
Dalam hubungan antarabangsa, sejarah bukan sekadar catatan masa lampau, tetapi himpunan pengalaman yang membantu sesebuah negara bangsa memahami identiti dan nilai strategiknya, serta peranan dan kedudukannya. Sejarah turut mempengaruhi cara sesuatu dasar dirangka, dan kaedah tindak balas terhadap perubahan geopolitik dikalibrasi. Bagi negara maritim seperti Malaysia, sejarah membuktikan bahawa kemakmuran sentiasa bergantung pada keterhubungan ekonomi dalam persekitaran politik yang stabil.
Kedah Tua (Abad ke-2 hingga ke-14 Masehi) dan Kesultanan Melayu Melaka (Abad ke-15 hingga ke-16 Masehi) merupakan dua pemain penting dalam perdagangan maritim, diplomasi dan hubungan antarabangsa sebelum bermulanya penjajahan barat. Kedua-duanya berfungsi sebagai pusat perdagangan yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan, sekali gus menjadi tonggak utama kepada perkembangan politik dan budaya di Alam Melayu.
Pada hari ini, Malaysia masih menduduki ruang strategik yang sama, khususnya melalui kedudukannya di pesisir Selat Melaka dan Laut China Selatan—dua buah laluan maritim terpenting di dunia. Kedua-dua laluan kritikal tersebut menghubungkan pusat-pusat ekonomi utama Asia dengan jaringan perdagangan global. Oleh itu, pengalaman Kedah Tua dan Kesultanan Melayu Melaka dapat membantu kita memahami pola sejarah lampau bagi menghadapi cabaran geopolitik serantau yang semakin kompleks.
Dalam landskap geopolitik Indo-Pasifik yang semakin mencabar ini, Malaysia mempunyai ruang dan peluang untuk menjadi sebuah kuasa pertengahan yang berpengaruh di rantau ini. Infrastruktur yang maju, kestabilan politik, kekayaan sumber alam dan tenaga kerja terlatih mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat ekonomi penting. Namun, pengaruh negara bukan sahaja bertunjangkan sumber dan komoditi strategik, tetapi juga keupayaan memanfaatkan kuasa lunak serta menyelaras kerjasama strategik yang menyumbang kepada kepentingan negara.
Persaingan Amerika Syarikat–China serta fragmentasi blok-blok kuasa pasca-Perang Dingin di Indo-Pasifik memerlukan negara-negara ASEAN, terutamanya Malaysia, untuk menilai semula pendekatan dasar luarnya. Pendekatan yang diambil oleh negara ini perlu melibatkan bentuk penjajaran baharu untuk mengekalkan autonomi dalam menata strategi hubungan luar, dan pada masa yang sama memanfaatkan peluang ekonomi baru.
Kerajaan maritim seperti Kedah Tua dan Kesultanan Melayu Melaka pernah menghadapi situasi persaingan kuasa luar yang hampir sama. Bagaimanapun, konflik geopolitik pada ketika itu berjaya ditangani melalui pendekatan diplomasi yang pragmatik, pengukuhan hubungan strategik dan sikap berkecuali dalam isu-isu tertentu. Oleh itu, kajian terhadap Kedah Tua dan Melaka memberi asas sejarah kepada pendekatan pragmatik dalam dasar luar Malaysia. Ia menunjukkan bahawa pertimbangan kita bukan sekadar tindak balas terhadap realiti geopolitik semasa, tetapi mencerminkan tradisi diplomasi pendahulu kita yang berjaya mengemudi persaingan kuasa besar sebelum zaman penjajahan Barat.
Pengalaman Kedah Tua dan Kesultanan Melayu Melaka justeru dapat memberikan pengajaran penting tentang bentuk pemikiran strategik yang membolehkan kita mempertahankan kedaulatan negara, serta menguruskan hubungan dalam persekitaran Indo-Pasifik yang semakin mencabar ini.
Kedah Tua dan Kesultanan Melayu Melaka
Kedah Tua merupakan salah sebuah pelabuhan maritim terawal di pesisir Selat Melaka. Sejak abad kedua Masehi, Kedah Tua menjadi sebahagian daripada jaringan pertukaran barangan dan budaya antara India, Timur Tengah, China dan Asia Tenggara. Pada ketika itu, Kedah Tua merupakan sebuah konfederasi masyarakat pesisir, setiap satunya memiliki fungsi-fungsi khusus, seperti pusat perdagangan, penghasilan barangan atau persinggahan (Nasha et al. 2024). Fungsi setiap penempatan tersebut dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran, seperti geografi, kedudukan strategik, keberadaan sumber alam dan demografi.
