PUISI prosa ialah karaoke untuk penyair yang tidak boleh menyanyi. Atau mungkin dia boleh menyanyi, tetapi sengaja menyewa bilik karaoke untuk melepaskan perasaan—tanpa tekanan, tanpa dugaan, tanpa perlu risau puisinya akan dibaca sebagai sebuah puisi.
Di Malaysia, puisi prosa masih dianggap sebagai binatang jalan. Kita bingung. Kita tidak tahu apa reaksi patut diberikan apabila kita mendengar orang melabelkan sebuah karya sebagai puisi prosa. Seolah-olah ada beruk masuk melalui tingkap lalu melempar kulit pisang ke muka kita. Adakah puisi prosa benar-benar sebuah puisi? Sekali pandang, ia kelihatan macam burung, tetapi suaranya bunyi seperti suara mikrofon sebuah konsert Daft Punk. Belum ada penyair Malaysia yang berani mengaku secara terbuka bahawa dia adalah seorang pendukung puisi prosa.
Kita ada penyair sufi, kita ada penyair konkrit. Tetapi penyair prosa? Mereka yang menulis puisi prosa secara serius pun tidak akan melabel tulisan mereka sebagai puisi prosa—takut dikecam atau karya mereka tidak dipandang sebagai puisi sebenar. Ketakutan sebegini tidak patut dilayan jika penyair yang menulisnya memang mempunyai daya imaginasi tinggi dan kehalusan bahasa lirik. Kita ambil contoh puisi prosa Zaen Kasturi berjudul “awan dan hujan”:
masa kami kanak-kanak dahulu, sesudah ayah pergi – –
sering saja ibu duduk di beranda malam sambil
merenda awan dengan benang-benang hujan. tak
pernah kami bertanya kerawang apa yang ingin
diciptanya, menghiais langit sukmanya – – asal ada
awan, kami selamanya yakin akan turun jua hujan. tapi
setelah ibu pula pergi beberapa tahun kemudiannya,
kami lihat kerawang yang diciptakan ibu tersangkut
pada langit sukma kami – – ada setompok awan, “awan
membenihkan hujan. hujan meneteskan awan.”
Terdapat ciri-ciri utama yang menjadikan karya ini sebuah puisi prosa yang indah. Pertama, tiada pembahagian stanza atau pemenggalan baris yang jelas. Kedua, teks ini menggunakan secara serentak naratif dan lirik untuk menyampaikan cerita dan pada masa sama, melukis imej dalam fikiran pembaca. Ketiga, kesan akhirnya tetap kesan sebuah puisi, bukan cereka. Ia berbeza kalau kita membaca cereka pendek Franz Kafka. Kita menerima cerita yang membuka pintu kepada sebuah dunia absurd di Prague. Sementara dalam puisi prosa Zaen, cerita hanya alat untuk menerbangkan pembaca ke dalam lirik bahasa. Secara kesimpulan, puisi prosa Zaen masih mengekalkan bunyi dan rentak lirik tanpa membiarkan ia hanyut dalam naratif penceritaan.
Kita boleh menemui corak sama dalam puisi prosa Charles Baudelaire dan Arthur Rimbaud. Malah tidak berlebihan untuk dikatakan bahawa kebangkitan puisi prosa sebagai genre di seluruh dunia adalah hasil import daripada puisi Perancis. Jika Zaen Kasturi terus mengekalkan lirik puisi, bagaimana pula dengan mereka yang menolaknya terus? Kita ambil contoh puisi prosa Russell Edson berjudul “The Pilot”:
Up in a dirty window in a dark room is a star
which an old man can see. He looks at it. He can
see it. It is the star of the room; an electrical
freckle that has fallen out of his head and gotten
stuck in the dirt on the window.
He thinks he can steer by that star. He thinks he
can use the back of a chair as ship’s wheel to
pilot his room through the night.
He says to himself, brave Captain, are you afraid?
Yes, I am afraid; I am not so brave.
Be brave, my Captain.
And all night the old man steers his room through
the dark…
Di sini kita dapat lihat prosa lebih dominan daripada lirik, malah lirik hampir tidak wujud. Maka, kenapa ia masih dianggap sebagai sebuah puisi? Dalam kata-kata Russell Edson sendiri: “puisi prosa ialah kapal terbang yang boleh terbang kerana ia dipandu oleh pilot yang tidak peduli ia boleh terbang atau tidak.” Louis Jenkins pula membandingkan puisi prosa dengan percubaan melempar gumpalan kertas ke dalam bakul sampah: “kemahiran, yang mungkin akan meningkatkan koordinasi deria mata, tapi tidak mungkin akan menjadikan anda pemain bola keranjang.” Sikap ingin melawan, sikap ingin menjadi aneh, sikap ingin meneroka wilayah baharu dalam bahasa ialah tarikan puisi prosa buat sesetengah penyair. Seperti tupai yang tidak boleh duduk diam, ia melompat-lompat di antara sempadan puisi dan prosa.
Setakat ini, Malaysia belum pernah mengeluarkan antologi khusus untuk puisi prosa. Akibatnya puisi prosa masih tidak dibincangkan secara serius oleh sarjana, penyair, dan peminat sastera. Kemunculan wadah dalam talian seperti Tukang Puisi dan Bilik Penyair telah membuka lebih banyak ruang untuk penulis muda mengirimkan puisi berbentuk prosa. Bahasa harus sentiasa dicabar, bahasa harus sentiasa diteroka. Kita mesti berani mengambil risiko untuk menemui bahasa puisi yang baru. Bak kata penyair besar Amerika, Charles Simic, menulis puisi prosa adalah ibarat “menangkap lalat di dalam gelap.”
Wan Nor Azriq merupakan seorang novelis kelahiran Alor Setar. Beliau telah menerbitkan tujuh buah buku, antaranya novel berjudul D.U.B.L.I.N. yang memenangi Sayembara Penulisan PENA-BH pada 2014. Beliau kini bekerja sebagai Penolong Naib Presiden di bank MIDF. Esei ini lahir daripada karya yang pernah terbit dan hilang di ruang lain sebelum ini.
Gambar oleh tverdohlib