
Setiap penulis pasti datang dari sebuah tempat. Kita mengenal penulis yang menempelkan diri atau ditempelkan dengan negara. Ada penulis Sepanyol, penulis Jepun, penulis Indonesia, penulis yang hidup dalam buangan di Amerika, atau penulis dari Sarawak, dari Kuala Lumpur, dan sebagainya. Baik menetap atau menumpang, sementara atau lama, dia tidak dapat tidak memiliki sebuah tempat untuk duduk, mengalami dan turut serta dalam kehidupan masyarakat di sekitarnya. Dari situ dia kemudiannya berkarya. Seorang penulis majalah jalan-jalan yang tidak pernah panas punggung di satu-satu tempat, hidup berpindah-randah dari satu negara ke negara lain, juga memiliki tempatnya sendiri. Malah, kehadiran sebuah tempat, sebuah “kediaman”, tempat berhenti, lebih jelas bagi penulis yang tidak memilikinya.
Mahu atau tidak dikaitkan dengan sesebuah tempat, persekitaran yang dihidupi oleh si penulis itu juga akan berbekas pada dirinya. Sesebuah tempat memberikan sebuah pengalaman kepada penulis. Melalui bahasa, dia memahami orang-orang di sekitarnya; dia membangun rasa melalui apa yang dimakan oleh masyarakatnya; dia merasai panas dan dingin ketika berjalan di celah-celah bangunan di kotanya; dan terlibat dalam resam hidup di tempat dia berpijak. Segala pengalaman ini jugalah kemudiannya yang akan membentuk cara dia mengolah karyanya. Menjadi seorang penulis dari sebuah tempat adalah menjadi sebahagian daripada tempat tersebut.
Maka, tiada bezanya si penulis ini dengan orang lain. Seperti tukang sapu, jurutera, guru mahupun pegawai kerajaan, penulis mengambil satu kedudukan dan bertindak balas terhadap persekitarannya. Seorang tukang sapu kerjanya menyelenggara alam sekitar; jurutera membina jambatan, guru mengajar orang untuk memahami dunia, dan penulis menggunakan bahasa, ingatan, dan khayalannya untuk menyampaikan cerita. Pekerjaan mereka berpengaruh terhadap cara orang lain mengingati sesuatu peristiwa dan menanggapi persekitaran mereka. Pada kedudukan ini, dia tidak dapat lari daripada diadili, dibungkam, dibuang ke tepi, ditertawa dan dipertanggungjawabkan. Seorang jurutera mungkin hanya peduli dengan jambatannya, tetapi ia membawa dampak setelah karyanya masuk ke ruang awam. Begitu juga penulis, ia bertanggungjawab terhadap pilihan-pilihan yang diambilnya, baik itu pilihan politik atau apa pun.
Bagaimana pula jika si penulis ini datang dari sebuah tempat yang jelas rencam budaya dan bahasanya? Di tempat itu, masyarakatnya berbicara dalam pelbagai bahasa yang sebahagiannya tidak difahami oleh satu sama lain. Masyarakatnya berhimpit-himpit menuntut ruang masing-masing, dan mereka memiliki bayangan-bayangan sendiri tentang rupa jati diri mereka. Di tempat itu juga, pendapat, pegangan hidup dan cara pandang dunia setiap orang sering bergeser, sehingga prasangka buruk terhadap satu sama lain sentiasa wujud. Masyarakatnya hidup di tempat yang sama, tetapi tidak semestinya mengalami tempat tersebut dengan cara yang sama. Malah, politik dan para pemimpinnya terpecah mengikut garis kaum dan agama.
