
Apabila saya ke Biro Imigresen di daerah Intramuros di Manila, Filipina, untuk memperbaharui visa, saya sering melencong ke Fort Santiago yang terletak di bahagian timur laut daerah itu. Sebelum ini, Intramuros merupakan sebuah pusat pentadbiran politik, keagamaan, pendidikan, dan ekonomi Sepanyol. Sepuluh minit berjalan dari Biro Imigresen, saya akan mendongak melihat ukiran kayu alto-rilievo Santiago Matamores (Santiago Pembunuh Moro), santa pelindung perang Salib Eropah zaman pertengahan. Susuk Santiago duduk megah menjulang pedang di atas kudanya yang sedang melonjak di tengah-tengah pertempuran sengit, sambil kudanya memijak empat orang Islam yang berserban dan berjanggut. Santiago dianggap sebagai santa pelindung di enam buah bandar di Filipina, seperti Luzon, Plaridel, Bolinao, Betis, Libon, dan Ibaan. Bandar Dapitan yang terletak di Zamboanga del Norte, Mindanao turut mengagungkan Santiago.
Antara tokoh yang lebih nyata berbanding Santiago Matamores yang saya temui di sekitar bandar Manila dan Quezon City, ialah Claro M. Recto (1890–1960). Tokoh ini dianggap sebagai tokoh terbaik dalam kalangan penganut Katolik Filipina kerana telah membawa kesan paling buruk kepada orang Islam. Recto diangkat sebagai orang pintar, seorang “manusia Renaissance”, seorang peguam terhandal, dan sasterawan Filipina teragung.
Recto juga dikenali kerana semangat nasionalismenya, kritikannya terhadap rasuah, pengaruh besarnya terhadap pemikiran politik Filipina moden, serta kepercayaannya sebagai penganut Katolik yang “senyap, tetapi konsisten” walaupun beliau menentang institusi Gereja Katolik. Namun, Recto seorang penyokong kuat negara Filipina, dan juga salah seorang penaja utama akta Colonization of Mindanao 1935 (Act 4197) yang mengabsah dan menggalakkan penghijrahan orang Kristian Filipina dari Utara ke Mindanao. Akta ini memberi laluan kepada pengilhakan “sah” terhadap tanah pertanian Mindanao demi kepentingan “nasional”, yakni kepentingan penduduk Katolik di Utara.
Antara tugu lain yang saya temui ialah tugu wartawan tersohor Filipina, iaitu mendiang Maximo V. Soliven (1929–2006), tokoh yang merakam lebih tujuh dekad sejarah moden Filipina. Beliau dikebumikan di Libingan ng mga Bayani (Perkuburan Pahlawan) di pinggir Metro Manila. Namun, kebanyakan kenalan saya yang beragama Islam, nama Soliven penuh dengan kepahitan, kerana dalam tulisannya, Soliven menggambarkan orang Islam sebagai masyarakat yang bertentangan dengan segala yang dianggap “Filipina”.
Sebelum Soliven meninggal pada tahun 2006, beliau menyokong perlawanan para pemilik hartanah Katolik di daerah mewah San Juan terhadap penubuhan sebuah masjid di pusat beli-belah Greenhills—sebuah kawasan perniagaan masyarakat Muslim yang maju. Masjid itu akhirnya didirikan pada tahun 2004. Namun, teman-teman saya tidak dapat melupakan bagaimana Soliven dan kelas pemilik tanah San Juan memomokkan masyarakat Muslim di situ sebagai pengganas, pengedar dadah, dan sebagainya sehingga menyebabkan nilai hartanah mereka merosot.
“Pertemuan” saya dengan ketiga-tiga tokoh tersebut membangkitkan dua pertanyaan: 1) Bagaimana idea, nilai, kepentingan, amalan dan tanggapan tentang makna “Filipino” berpengaruh terhadap projek pembinaan negara, khususnya terhadap umat Islam di kepulauan tersebut. 2) Bagaimanakah tokoh seperti Santiago Matamores, Claro Recto, dan Max Soliven, berpengaruh terhadap cara negara and masyarakat Filipina berhadapan dengan umat Islam?
Saya ingin memahami batas-batas sosial dan kemungkinan yang ada dalam projek-projek lain milik negara. Dalam projek halal Filipina khususnya, terdapat politik budaya tiga serangkai yang berpengaruh. Yang pertama dibentuk oleh perdebatan tentang makna dan implikasi “Muslim” terhadap identiti dan amalan yang dianggap sebagai nasional dan Filipino. Pada tahun 2000-an, projek halal dijuarai oleh Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI) bersama badan awam dan swasta. DTI berjaya menggantikan badan Muslim seperti Pejabat Hal Ehwal Muslim (Office on Muslim Affairs, OMA) dan pertubuhan penggantinya, Suruhanjaya Kebangsaan bagi Muslim Filipina (National Commission on Muslim Filipinos, NCMF).
