekaligus dimensi sikap. Yang pertama berkaitan dengan apa yang diwarisi oleh sebuah masyarakat; yang kedua berkaitan dengan cara nilai-nilai itu menjadi tindakan.
Kita boleh memiliki kebudayaan yang kaya, tetapi tetap berperilaku buruk. Kita boleh menghafal petua nenek-moyang kita, fasih mengucapkan salam, rajin menyelenggarakan upacara, dan bangga mengenakan pakaian tradisional, tetapi pada saat bersamaan memperlakukan orang lain dengan semena-mena. Kebudayaan tanpa etika hanya akan menjadi perhiasan. Ia tampak indah ketika dipamerkan, tetapi tidak banyak membantu ketika kita terpaksa mengambil keputusan yang sulit.
Sebaliknya, sikap yang baik memerlukan lebih daripada sekadar kesopanan. Orang yang benar-benar beradab tidak hanya tahu bagaimana menyapa tetamu, melainkan juga bagaimana memperlakukan orang yang tidak mampu menguntungkannya . Ia tidak hanya tahu cara menghormati orang yang lebih tua, tetapi juga cara mengakui kesalahan kepada orang yang lebih muda. Ia tidak hanya memahami pentingnya menjaga nama baik keluarga, tetapi juga bersedia menjaga kepentingan orang banyak meskipun keputusan itu merugikan dirinya sendiri.
Di sinilah letaknya ironi para pembuat dasar yang gemar berbicara tentang budaya, tradisi, dan keperibadian bangsa. Kita memiliki begitu banyak warisan budaya yang mengajarkan keselarasan dengan alam, tanggungjawab terhadap sesama, dan kewajipan menjaga keseimbangan hidup. Namun, semua itu kehilangan makna ketika hutan diperlakukan semata-mata sebagai komoditi.
Jika adat adalah budaya sekaligus sikap, maka sebahagian daripada persoalan kita bukan kerana Indonesia kekurangan kebudayaan, melainkan kerana kebudayaan itu tidak selalu menjelma sebagai perilaku. Kita menjaga simbol-simbolnya, tetapi mengabaikan tuntutan etika. Kita bangga dengan warisan nenek-moyang, tetapi tidak selalu bersedia menjalankan kebijaksanaan yang diwariskan itu ketika berhadapan dengan kepentingan ekonomi dan politik.
Maka, ketika pembuat dasar kita berbicara tentang martabat bangsa, saya ingin bertanya: martabat yang mana? Martabat yang diucapkan dalam pidato, atau martabat melalui kesediaannya memperbaiki kesalahan? Sesebuah bangsa tidak menjadi bermartabat hanya kerana warganya mengibarkan bendera dengan bangga. Martabat juga dapat dilihat daripada cara pemerintahnya melayani warga sendiri, menghormati negara tetangga, dan mempertanggungjawabkan dampak tindakannya terhadap lingkungan.
Perilaku sia-sia berharap malu
Mungkin saya masih memiliki anggapan naif bahawa seseorang yang telah diberi amanah publik akan merasa malu ketika tindakannya menyakiti orang lain. Saya masih menganggap bahawa seseorang ahli politik, setelah melihat kerosakan lingkungan dan mendengar keluhan masyarakat, akan bertanya apa yang boleh diperbaiki sebelum sibuk mencari siapa yang harus disalahkan.
Namun, rasa malu tidak boleh dipaksa. Tidak ada undang-undang yang dapat memaksa seseorang memiliki hati nurani. Kerana itu, mungkin kita perlu berhenti berharap bahawa rasa malu sahaja yang akan menyelesaikan masalah. Jika para ahli politik tidak merasa malu, kita masih boleh menuntut ketelusan. Jika mereka tidak bersedia meminta maaf, kita masih boleh menuntut ganti rugi. Jika mereka mengabaikan kritikan, kita masih boleh memperkuat pengawasan, penegakan undang-undang, dan pertanggungjawaban.
Bagi saya, inilah pelajaran Stoik yang paling relevan: Kita tidak dapat memaksa ahli politik untuk merasa malu, tetapi kita dapat menolak untuk menganggap ketidakmaluan sebagai hal yang normal.
Kehormatan bukanlah sesuatu yang boleh diumumkan melalui pengeras suara, dan rasa malu bukanlah kelemahan yang harus disembunyikan daripada rakyat. Kedua-duanya tampak ketika seseorang bersedia mengakui batas dirinya. Orang yang bermartabat tidak harus selalu menang dalam perdebatan; ia harus cukup dewasa untuk tidak menjadikan kemenangan sebagai alasan mengabaikan penderitaan orang lain. Jika semua itu masih terlalu sulit dipahami oleh sebahagian daripada ahli politik kita, barangkali kita perlu berhenti berharap bahawa mereka akan tersentuh dengan sindiran.
Arman Dhani ialah seorang penulis dari Yogyakarta, Indonesia. Antara novel yang pernah beliau terbitkan termasuk, Usaha Mencintai Hidup, eminus dolere, yang difilemkan pada tahun 2023 dengan judul Panduan Mempersiapkan Perpisahan, serta 30 Tahun dan Gagal.




