
Apakah yang selalu kita bayangkan tentang kota? Paling tidak, kita membayangkan kota sebagai apa sahaja yang tidak dimiliki oleh lawannya, iaitu kampung. Bangunan-bangunan pencakar langit, pusat-pusat membeli-belah besar yang berselerakan, lebuhraya yang bersimpang-siur, dan manusia-manusia penghuninya datang daripada pelbagai latar budaya. Kota ialah tempat orang melihat ke hadapan. Di situ kita berkejaran, berhubung, dan terlibat dalam dunia yang lebih luas, untuk akhirnya tidak merasa ditinggalkan oleh orang lain. Malah, kota juga ialah sebuah impian—bagi mereka yang bergelumang dengan lintah dan pacat di kampung. Ia merupakan piawai kejayaan dan kebahagiaan hidup yang sebenar-benarnya.
Ibnu Khaldun, filsuf abad ke-14, mengatakan kota sebagai puncak tamadun manusia; tempat ekonomi, politik, dan budaya berada pada kedudukan tertingginya. Menurutnya, kehidupan kota ialah sebuah peralihan daripada bentuk masyarakat yang hidup berpindah-randah di padang pasir yang kering kontang, dengan masyarakat yang hidup menetap—terpaku di sebalik dinding dan tekun melaksanakan kerja-kerja pejabat.1 Di dalam kota, undang-undang dan peraturan menjadi pemandu, ekonomi memerlukan satu sama lain, dan segala impian dan harapan manusia dikejar dalam persekitaran yang lebih tersusun, kadangkala kaku, dan bersih daripada sifat peribadi. Manusia kota yang rasional diukur melalui kecekapan, penghasilan, keuntungan, dan jumlah jam kerja dalam segala macam perkara.
Barangkali, dari sudut pandang ini, kota juga boleh dibayangkan sebagai sebuah tempat yang tiada sebarang magis, ketidakrasionalan, dan segala hal yang tidak masuk akal.
Bagi ahli sosiologi Jerman, Max Weber, dunia seperti ini ialah “dunia yang sudah hilang pesonanya” atau Entzauberung der Welt, iaitu ketika tradisi, perasaan, dan kepercayaan mistik, sudah digantikan dengan kecekapan, birokrasi, dan cara fikir saintifik.2 Manusia menolak kesakralan (sacred) sebagai sesuatu yang sudah lapuk dan memberi laluan kepada rasionaliti sebagai puncak kepada pencapaian manusia. Kuasa-kuasa lain yang tidak boleh dijelaskan dengan rumus-rumus rasional, hilang daripada perkiraan hidup manusia. Tetapi, melalui semangat dan cara fikir yang sudah hilang pesonanya inilah kota dan penghuninya bergerak.
Mungkin ada benarnya birokrasi legal-rasional berkesan dalam mengawal tingkah laku manusia. Itulah yang diperkenalkan oleh para penjajah Eropah untuk mengatur tanah-tanah jajahan mereka suatu ketika dahulu. Di Tanah Melayu, pada abad ke-19, cara fikir baru yang lebih rasional dan kering sifat peribadinya datang melalui penjajah British yang merubah bentuk pemerintahan dan pentadbiran lama dengan sistem baru yang berdasarkan kayu ukur masyarakat moden Eropah. Baik sistem pemerintahan, kepercayaan, ekonomi, dan hal-hal nikah kahwin, semuanya dihenjut ke dalam birokrasi. Cara hidup dan cara pandang tempatan dianggap sulit dan tidak berkesan dalam mentadbir masyarakat yang nantinya akan meninggalkan kehidupan kampung dan menjadi lebih kompleks dan beraneka karenahnya.
Namun, rasionaliti mungkin juga cenderung tidak rasional dan tidak secekap yang dibayangkan. Hakikatnya, birokrasi legal-rasional hanya memberi tumpuan kepada hubungan-hubungan rasmi manusia dan menapis keluar segala unsur tidak rasmi yang sebenarnya berpengaruh dalam menjadikan seseorang manusia itu manusia. Dengan kata lain, birokrasi legal-rasional seperti yang dikejar-kejar oleh manusia kota moden barangkali menjanjikan kecekapan, tetapi pasti kering jiwa. Akhirnya, ketika kedua-dua unsur ini bertembung dan tiada jalan tengah, tadbir urus masyarakat—baik yang di kampung ataupun kota—akan tetap gagal.