Kedudukan strategik menjadikannya pintu masuk ke landskap perdagangan maritim yang lebih luas di Kepulauan Melayu. Hal ini menyebabkan struktur kuasa Kedah Tua tertumpu kepada kegiatan pengurusan perdagangan, kawalan terhadap laluan maritim dan penghasilan komoditi bernilai tinggi seperti besi. Pengaruh Kedah Tua pula bergantung kepada kebolehannya untuk mengimbangi kepentingan perdagangan antara India, China dan Asia Barat. Hal ini dapat dilihat daripada tinggalan-tinggalan arkeologi dari India, China, Asia Barat and Asia Tenggara di tapak Lembah Bujang, sekali gus membuktikan pelabuhan Kedah Tua merupakan kawasan yang bebas, stabil dan selamat untuk kegiatan perdagangan.
Selepas kemerosotan Kedah Tua, pusat ekonomi beralih ke Kesultanan Melaka pada abad ke-15 Masehi. Kerajaan ini memiliki asas perkembangan maritim yang sama. Seperti Kedah Tua, Kesultanan Melayu Melaka merupakan himpunan kota-kota pelabuhan yang menghubungkan pusat-pusat ekonomi di Rantau Asia melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan (Muhammad Yusuf 1992). Kekuatan Melaka terletak pada keupayaannya untuk memonopoli kegiatan perdagangan, mengawal laluan perkapalan dan menguruskan pergerakan barangan.
Bentuk pentadbiran Melaka ke atas jajahan takluknya bersifat berlapis dan tidak seragam. Kota Melaka dan kawasan sekitarnya diperintah secara langsung oleh sultan dan pembesar. Bagaimanapun, wilayah-wilayah lain ditadbir melalui proksi seperti Penghulu dan Mandulika, serta para pembesar istana. Terdapat juga kerajaan-kerajaan bebas atau separa bebas yang memiliki kesetiaan kepada Sultan Melaka (Nasha 2022). Jajahan takluk ini merangkumi pelabuhan, penempatan pesisir dan kawasan sungai yang dihubungkan dengan Kota Melaka melalui sistem ufti, pakatan politik dan perkahwinan dinasti.
Keupayaan kerajaan-kerajaan Melayu maritim menata kesetiaan para pembesar jajahan takluknya, serta menyesuaikan bentuk politik menjadi asas utama kepada kesinambungan kuasa politik mereka. Pengaruh Kedah terletak pada kekuatan dan kepelbagaian ekonominya. Bagi Melaka pula, kuasanya terletak pada keanjalan hubungan antara pemerintah tempatan, pembesar, pedagang asing dan sekutu luar (Nasha 2022).
Pengalaman Kedah Tua dan Melaka menunjukkan bahawa landskap politik maritim Kepulauan Melayu terbina melalui kesetiaan, persefahaman dan persepakatan antara raja, pembesar, pedagang dan pemimpin tempatan. Hubungan ini berjalan melalui jaringan pelabuhan, penempatan dan pusat persinggahan yang disatukan oleh kepentingan perdagangan dan keselamatan serantau.
Oleh yang demikian, kekuatan kerajaan maritim tidak hanya terletak pada penguasaan wilayah, tetapi turut bergantung kepada keupayaan mereka untuk berdiplomasi, mengurus pakatan politik, memperkukuh hubungan kekerabatan antara pemerintah dan memanfaatkan perdagangan antarabangsa.
Tradisi Diplomasi Kerajaan Maritim
Struktur politik dan kepentingan ekonomi Kedah Tua dan Kesultanan Melayu Melaka membawa kepada corak hubungan luar yang kompleks dan unik. Hubungan tersebut tidak semestinya dikendalikan oleh satu pusat kuasa, tetapi melalui pelbagai saluran—berdasarkan kepentingan setempat, keutamaan perdagangan dan perubahan penjajaran politik.
Hal ini dapat dilihat melalui hubungan antara Kedah Tua, Kerajaan Srivijaya, Chola dan Dinasti Song pada abad ke-11 Masehi. Hubungan dengan Srivijaya dan Chola umumnya melibatkan penentukuran politik dan diplomasi, manakala Dinasti Song pula memiliki kepentingan perdagangan dengan Kedah Tua. Pedagang dari Timur Tengah juga merupakan sebahagian daripada jaringan pertukaran komoditi yang penting. Dalam konteks ini, Kedah Tua berfungsi sebagai perantara yang menghubung dan mengimbangkan kuasa-kuasa ekonomi dan politik serantau.
