
Keganasan tidak pernah selesai; sama seperti Demogorgon dalam siri TV Amerika, The Stranger Things. Di pekan Hawkins, penduduknya hidup bersama raksasa dari dimensi lain, yang muncul sekali-sekala untuk menculik kanak-kanak. Nasib pekan terpencil itu hanya terletak pada sekumpulan remaja, yang terpaksa berbolak-balik antara dunia nyata dan tak nyata untuk memburu punca kejahatan. Seperti kebiasaan filem misteri, orang yang tertindas akhirnya menang. Dunia raksasa yang tersambung melalui sebuah makmal rahsia milik negara itu hancur. Namun, sedang mereka meraikan kemenangan, di belakang mereka ada sisa-sisa raksasa yang masih berdenyut. Benihnya hidup dan menunggu untuk mengganas lagi di musim baharu.
Sebagai sebuah peristiwa, keganasan mungkin ada permulaan, perkembangan dan penamatnya. Begitu kita memahaminya melalui buku-buku sejarah di sekolah. Kita boleh menetapkan tarikh dan waktunya, mengarang tentang keganasan sehingga menjadi sebuah cerita, dan orang yang menang boleh bangun mengisytiharkan kemenangan. Ia masuk ke dalam catatan sejarah sebagai himpunan episod yang boleh ditonton dan dibaca semula pada bila-bila masa. Peristiwa keganasan diberi tempat dalam satu garis masa dan memiliki batas-batas yang jelas. Maka itu, setelah banduan Yahudi terakhir dibebaskan daripada kem-kem tahanan di Jerman, Poland dan Kesatuan Soviet pada tahun 1945, sejarah merangkumkan rentetan penyeksaan dan kematian yang terjadi sepanjang 12 tahun itu sebagai “Holocaust”.
Demikianlah selanjutnya keganasan didamaikan. Kita mengenal dan mengakui keganasan kerana ia tampak dan boleh dikira—tubuh-tubuh yang bergelimpangan, runtuhan-runtuhan bangunan, dan pelarian berarak meninggalkan tanah air sendiri.
Namun, keganasan dalam apa pun bentuknya tidak semestinya tunduk pada hukum rentetan atau kronologi peristiwa; ia tidak sekadar menjelma dalam bentuk yang jelas menyayat hati dan meruntun jiwa. Seperti dalam siri cereka sains itu, ia bertelur, mengeram, melahirkan diri sendiri, bermutasi, bahkan hadir dalam hidup manusia sehari-hari. Keganasan boleh mengambil bentuk simbolik “yang halus dan tidak kelihatan, tidak dianggap ganas, malah selalunya dipilih, bukannya dipaksakan,” seperti kata Pierre Bourdieu, ahli sosiologi Perancis.
Itu yang terjadi di Indonesia pada tahun 1965–66, ketika rejim Soeharto memburu, membunuh, memenjara dan menyeksa hampir satu juta nyawa yang dituduh sebagai Komunis, atau sekadar memiliki bau-bau Komunis. Keganasan terbukti tidak berhenti setelah darah berhenti mengalir. Ia berubah wajah. Ia masuk ke dalam birokrasi, dasar dan peraturan negara, lalu dibiasakan dalam kehidupan harian.
Dalam buku The Dance That Makes You Vanish: Cultural Reconstruction in Post-Genocide Indonesia, Rachmi Diyah Larasati berbicara tentang hal ini—melalui nasib yang ditimpa oleh para penari kebudayaan Indonesia yang turut menjadi mangsa keganasan tahun 1965 itu. Membaca halaman pertama sahaja, kita diterpa dengan tragedi, bukannya tari-tarian yang muluk-muluk. Setelah membantai ratusan ribu orang penari dan penggiat kebudayaan negara itu, rejim Orde Baru akhirnya mengambil alih peranan sebagai koreografer—ia mengajarkan tari, menentukan gerak tubuh, sekali gus menetapkan apa yang bermoral, dan apa yang tidak. Seni tari dirampas, dimurnikan dan digunakan semula sebagai alat kekuasaan.
Larasati tidak melihat keganasan tahun 1965 itu sekadar sebuah tragedi penghapusan manusia yang habis di situ. Hakikatnya, ia berlanjutan dalam bentuk baru, sehingga mampu meruntuhkan makna dan rupa kebudayaan masyarakat—suatu bentuk keganasan yang sama fatalnya, malah tidak kasat mata. Di sini, kita menyaksikan kematian berganda: Ketika para penari lama dihilangkan dan tempatnya digantikan oleh generasi baharu yang bersih daripada politik, dan kematian kedua, ketika seni dipersembahkan semula dalam bentuk yang diperakukan negara.
Bagi Larasati, keganasan tidak lagi hadir melalui tembakan dan jerit sakit suara yang tidak dipedulikan seperti 61 tahun dahulu, tetapi dalam gerak tubuh yang telah dilatih untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dengan kata lain, ia tidak hilang; ia masuk ke dalam dasar dan kebudayaan; ia belajar menari dan menjalin hubungan dengan orang yang gerak-gerinya sudah dilenturkan oleh rasa takut.
Apa yang dijelaskan oleh Larasati bukanlah pengalaman yang tidak turut bergema di tempat-tempat lain di rantau ini. Walaupun sejarah Malaysia tidak melalui episod pembunuhan besar-besaran seperti tahun 1965 di Indonesia, ada corak yang serupa pada hubungan antara negara, kebudayaan dan tubuh para penggiat seni. Ia menjadi produk yang dipentaskan di panggung-panggung rasmi oleh para penggiat yang sudah dibesarkan dan dididik oleh institusi negara, dengan wajah dan persalinan baharu.
Namun, itu tidak berlaku tanpa korban. Di belakang pentas-pentas rasmi, ramai penggiat seni tradisional bersemuka dengan dilema: meninggalkan terus tradisi, atau tetap berkarya dengan mengorbankan sebahagian makna yang selama ini menghidupkan seni itu sendiri. Ritual, kosmologi, penghormatan, hubungan dengan alam tak nyata, bahkan fungsi sosial sesuatu persembahan perlahan-lahan dicabut daripada tubuh seni. Yang tinggal hanyalah luarannya—gerak tari, muzik dan persalinan. Maka, ketika kerajaan negeri Kelantan menarik semula sekatan terhadap persembahan tradisional di negeri itu, ada yang tidak mampu bersorak-sorai.
Keganasan sudah bergerak mengambil bentuk yang paling halus: bukan lagi dengan menghalang manusia daripada menari, tetapi dengan membenarkan mereka menari hanya setelah roh tariannya dicabut. Sesuatu yang menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat dan cara pandang dunia mereka perlahan-lahan dihimpit, dibenarkan hanya sebagai produk persembahan—untuk pentas, tatapan pelancong, atau untuk memenuhi tafsiran yang dibenarkan oleh penguasa.
Kemenangan terbesar raksasa ganas duduknya di sini, ketika ia tidak lagi perlu muncul sebagai makhluk dari dunia lain yang menakutkan; tidak lagi memerlukan penjara, senjata atau darah untuk hidup, tetapi cukup dengan manusia menjadi terbiasa dengan suatu bentuk kehidupan dan kebudayaan baharu yang tampak semula jadi. Haram atau tidak, kita akhirnya menonton tragedi saat penari dipaksa menari bersama si raksasa.