Kita boleh melihat kegagalan rasionaliti sebagai jawapan kepada urus tadbir moden ini dalam kehidupan masyarakat kampung atau tradisional secara umum. Dalam ranah ini, manusia tidak hanya memperkukuh hubungan mendatar antara mereka dengan dunia, tetapi turut menjalin hubungan menegak antara mereka dengan apa sahaja yang tidak terjangkau oleh pancaindera. Kehidupan nyata yang dilalui setiap hari selalu bersangkutan dengan yang tidak nyata. Malah, orang yang dikatakan primitif, tradisional, dan kampung itu sentiasa sedar dan terikat dengan alam sekelilingnya. Padi mungkin tidak memberikan hasil kerana ada dosa yang belum ditebus; orang turun menyemah pantai setelah musibah datang menimpa.
Di Kelantan, menjadi seorang penghulu kampung tidak sekadar memerlukan sijil dan lulus bahasa Melayu, tetapi mesti memiliki karisma kepimpinan “tidak makan saman”, atau gedebe dalam istilah setempat. Tanpa gedebe, penghulu menjadi tidak lebih daripada sekadar seorang pegawai kerajaan yang hanya makan gaji, yang kedudukan dan keabsahannya terjamin bukan kerana penghormatan dan kesetiaan daripada masyarakat, tetapi jawatan rasmi yang dipegangnya—jawatan yang sudah diinstitusikan ke dalam struktur negara moden. Ketika birokrasi melihat tanah sebagai harta yang boleh dipeta dan dicukai, orang kampung pula menganggapnya sebagai tempat semangat, sejarah, dan nenek moyang bergentayangan. Birokrasi akhirnya tersumbat apabila mengabaikan adat, ragam, dan “angin” orang kampung.
Apakah kota memang kaku, kering, dan tidak berjiwa, pegun dengan tembok-tembok konkrit yang mengawal gerak-geri dan interaksi manusia, dan dikerumuni oleh penghuni yang sudah kebas perasaan? Apakah “kampung” selama ini memang berseteru dengan kemajuan, individualisme, dan segala yang terkini?
Mungkin tidak. Di sebalik citra keras kota, kita terus bertawar-menawar dengan birokrasi dan kekakuan. Prosedur dan peraturan ada bukan sebagai kitab suci baru, tetapi sebagai pernyataan yang sentiasa boleh digodek-godek supaya terus berbicara dengan manusia. Kita akan tetap menemukan hal-hal di luar piawai manusia rasional, hubungan sosial yang kebetulan, dan pelbagai usaha warga kota untuk mengembalikan pesona hidup. Kita tetap mencari kampung di dalam kota, menginginkan sedikit kekacauan dan ketidakrasmian agar kita sedar bahawa kita bukanlah makhluk yang mudah untuk difahami sekadar dengan nombor dan segala macam rumus saintifik.
Kota Kuala Lumpur tidak mampu bergerak dengan sendiri tanpa adanya warung-warung kecil di celah-celah dinding bangunan, menghidang makan pagi dan tengahari kepada para perancang bandar yang sibuk mencari formula pembangunan di pejabat. Di Jakarta, para penghuni kota padat itu masih boleh bergerak ke sana sini tanpa sebarang aplikasi, hanya dengan menunggang ojek pengkolan yang tidak diakui negara. Berjalan-jalan di Tokyo yang terkenal sebagai sebuah kota yang sangat cekap dan teratur, kita merasa senang ketika melihat masih ada penyimpangan di tengah-tengah masyarakatnya yang nafsi-nafsi.
Barangkali, menjadi manusia kota bukan satu pengakhiran atau puncak pencapaian manusia, seperti yang digagaskan oleh Ibnu Khaldun dan Max Weber, tetapi ia sebahagian daripada kitaran hidup manusia yang bila-bila masa sahaja boleh runtuh kalau jiwanya sudah tiada.
Izzuddin Ramli merupakan seorang penyelidik yang menaruh minat terhadap isu-isu sosiologi dan kehidupan masyarakat bandar.
Rujukan
1. Ibnu Khaldun, The Muqaddimah: An Introduction to History. Franz Rosenthal (Terj.). Princeton University Press. ↩
2. Weber, M. (1946). Science as a Vocation. Dalam H. H. Gerth & C. W. Mills (Pnyt.), From Max Weber: Essays in Sociology (hlm. 129–156). Oxford University Press. ↩