Pola yang hampir sama dapat diperhatikan pada Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 Masehi. Melaka memanfaatkan hubungan baik dengan China untuk mengimbangi tekanan Siam, sambil mengekalkan hubungan ekonomi dengan kedua-dua kuasa tersebut. Hubungan dengan pesaing Melaka seperti Pasai dan Aru pula diurus melalui diplomasi, dan apabila perlu, melalui kempen ketenteraan. Oleh itu, kekuatan Melaka bergantung kepada keupayaannya untuk mengekalkan jaringan hubungan sama ada dengan cara halus atau kasar, asalkan ia memberi keuntungan kepada pelabuhannya.
Terdapat satu pemikiran strategik yang sama bagi kedua-dua kerajaan maritim ini: pengaruh politik dan ekonomi bergantung kepada keupayaan untuk mengemudi, mengimbangi dan memanfaatkan lapisan-lapisan kuasa dengan pendekatan berbeza mengikut keadaan. Perkara yang kini dianggap sebagai diplomasi pragmatik atau kesamaran strategik (strategic ambiguity) sebenarnya mempunyai akar sejarah yang panjang. Persaingan kuasa besar di Indo-Pasifik hari ini membawa kepada cabaran yang besar bagi Malaysia. Oleh itu, tindak balas Kedah Tua dan Kesultanan Melayu Melaka dari segi strategi terhadap tekanan geopolitik masa lalu bukan sekadar episod sejarah, tetapi menawarkan suatu kerangka pemikiran yang memberi pengajaran penting kepada Malaysia.
Pendekatan kedua-dua kerajaan ini bersifat anjal dan pragmatik, bukannya kaku atau konfrontasi secara langsung. Kerajaan-kerajaan ini menjalinkan hubungan dengan pelbagai kuasa secara serentak bagi menyesuaikan corak interaksi mengikut kepentingan semasa. Pada masa yang sama, kebergantungan mutlak kepada mana-mana pihak dapat dielakkan. Kedaulatan mereka dipelihara melalui strategi kebolehsuaian, perundingan dan kecekapan berdiplomasi dalam landskap yang dinamik. Pengalaman sejarah ini amat signifikan dalam memahami dan menentukur acuan dasar luar Malaysia.
Dasar tersebut tidak boleh diperjelas secara tuntas menerusi satu kerangka teori sahaja, sama ada realisme, konstruktivisme, mahupun pendekatan berasaskan agensi (Carlsnaes 2013). Isu keselamatan, misalnya, mungkin memerlukan strategi pengimbangan (balancing), khususnya apabila berlaku perubahan dalam konfigurasi kuasa serantau. Dalam persekitaran yang tidak menentu ini, strategi pengebatan risiko (hedging) pula penting untuk meredakan kerentanan strategik (Kuik 2022).
Landskap serantau kini tidak lagi tertumpu secara mutlak pada interaksi dua hala antara pelaku negara (state actor). Kehadiran pelaku bukan negara seperti NGO, institusi separa-kerajaan, organisasi serantau, dan jaringan transnasional mencorakkan ekosistem global dengan lebih lentur dan dinamik. Kini, konsep kuasa tidak lagi bersifat monolitik, tetapi merupakan sistem perhubungan multidimensi yang bergantung kepada konteks semasa. Menurut Baldwin (2013), keberkesanan pelaksanaan kuasa oleh sesebuah negara ditentukan oleh wadah interaksi, keupayaan dan sumber yang dimiliki, kos yang perlu ditanggung oleh pelaku serta instrumen penguatkuasaan dasar.
Persekitaran geopolitik ini memberi ruang bagi kuasa kecil dan pertengahan seperti Malaysia untuk bergerak secara strategik melalui platform pelbagai hala, jaringan perdagangan, pertukaran ilmu, dan diplomasi budaya (Goff 2013). Tanpa perlu mencabar kuasa besar secara langsung, pengaruh dibina dengan mengemudi landskap politik yang kompleks melalui diplomasi pelbagai lapisan serta kesamaran strategik dalam isu sensitif. Dalam masa yang sama, identiti, warisan, dan naratif nasional harus ditonjolkan secara pragmatik. Melalui strategi pemisahan isu (compartmentalization), Malaysia boleh berinteraksi dalam bidang ekonomi, keselamatan, budaya, dan diplomasi dengan kuasa berbeza secara serentak, memisahkan interaksi satu sektor daripada sektor yang lain bagi memastikan dinamika kerjasama dan persaingan dapat diurus secara pragmatik.
Kesimpulan
Kedah Tua dan Kesultanan Melayu Melaka tidak harus dilihat sebagai sekadar sejarah lampau, tetapi sebagai analogi pemikiran strategik yang membantu menjelaskan peranan dan dasar luar Malaysia dalam konteks geopolitik semasa. Dalam kedua-dua kerajaan tersebut, kuasa dan kedaulatan dipertahankan melalui kebolehsuaian, keupayaan menjadi perantara dan kemahiran mengurus hubungan dengan pelbagai pihak.
