
Rebahlah rimba belantara diteroka
Bersihlah belukar menjadi desa
Petikan daripada lagu “Gugusan Tun Razak” karangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dipamerkan di bekas kediaman perdana menteri kedua di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Ia melambangkan Tun Abdul Razak Hussein sebagai peneroka ulung di Malay(si)a. Di bawah kepimpinannya, pelbagai projek pembangunan desa didirikan di atas kawasan hutan—sebuah strategi untuk mengembang dan memajukan ekonomi pasca-kemerdekaan.
Namun, dalam frasa-frasa sebeginilah sebuah ideologi pemodenan ditanam. Seperti yang selalu diungkapkan oleh Bruno Latour, ideologi ini berteraskan ketuanan “Manusia” ke atas “Alam Semulajadi”. Dalam erti kata lain, alam dan ekologinya boleh difahami sebagai faktor-faktor pengeksploitasian, di mana hubungan-hubungan asas—seperti antara “tanah” dengan “air”—terpisah dalam usaha untuk mencapai “Asas Pemodenan” (the Modern Constitution).
Ideologi pembangunan ini semakin tersirat di dalam rancangan pembangunan yang meliputi pelbagai skala, dari desa sehingga ke wilayah, sekaligus mencerminkan pemikiran-pemikiran baru tentang soal ruang, isu sosiopolitik, dan teknologi dalam zaman awal kemerdekaan. Bukan sahaja desa, malah Lembah Klang, termasuk Kuala Lumpur, juga tidak terlepas daripadanya. Ramai yang tidak sedar bahawa “Lembah Klang” bukan sekadar istilah geografi, tetapi juga sebuah strategi penstrukturan semula yang akhirnya membuka peluang untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai projek berteraskan ruang.
Pada zaman penjajahan, Kuala Lumpur bermula sebagai penempatan perantauan terpencil, yang kemudian menjadi ibu negeri Selangor, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, dan Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun pemerintahan Kesultanan Selangor pernah berpusat di hilir sungai (termasuk di Jugra, berdekatan muara Sungai Langat, sebelum berpindah ke Bandar Diraja Klang), pusat pentadbiran negeri moden ini semakin tertumpu di daerah pedalaman yang kaya dengan bijih timah.
Namun, lembangan Sungai Klang tidak begitu sesuai untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran, memandangkan Kuala Lumpur dan persekitarannya terletak di dataran banjir. Malah, pada tahun 1926, sebuah banjir besar telah berlaku sehingga menenggelamkan pusat bandar, sekaligus merosakkan harta benda.
Susulan “bencana” ini tertubuhlah Department of Irrigation and Drainage (sekarang disusun semula sebagai Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS) untuk mengawal banjir, dan pelbagai tugas lain. Skopnya merangkumi usaha tebatan (salah satunya melalui pelurusan sungai) untuk memastikan tanah pusat bandar sentiasa kering, padat, dan sesuai untuk kegiatan ekonomi moden—dalam erti kata lain, sebagai infrastruktur penjajahan. Bermula dari sinilah usaha pemisahan fizikal antara “tanah” dan “air” di dataran banjir semakin rancak dilakukan. Sungai yang tidak dikawal dianggap sebagai ancaman kepada penduduk setempat dan ekonomi penjajah-kapitalis. Lama-kelamaan, semakin terhakis hubungan masyarakat setempat dengan sungai mereka: aur semakin dipisahkan daripada tebingnya.
Pengawalan sumber air, terutamanya di Sungai Klang, menjadi tumpuan utama dalam usaha mencapai kemerdekaan. Pada tahun 1959, baginda Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj telah mencemar duli untuk merasmikan Empangan Klang Gates, yang dibina berdekatan dengan Banjaran Titiwangsa untuk membekalkan keperluan air di Kuala Lumpur.
Namun, empangan ini juga terjebak dalam konflik geopolitik antarabangsa, kerana ia direka dengan sokongan teknikal Amerika Syarikat (AS), melalui Biro Penambakan (Bureau of Reclamation). Biro ini juga terlibat dalam penyebaran teknologi pengairan di seluruh dunia, termasuk negara serantau di Lembah Mekong, untuk bersaing dengan Kesatuan Soviet dalam mempengaruhi pergerakan politik Dunia Ketiga.
