
Saya sering dipersendakan kerana datang dari kawasan yang kurang makmur di Pulau Pinang, iaitu Paya Terubong. Namun, sebagai seorang profesional dalam bidang peremajaan bandar di Think City, pandangan saya berbeza. Memang benar bahawa pada hari ini perbezaan darjat antara Paya Terubong dengan kawasan-kawasan lain, seperti Pulau Tikus atau Gurney Drive, masih jelas kelihatan. Perhatian dan penjagaan seolah-olah ditumpukan kepada kawasan-kawasan yang paling terdedah kepada dunia luar, tetapi kawasan-kawasan yang menjadi tempat masyarakat membina kehidupan harian seringkali terpinggir daripada pembangunan.
Sebagai orang awam yang kemudiannya memiliki kerjaya dalam bidang ini, saya melihat bahawa ada ketidaksambungan antara wacana pembangunan dengan apa yang berlaku di lapangan. Masyarakat selalu diberitahu bahawa apa yang diputuskan di peringkat atasan boleh menyelesaikan masalah yang bersifat sistemik. Namun, banyak tindakan yang diambil hanya bersifat sementara, dan sekadar menyentuh masalah di permukaan. Ia menjadi suatu bentuk tindak balas segera, tetapi kurang bermaklumat bagi menghasilkan tindakan yang mampan.
Hakikatnya, proses perancangan ruang awam perlu dijadikan sebagai alat yang penting untuk mengelakkan tadbir urus yang bersifat reaktif dan memastikan bandar sentiasa dibangunkan demi faedah masyarakat.
Para pembuat keputusan perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang sewajarnya, atau sekurang-kurangnya memiliki kesedaran untuk mengakui keterbatasan mereka sendiri. Mereka perlu bergantung kepada kepakaran teknikal dan terlibat dalam proses pembelajaran berterusan, bukannya terlalu bergantung kepada perunding yang mungkin lebih terdorong untuk mempromosikan produk sedia ada berbanding menyelami sebanar bandar. Akibat kurangnya kreativiti dalam merancang bandar, kita lebih mengutamakan gimik-gimik buatan manusia berbanding penyelesaian semula jadi.
Salah satu contohnya ialah pemasangan lampu berwarna-warni pada pokok-pokok di pembahagi jalan. Ia jelas merupakan satu pembaziran. Kita mudah sahaja memilih estetika ala Disneyland, sedangkan yang sepatutnya kita lakukan adalah mewujudkan pencahayaan yang lebih berkelas dan mampu memperkukuh karakter bandar tanpa perlu menjejaskan alam sekitar. Mengapa kita tidak menata landskap dengan cara yang lebih alami—yang mengutamakan keselesaan dan memiliki fungsi adaptasi banjir, misalnya?
Keutamaan yang diberikan terhadap cahaya buatan berbanding kesejahteraan ekologi ini membuktikan bahawa pihak perancang bandar perlu meningkatkan tahap inovasi dan cita rasa kreatif mereka. Tidak dapat tidak, perkara ini sangat berkait dengan cara kita memaknai proses penyelenggaraan. Secara takrifannya, pengurus bandar bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelenggara bandar. Sudah waktunya kita berhenti membuat keputusan semata-mata untuk mengurangkan tugas dan tanggungjawab kita.
Segala sesuatu dalam kehidupan memerlukan penjagaan, tidak terkecuali kehidupan di bandar. Antara masalah yang paling jelas ialah amalan memangkas pokok sebanyak mungkin bagi mengurangkan kekerapan kitaran penyelenggaraan. Sememangnya langkah ini dapat menjimatkan kos, tetapi ia akan mengurangi litupan kanopi pokok serta keselesaan termal di kawasan tersebut. Amalan ini juga bertentangan dengan cita-cita Pulau Pindang untuk menanam sebanyak 100,000 batang pokok sebagai usaha untuk menyejukkan bandar. Secara logiknya, sebelah tangan kita seolah-olah sedang menanam, tetapi tangan satu lagi merosakkannya demi memudahkan kerja penyelenggaraan.
Sebagai seorang warga Pulau Pinang, setiap kali balik kampung, saya terasa seolah-olah segalanya sudah “terdedah”. Semakin banyak kawasan hijau dihapuskan untuk memberi laluan kepada pembangunan. Yang semakin jelas kelihatan hanyalah ruang-ruang konkrit baru, tanpa usaha penanaman semula yang mencukupi. Keadaan ini sebenarnya boleh ditangani melalui menetapkan syarat yang munasabah kepada para pemaju untuk mengembalikan apa yang telah mereka ambil.
Lihat misalnya kekerapan gejala pokok tumbang selepas ribut. Walaupun berbahaya terhadap keselamatan manusia, punca utama gejala pokok tumbang jarang sekali terletak pada pokok itu sendiri. Pada kebiasaannya, ia berpunca daripada pemilihan spesies yang tidak sesuai atau pokok-pokok tersebut tidak diselenggarakan secara berkala. Secara logiknya, menebang pokok yang telah sekian lama memberi teduhan bagi mengurangkan bahaya jangka pendek merupakan tindakan yang kurang tepat, terutama sekali apabila kita sepatutnya menilai semula strategi penanaman semula yang selari dengan prinsip ketahanan bandar.
Di peringkat masyarakat, penyertaan awam dalam proses membuat keputusan adalah sangat penting dalam memastikan proses perancangan bandar benar-benar relevan kepada mereka. Menurut UN-Habitat dan New Urban Agenda, perancangan ruang awam membantu kita mentakrifkan komponen utama berdasarkan keperluan sebenar manusia, bukan sekadar membuat andaian di peringkat pentadbiran. Apabila masyarakat dilibatkan sejak awal, sesuatu perancangan itu akan berfungsi dengan lebih baik, dan rasa pemilikan juga akan dapat disemai. Hal ini amat penting dalam fasa pascapelaksanaan, seperti pengaktifan dan pengurusan ruang.
Bayangkan kalau ibu saya yang usianya sudah 80 tahun boleh berjalan di bawah pokok rendang dari Paya Terubong ke pasar Air Itam dengan selesa. Persoalan ini bukan sahaja berkait dengan ruang awam yang berkualiti, tetapi juga kesejahteraan dan gaya hidup yang lebih sihat. Ia rapat dengan usaha pemberdayaan serta pembentukan tingkah laku dan cara berfikir masyarakat.
Untuk masa hadapan, kita perlu menilai semula cara kita menguruskan bandar dengan beralih kepada KPI yang lebih jelas dan relevan. Keputusan yang dibuat perlu berpandukan hasil jangka panjang. Kita tidak boleh terus memberi tumpuan terhadap langkah penjimatan kos yang akhirnya menafikan akses masyarakat terhadap ruang awam yang berkualiti. Penyelenggaraan adalah tanggungjawab utama pengurusan bandar. Dengan mengutamakan peruntukan terhadap projek berasaskan alam yang berimpak besar, berbanding projek mewah yang kurang bermanfaat, kita dapat memastikan bahawa Pulau Pinang dapat diukur melalui kesejahteraan sebenar masyarakat dan ketahanan landskapnya.
Jauh dari dasar hati, saya berharap Pulau Pinang dapat menjadi lebih hijau dengan menyeimbangkan pembangunan dengan usaha penghijauan semula, kerana separuh daripada wilayah negeri ini ialah pulau, dan pulau ini seharusnya menjadi sebuah tempat kegiatan ekonomi yang mengutamakan keperluan masyarakat.
Daniel Lim ialah Pengarah di Urban Mechanics, Placemaking Lead, Think City, Kuala Lumpur.