Pelaksanaan dasar luar Malaysia kini menjadi semakin kompleks, bergantung kepada isu dan kepentingan semasa. Dalam persaingan kuasa di Indo-Pasifik, Malaysia perlu bergerak melampaui strategi berkecuali kepada pendekatan penjajaran yang lebih kompleks atau strategic multi-alignment. Pendekatan ini melibatkan hubungan dengan beberapa kuasa besar secara serentak dalam ranah yang berbeza, sambil mengekalkan autonomi strategik dan mengelakkan kebergantungan kepada satu pihak.
Penjajaran dalam konteks ini tidak bersifat eksklusif, tetapi berbeza mengikut isu, skop, dan bidang. Malaysia boleh bekerjasama dengan satu kuasa dalam perdagangan, mengekalkan pakatan keselamatan dengan kuasa lain, serta berinteraksi dengan negara-negara lain dalam aspek kebudayaan, pendidikan, dan diplomasi. Pemisahan isu (compartmentalization) sebegini membolehkan kerjasama dan persaingan diurus secara serentak tanpa membiarkan ketegangan dalam satu sektor menjejaskan hubungan dalam sektor yang lain.
Pendekatan tersebut turut menuntut kita untuk menolak tanggapan bahawa negara merupakan unit kuasa yang bersifat monolitik. Hakikatnya, sesebuah negara beroperasi menerusi pelbagai agensi domestik yang ada kalanya memiliki autonomi untuk berinteraksi secara langsung dengan pelaku negara luar. Kerangka pemikiran ini membolehkan interaksi dengan entiti asing dilaksanakan dengan lebih anjal, berlapis, dan yang paling penting, berorientasikan kepentingan dan aspirasi negara.
Selain diplomasi antara negara, hubungan berterusan perlu dibina dengan agensi separa kerajaan, institusi bukan kerajaan, dan jaringan transnasional. Jaringan ini bukan sekadar instrumen kuasa lunak, malah berfungsi sebagai mekanisme untuk membentuk naratif serantau, memperluas pertukaran ilmu dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai kuasa perantara.
Penonjolan kuasa lunak Malaysia di rantau ini bergantung pada keupayaan kita mengemudi strategi negara kita dalam persekitaran geopolitik yang dinamik, mengekalkan keanjalan ruang untuk berdiplomasi serta menerapkan strategi pemisahan isu dalam hubungan luar. Merentasi kedudukan strategik, Malaysia perlu memanfaatkan potensi sebagai penghubung utama dalam sistem maritim yang sentiasa berkembang.
Pengalaman Kedah Tua dan Kesultanan Melayu Melaka membuktikan bahawa pengaruh tidak semestinya diunjurkan melalui penguasaan atau penjajaran eksklusif, sebaliknya melalui imbangan hubungan yang ditata antara pelbagai kuasa yang secara serentak bekerjasama dan bersaing.
Rujukan
Baldwin, D. A (2013). Power and International Relation in W. Carlnaes, T. Risse & B. A. Simmons (Eds). Handbook of International Relations (pp.273-297). Sage Publication: London.
Carlsnaes, W. (2022). Foreign Policy. in W. Carlnaes, T. Risse & B. A. Simmons (Eds). Handbook of International Relations (pp.298-325). Sage Publication: London.
Goff, P. M (2013). Cultural Diplomacy in A. F. Cooper, J. Heine & R. Thakurr, The Oxford Handbook of Modern Diplomacy, Oxford: Oxford University Press.
Kuik Cheng-Chwee (2022). Hedging via Institutions: ASEAN-led Multilateralism in the age of the Indo-Pacific. Asia Journal of Peacebuilding 10(2): 355-386.
Kuik Cheng Chwee (2023). Navigating the Narratives of Indo-Pacific: “Rules,” “Like-Mindedness,” and “De-Risking in the eyes of Southeast Asia. Georgetown Journal of Asian Affairs 9: 51-56
Muhammad Yusoff Hashim (1992). The Malay Sultanate of Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nasha Rodziadi Khaw (2022). Malacca Sultanate as a Thalassocratic Confederation (1400-1511): Power Structure of the Pacified States. The Newsletter 93 Autumn 2022. Leiden: Univeristy of Leiden.
Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun & Suresh Narayanen (2024). Ancient Kedah: History, Archaeology & New Narratives. Penang: Universiti Sains Malaysia Press.
Sharifah Munirah Alatas (2022). Appropriating the Indo-Pacific Construct: An Analysis of Eurocentrism from a Southeast Asian Perspective. Politikon 49(3): 299-315.
Dr. Nasha Rodziadi Khaw merupakan seorang Profesor Madya dan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia.


