
Kita tahu bahawa penjajahan bukan sekadar sebuah peristiwa yang punya titik mula dan akhir, tetapi sebuah struktur yang terus membentuk cara kita menjalani kehidupan hari ini. Ia tidak hanya pergi meninggalkan kita dengan sempadan-sempadan politik dan birokrasi, tetapi juga bahasa yang kita pakai untuk memahami diri sendiri. Kita mewarisi kata-kata yang pernah digunakan oleh penjajah untuk menjelaskan siapa diri kita, lalu dengan penuh kesedaran menggunakannya semula untuk membebaskan diri daripada sejarah.
Paling tidak, itu yang dapat kita ambil secara sekilas daripada sebuah jurnal sastera dengan nama Yellow, yang baru diterbitkan oleh bekas wartawan, Minh Bui Jones. Beberapa tahun setelah melepaskan jurnal pertamanya, Mekong Review, Bui Jones bergerak menjauh daripada cita-cita sebuah jurnal antarabangsa itu, dengan menerbitkan sesuatu yang lebih intim, lebih peribadi, dan lebih dekat dengan rantau yang ingin beliau bongkar, yakni “Asia Tenggara”.
Malah, jurnal Yellow hadir sebagai jawapan terhadap kritikan ke atas usaha beliau sebelum ini yang sering dianggap sebagai terlalu “Inggeris” dan melihat masyarakat bekas tanah jajahan sebagai subjek yang eksotik dan tidak pernah benar-benar selesai dengan sejarah penjajahan yang ditanggung mereka. Suka atau tidak, dalam Mekong Review, Asia Tenggara menjadi sebuah wilayah yang penuh luka, terus-menerus berdamping dengan autoritarianisme dalam segala macam bentuk dan kekuatan, tetapi jarang untuk betul-betul berbicara dengan suaranya sendiri.
Maka, Bui Jones ingin memberi ruang kepada para penulis rantau ini untuk bersuara. Dalam terbitan Yellow yang pertama ini, beliau memilih tema “parents” untuk berbicara tentang ibu bapa, keluarga, dan segala ingatan yang lebih kecil dan intim—jauh daripada bahasa geopolitik dan gambaran eksotik yang sering dijual kepada pembaca “Barat”. Malah, beliau tidak sembarangan memilih Yellow atau “kuning” sebagai nama jurnal tersebut. Bui Jones menempelkan kata itu sebagai sebuah identiti pada orang Asia Tenggara yang cuba diketengahkan oleh jurnalnya.
Namun, ketika pertama kali menatap sebuah jurnal Asia Tenggara yang memakai nama Yellow, kita barangkali tertanya-tanya apakah kita, masyarakat dari belahan dunia ini, sedari awal menanggapi diri kita sedemikian—sebagai sebuah masyarakat yang merasakan dirinya kuning? Di sini kita mungkin berhadapan dengan sebuah hakikat yang tidak menyenangkan: kita sedang melihat sebuah masyarakat yang cuba berbicara tentang dirinya sendiri, tetapi memakai cermin yang pernah digunakan orang lain untuk memandangnya. Dan lebih malang, pantulan itu tidak pernah sepenuhnya jernih.
Hakikatnya, di rantau ini, kata kuning tidak hadir sebagai sebuah bentuk pengenalan diri, sekalipun dalam konteks moden. Ia umumnya digunakan tidak lebih daripada sekadar penerangan, bukan sebagai bahasa jati diri yang tumbuh secara alami mengikut keadaan persekitarannya. Kita menggunakan kuning sebagai lambang politik, budaya, kemerosotan moral, hal-hal yang sakral, dan untuk menerangkan benda-benda di sekeliling.
Titik tolaknya mungkin pada akhir abad ke-19, ketika kuasa-kuasa Eropah sedang giat mengembangkan pengaruh mereka di bahagian dunia yang hari ini kita kenal sebagai Asia dan Asia Tenggara. Ketika Jepun mengalahkan China dalam Perang Sino-Jepun pertama, Eropah merasa tergugat, lalu menuduh Asia perlahan-lahan mengancam kekuasaan mereka. Namun, Eropah tidak sekadar menganggap itu sebagai suatu perkembangan politik, tetapi sebuah ancaman kaum. Maka berkembanglah istilah “yellow peril”, sebuah perlambangan dan ideologi yang menggambarkan orang Asia dan Asia Tenggara sebagai ancaman kepada tamadun Barat.