Dalam tempoh yang lebih kurang sama, sebuah model teknokratik AS juga dibawa ke Tanah Melayu, iaitu berdasarkan model pembangunan wilayah Tennessee Valley Authority. Beberapa keping pamflet yang mengetengahkan keunggulan sistem ini telah disebarkan di Tanah Melayu. Secara ringkas, pembangunan wilayah ini bertujuan untuk memaksimumkan kemampuan lembangan sungai (contohnya melalui empangan jana kuasa elektrik, pertanian, dan bekalan air minuman), yang kononnya bukan sahaja menjadi model pembangunan yang saintifik, tetapi sesuai dengan pentadbiran yang liberal-demokratik (termasuk di Tanah Melayu).
Dari situlah kerajaan persekutuan membuat keputusan untuk merancang penubuhan wilayah Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Seorang arkitek sosialis dari Yugoslavia, Vlado Antolić, ditugaskan untuk menuliskan Rancangan Lembah Klang, yang hanya siap dalam bentuk deraf dan kini dalam simpanan Arkib Negara. Walaupun tidak berjaya diterbitkan, rancangan beliau memaparkan keprihatinan terhadap had-had ekologi, termasuk hakikat bahawa mana-mana wilayah bergantung kepada jaminan sumber air. Selain itu, ia terbatas kepada lembangan Sungai Klang sahaja, manakala lembangan berhampiran (seperti Sungai Langat) difahami sebagai sistem semulajadi yang berlainan. Maka boleh dikatakan bahawa pelan Antolić ini ditulis secara saintifik.
Tetapi, selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan susulan banjir tahun 1971—dua kejadian traumatik yang menggemparkan negara—pelaksanaan wilayah Lembah Klang (bukan Wilayah Persekutuan yang dipisahkan dari negeri Selangor pada tahun 1974) telah dikaji semula oleh kumpulan arkitek Shankland Cox & Associates. Menurut pakar British ini, wilayah ini harus difahami sebagai sebuah ruang yang abstrak dan lapang—dan peluang pertama untuk menjayakan DEB—di mana faktor-faktor hidrologi sedia ada (seperti lembangan sungai) boleh disisihkan.
Strategi utamanya adalah dengan membangunkan bandar-bandar baharu untuk menyusun semula masyarakat setempat, terutamanya orang Melayu (ramai yang terpaksa berhijrah dari kawasan desa yang kegiatan ekonominya masih lumpuh, meskipun projek pembangunan desa giat dilaksanakan). Di bawah kepimpinan Tun Razak, wilayah semakin diilhamkan sebagai sebuah enjin untuk mencapai matlamat DEB, dengan menangani ketidakseimbangan yang ketara antara bandar dengan desa, bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi juga kawasan-kawasan lain di Semenanjung (dan Bintulu), seperti Segi Tiga JENGKA di Pahang. Dalam usaha ini, “bencana” seperti banjir akan turut dibasmi.
Kuala Lumpur semakin difahami sebagai satu sistem perparitan yang besar, di mana lembangan dan anak sungai semakin dikawal dan diurus dengan sempurna untuk mengurangkan risiko berulangnya bencana banjir. Bekalan air dari Lembah Langat (yang sekarang turut dimasukkan ke dalam Lembah Klang) bakal menampung keperluan air Kuala Lumpur yang semakin meningkat—walaupun jelas bahawa usaha ini tidak lestari. Seperti yang dilaungkan oleh Chen Man Hin, seorang ahli Dewan Rakyat, tidak lama selepas itu: “Water must be used to serve man and not man to be its slave” [air perlu menghambakan dirinya kepada manusia, bukan sebaliknya].
Maka jentera kerajaan digerakkan, dan rakyat, tanah, dan air disusun semula pada skala kebangsaan. Sedikit demi sedikit, Lembah Klang bertukar menjadi sebuah konurbasi yang besar, jauh daripada hakikat hidrologi.
Dalam zaman Anthropocene yang sedang ditempuhi ini, kita harus meneliti semula ideologi pembangunan “moden” untuk mengetengahkan sekali lagi fahaman ekologi di lembangan sungai kita.
William Tham ialah penyunting di Penang Monthly. Hasil tulisan kreatif dan akademiknya boleh dibaca di PR&TA, Inter-Asia Cultural Studies, New Naratif, dan eTropic.



