
CEO Facebook, Mark Zuckerberg ketika mengumumkan Muqaddimah karya Ibn Khaldun sebagai buku pilihan melalui kelab buku awam beliau, A Year of Books, memberikan pemerhatian yang menarik: walaupun apa yang ditulis oleh Ibn Khaldun ini telah disangkal selepas lebih 700 tahun, ia tetap mencerminkan apa yang difahami oleh masyarakat waktu itu.
Namun timbul persoalan, bagaimana beliau mampu menghasilkan sebuah karya yang sedemikian fenomenal ketika itu? Dari sudut persejarahan Islam, pandangan yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun amat mendahului zamannya. Beliau tidak sekadar mencatat peristiwa, mengenal pasti watak yang terlibat dan merekodkan tarikh kejadian, sebaliknya melangkah ke satu tahap yang lebih jauh, iaitu membedah persoalan mengapa dan bagaimana sesuatu peristiwa itu boleh berlaku. Keupayaan inilah yang menjadi batu asas kepada teori sains politik dan sosiologi moden.
Sudah tentu, kemenjadian intelek beliau tidak bermula secara tiba-tiba. Salah seorang guru terawal Ibn Khaldun ialah bapa beliau sendiri, seorang pegawai kerajaan yang mendidik Ibn Khaldun menghafal al-Quran, menguasai asas Fiqh Maliki dan bahasa Arab sebelum menyerahkannya ke dalam lingkungan sarjana ternama di Tunis. Bimbingan awal ini memberikan asas yang cukup kukuh kepada Ibn Khaldun sebelum pemikiran beliau dilentur lebih lanjut oleh sistem pendidikan pada waktu tersebut.
Di samping itu, salah satu penjelasan paling masuk akal bagaimana Ibn Khaldun boleh menjadi sedemikian tajam dalam analisis sebab-akibat (cause and effect) seperti yang tertera dalam Muqaddimah ialah latihan pemikiran dalam Mazhab Maliki—salah satu daripada empat mazhab utama Ahli Sunnah wal Jamaah. Keunikan tradisi ini terletak pada falsafah perundangannya; walaupun terdapat nas dalam al-Quran dan as-Sunnah, realiti di lapangan tetap diambil kira. Ini terbukti menerusi penerapan prinsip Amal Ahli Madinah (amalan kebersamaan penduduk Madinah), Maslahah Mursalah (kepentingan awam) dan Saddu az-Zarai’ (menutup pintu keburukan). Prinsip-prinsip inilah yang kelak menjadi tiang seri kepada konsep Maqasid Shariah (objektif syariah) yang mendominasi wacana politik Islam dan ketatanegaraan sejak dua dekad belakangan ini.
Pengamatan Ibn Khaldun yang mendalam ini turut dimungkinkan kerana beliau seorang warga kosmopolis dunia Islam, iaitu sebuah ruang yang tidak dipisahkan oleh garis sempadan negara moden. Seorang sarjana seperti beliau bebas bergerak, berkhidmat di istana dan hidup bersama ilmuwan serta elit penguasa dari Tunis, Fez, Andalusia sehinggalah ke Kaherah. Kehidupan merentasi sempadan dan sub-etnik ini membekalkan pangkalan data raya kepada Ibn Khaldun untuk memahami bagaimana sesebuah kota boleh berkembang maju dan mengalami keruntuhan, realiti elit penguasa dalam kitaran politik istana, mahupun corak kabilah Badwi berinteraksi dengan wakil mereka. Dunia kosmopolitan inilah yang menyediakan bahan empirikal sebenar untuk beliau membedah tamadun.
Namun, seperti mana kitaran hidup manusia yang lain, sisi praktikal Ibn Khaldun mula teruji tatkala beliau mula terlibat dalam dunia pentadbiran istana dan berkhidmat sebagai diplomat pada usia 20-an di Andalusia dan Maghribi. Beliau menyaksikan sendiri percaturan politik yang kejam, melihat sahabat baik beliau dibunuh dan diri sendiri dipenjarakan selama dua tahun akibat fitnah politik. Tribulasi ini membentuk watak beliau menjadi lebih pragmatik dalam mengimbangkan antara idealisme ilmu yang dipelajarinya dengan realiti sebenar manusia serta pergolakan kuasa.
Lantaran keletihan fikiran dan tenaga akibat persengketaan yang tidak berkesudahan, Ibn Khaldun akhirnya mengambil keputusan radikal untuk tidak lagi melibatkan diri dengan urusan pemerintahan secara langsung. Beliau memilih untuk mengasingkan diri di sebuah kubu terpencil, iaitu di Qalat Ibn Salama di bawah perlindungan kabilah tempatan, lalu melahirkan karya monumental beliau di situ dalam tempoh yang amat singkat. Jikalau sesetengah tokoh menghasilkan karya di sebalik tirai penjara, beliau sebaliknya masuk ke ‘penjara’ sendiri, di mana seluruh buah fikirannya dicurahkan ke atas kertas dengan begitu lancar.
Sekembalinya beliau ke Tunis selepas fasa pengasingan tersebut, nama Ibn Khaldun kembali menjadi tumpuan sultan. Menurut pengalaman dan firasat beliau, keadaan ini bakal menimbulkan implikasi buruk kerana para ilmuwan setempat dan pembesar istana akan berasa terancam serta cemburu jika kedudukan mereka terganggu. Beliau juga menilai bahawa rantau Maghribi dan Andalusia semakin merosot dari segi politik mahupun ekonomi, manakala Mesir di bawah Mamluk sedang pesat membangun sebagai pusat ilmu yang stabil. Justeru, beliau mengambil langkah pragmatik untuk ‘bersara’ daripada kebejatan politik Maghribi dan berpindah ke Mesir. Pengajaran berharga dalam kehidupan kita ialah kita perlu tahu bila saat terbaik untuk berhijrah demi mengimbangi potensi diri dan mengelakkan mudarat.
Walau bagaimanapun, dek kerana kepopularan kesarjanaan beliau, Ibn Khaldun tetap menjadi tumpuan sejurus tiba di Mesir. Di sana, beliau disambut meriah oleh sultan dan diberi peluang menyampaikan syarahan di masjid Kaherah yang dihadiri oleh ilmuwan-ilmuwan ternama. Syarahan tersebut turut dihadiri oleh seorang anak muda, Al-Maqrizi, yang kemudiannya menjadi anak murid beliau dan menyambung tradisi pensejarahan Ibn Khaldun menerusi sumbangan analisis kewangan era Mamluk. Kemuncaknya, Ibn Khaldun dilantik sebagai Ketua Qadi Mazhab Maliki di Mesir dan telah berselang-seli dipecat serta meletak jawatan sebanyak enam kali dek kerana ketegasan beliau menjalankan tugas, keengganan melayan birokrat istana Mamluk bersekali dengan duka trauma akibat tragedi isteri dan ahli keluarganya yang terkorban sewaktu proses penghijrahan.
Melihat Ibn Khaldun sebagai manusia membolehkan kita memahami bagaimana Muqaddimah dihasilkan. Dakapan pengalaman luas Ibn Khaldun dalam menyaksikan pergolakan politik, jatuh bangun kerajaan, rundingan antara wakil kerajaan, trauma kehidupan peribadi yang bersilih ganti telah membentuk pemikiran Ibn Khaldun. Sebagai warga kosmopolis, beliau memanfaatkan peluang ini dengan menjadikan setiap kota dan wilayah yang direntasinya sebagai warisan intelektual yang agung.