Di sini, kata kuning sebaliknya menjadi lebih rumit. Ia memiliki beban moral dan politik yang tersendiri. Kita misalnya mengenal istilah “budaya kuning” untuk menggambarkan keruntuhan moral, seksualiti, budaya pop yang dianggap merosakkan, dan pengaruh luar yang mengancam ketertiban masyarakat. Malah, ia berkembang dalam bahasa negara bangsa moden untuk mendisiplinkan tubuh, hasrat dan cara masyarakat menikmati budaya. “Budaya kuning” dipertentangkan dengan “budaya Timur”—yang satunya dikatakan liar, liberal, hedonistik dan berbahaya, yang satu lagi sopan, beradab dan terkawal.
Jadi, bagi pembaca Asia Tenggara, khususnya pembaca Melayu, kata “yellow” tidak pernah hadir secara bebas nilai. Ia datang bersama sejarah penjajahan, ketakutan moral dan bayangan kuasa yang panjang akarnya. Tetapi, apakah penggambaran diri oleh masyarakat bekas tanah jajahan tidak boleh berlaku melalui bahasa yang diwarisi daripada penjajah mereka sendiri? Di sini kita barangkali tidak ingin dengan mudah menolak istilah itu begitu sahaja.
Kita tahu bahawa penggunaan semula bahasa penjajah sebagai jati diri adalah cara yang sudah lama digunakan oleh masyarakat terpinggir. Istilah “Black” atau kulit hitam yang pernah digunakan sebagai bahasa penghinaan akhirnya diambil semula sehingga menjadi bahasa yang memiliki maruahnya. Begitu juga dengan istilah “Asian American” pada awalnya hanyalah kategori umum untuk memukul rata aneka masyarakat Asia di Amerika, tetapi kemudiannya menjadi identiti politik yang dikongsi bersama. Malah istilah “Melayu” sendiri tidak semestinya menggambarkan cara masyarakat ini membayangkan diri mereka sejak dahulu, tetapi akhirnya menjadi sebuah tubuh yang memiliki rohnya.
Jurnal Yellow mungkin sedang melakukan perkara yang sama—mengambil semula istilah yang pernah digunakan untuk menamakan tubuh Asia dari luar, lalu mengisinya dengan suara, ingatan dan pengalaman orang Asia sendiri. Tetapi pegambilan semula istilah tidak pernah benar-benar bersih daripada sejarahnya. Ia tetap membawa jejak-jejak kuasa yang pernah membentuknya. Dengan kata lain, makna politiknya mungkin boleh diubah, tetapi sejarahnya tidak.
Barangkali itulah yang menarik tentang Yellow. Bukan kerana kejayaannya merampas semula istilah penjajah itu, tetapi ketidakmampuannya untuk benar-benar melepaskan diri daripada sejarah yang membentuk istilah tersebut sedari awal. Malah, istilah umum sedemikian cenderung memukul rata kepelbagaian yang ada. Tidak semua masyarakat Asia mengalami sejarah yang sama hanya kerana mereka diletakkan di bawah satu kategori yang sama. Kerja pengambilan semula itu sendiri tidak pernah benar-benar seragam kerana perbezaan geografi, kelas, bahasa, pengalaman penjajahan dan ingatan. Bagi sebahagian orang, sesuatu istilah mungkin terasa membebaskan, tetapi bagi orang lain, ia terasa asing.
Mungkin di situlah letaknya kebingungan masyarakat bekas tanah jajahan. Kita menentang penjajahan menggunakan bahasa yang sebahagiannya diwarisi daripada penjajahan, lalu membina identiti baru melalui kategori yang pernah digunakan untuk mengawal kita. Kita juga tidak lagi percaya sepenuhnya kepada bahasa penjajah, tetapi masih belum mampu hidup di luar bayang-bayangnya. Mungkin kerana itu kita tidak akan pernah benar-benar bebas daripada penjajahan.
Izzuddin Ramli merupakan seorang penulis, penterjemah, dan penyunting. Beliau menguruskan portal esei Suara Nadi dan mengendalikan audio siar Bual Nusantara.