Penyingkiran OMA dan NCMF oleh DTI diikuti dengan penyingkiran budaya dan institusi melalui peraturan yang ditetapkan oleh DTI. Pendek kata, bentuk penjajahan lama dijelmakan untuk mengawal, mengurus, dan mendisiplinkan penduduk yang kononnya belum “matang”. Malah, peranan tradisional ulama sebagai penentu halal dan haram bagi masyarakat Muslim juga akhirnya terhakis.
Kedua, kekatolikan sebagai budaya orang Filipina. Paradoksnya, masyarakat Muslim dan peribumi lain turut memiliki sifat kekatolikan ini. Kekatolikan di sini merujuk kepada fenomena yang lebih mendalam dan luas daripada agama Katolik dalam erti kata konvensional. Ia terjelma dalam pandangan dunia binari yang meletakkan Katolik di satu jurang politik, sejarah dan budaya, dan Muslim di jurang yang lain.
Logik “keselamatan” juga mempengaruhi cara pemerintah mengelola umat Islam negara itu, sama seperti logik untuk mengawal kelompok minoriti yang dikatakan belum berupaya mentadbir diri sendiri.
Ketiga, pensekularan sebagai proses yang bersifat politik mempengaruhi projek penginstitusian Islam dan hal ehwal Muslim serta penginstitusian halal secara khusus. Sejak tahun 2013, para penggubal undang-undang dan ahli politik bukan Muslim meningkatkan usaha legislatif yang menghakis mandat dalam Seksyen 8(h) dan menyingkirkan NCMF daripada keseluruhan projek halal Filipina. Hasilnya, Republic Act 10817 yang dikenali sebagai Akta Pembangunan dan Promosi Eksport Halal Filipina diluluskan pada tahun 2016.
Pada awal abad ke-20, proses pengintegrasian masyarakat Muslim dan minoriti lain ke dalam politik nasional pada hakikatnya bermaksud penggabungan tanah serta sumber material mereka, bukannya penggabungan mereka ke dalam masyarakat yang lebih besar. “Integrasi” menjadi projek untuk menggabungkan tubuh dan tenaga kerja minoriti—yang dipaksa keluar dari kampung mereka di Mindanao—ke dalam kelompok buruh miskin demi memenuhi keperluan ekonomi moden Filipina.
Jika yang diambil sebelum ini ialah tanah dan tubuh mereka, kini yang dipertaruhkan ialah pengambilalihan halal sebagai nilai dan amalan agama oleh elit industri dan politik Filipina demi kepentingan industri agromakanan dan bioteknologi global. Banyak kerajaan di seluruh dunia juga tunduk kepada tekanan industri agroperniagaan dan bioteknologi global untuk memperkenalkan dan mengenakan undang-undang serta piawai yang berpusat pada harta intelek dan amalan pengeluaran makanan.
Dengan cara ini, halal menjadi suatu projek pembinaan bangsa dan identiti nasional Filipina. Projek halal Filipina menjadi proses politik pensekularan, di mana halal di NCMF dicabut daripada tatanan institusi dan sosial masyarakat Muslimnya. Dalam hal ini, RA 10817 dilihat telah meminggirkan halal daripada amalan, institusi dan konteks sosialnya yang berasaskan rasional nilai masyarakat Islam, lalu menanamkannya semula dalam projek halal Filipina yang didominasi oleh kepentingan neoliberal, rasionaliti instrumental dan tata kelola.
Daripada halal yang diamalkan dan dibentuk oleh umat Islam, halal Filipina kini didominasi oleh nilai sekular yang dijelmakan oleh “keimanan” para graduan perniagaan dan pengurusan, pakar dan eksekutif, ahli teknologi makmal, ahli sains dan juruteknik.
Projek halal Filipina berfungsi sebagai jendela bagi projek yang lebih besar berkait identiti nasional Filipina. Diagnosis dan prognosisnya tampak suram: Pertikaian asas yang menentukan perkembangan, trajektori, kemajuan dan kemunduran projek halal terletak pada (i) kegagalan untuk menanggapi realiti budaya masyarakat Islam; (ii) kekatolikan sebagai gugusan nilai, norma dan identiti yang mentakrifkan masyarakat minoriti; dan (iii) sekulariti memperalatkan nilai sosial, hubungan dan institusi Muslim demi projek neoliberal.
Bagaimanapun, masalah ini dapat ditangani setelah petunjuk, bayangan, batasan serta syarat-syarat kemungkinan bagi perubahan dapat dikenal pasti dan difahami.
Fauwaz Abdul Aziz merupakan seorang Penyelidik Projek di Program Sejarah dan Serantau, Penang Institute.