Barangkali, penulis yang terlahir daripada masyarakat sebegini tidak monolitik dan tidak monolingual, tetapi berkebolehan dalam pelbagai bahasa, merangkul bermacam bentuk tradisi, ingatan mahupun dunia. Di tempat yang sangat rencam ini, bahasa kadangkala menjadi persoalan kuasa bagi si penulis itu. Ia bukan sekadar satu wadah yang sentiasa boleh ditukar ganti, tetapi boleh menentukan kedudukan seseorang penulis, baik dari segi sosial mahupun politik. Ada bahasa yang dianggap rasmi, ada yang diwarisi daripada penjajah, dan ada juga bahasa yang dianggap terpencil. Di sini, kerja menulis akhirnya menjadi sebuah tindakan politik, yakni penulis terpaksa mengambil kedudukan, memilih-milih dan merunding antara pelbagai bahasa dan kosa kata, sejarah serta cara memahami dunianya.
Namun, kita tahu bahawa seseorang penulis tidak hanya menempati dan bergerak dalam satu dunia sahaja. Paling tidak, ada dua bentuk dunia yang dihadapinya secara bersamaan, iaitu dunia luaran atau tempat dia berperanan sebagai makhluk sosial, dan dunia dalaman atau tempat dia bergomol dengan diri sendiri—tiada yang lain. Di dalam dunia pertama, dia berbicara dengan orang lain, mematuhi dan kadangkala melanggar aturan, memainkan peranan tertentu, dan sentiasa diperhatikan. Dalam dunia ini, sebahagian jati dirinya, baik kewarganegaraan, kerja, kelas, mahupun bahasa, menjadi tatapan awam. Di dalam dunia kedua pula, iaitu dunia yang lebih peribadi, segala pengalaman dari dunia pertama tadi diresapi, disimpan, dipersoalkan, dibayangkan dan disusun semula. Dalam dunia ini, segalanya bertebaran dan belum diungkapkan dalam bentuk bahasa.
Di sini kerja penulisan selalunya bermula, pada titik ketika dunia luar dibawa masuk ke dalam, dan terkumpul dalam bentuk-bentuk yang belum tertata berbanding bahasa, seperti imej, babak, perasaan, ingatan, dan sebagainya. Jadi, perbualan pertama penulis tidak berlaku dengan pembacanya, tetapi dengan hal-hal yang masih belum terbentuk dengan sempurna dalam dirinya. Dengan kata lain, ada pengalaman, ingatan, perasaan, malah cerita yang belum sepenuhnya menjadi milik bahasa—baik Melayu, Inggeris, Tamil, Mandarin dan sebagainya.
Seseorang penulis duduk di meja tulisnya, menatap layar komputer, sebelum menaip kata-kata pertamanya. Tiada yang lain selain dirinya dalam membawa segala yang masih di peringkat pra-bahasa dan belum dikomunikasikan ini ke batas bahasa.
Namun, diri yang diajak berbual oleh penulis itu tidak pernah tunggal atau seragam. Ia sudah lama dibentuk oleh pelbagai bahasa, budaya, ingatan dan cara melihat dunia yang saling bersilangan. Ada pengalaman yang dilaluinya melalui dialek yang digunakan di rumah, ada melalui bahasa di sekolah, dan ada yang bersangkut dengan agama, kerja mahupun kehidupan sosialnya. Bahasa-bahasa ini juga memiliki nada, jarak, perasaan dan cara berfikirnya yang tersendiri.
Maka, perbualan dalaman seseorang penulis daripada masyarakat berbilang budaya dan bahasa boleh menjadi semacam pertemuan antara banyak suara dalam dirinya sendiri. Dia bukan sekadar perlu memilih kata-kata yang paling tepat, tetapi berunding dengan pelbagai bahagian dirinya. Jadi, sifat kerencaman bukan hanya suatu bentuk keadaan masyarakat yang berada di luar diri penulis; ia sudah masuk dan berakar dalam dirinya. Penulis tidak sekadar hidup di antara beberapa dunia, tetapi sebaliknya, iaitu beberapa dunia itu sendiri yang hidup di dalam dirinya.
Dalam keadaan ini, bahasa menjadi semacam tempat terakhir bagi segala yang berkecamuk dalam diri penulis. Apa yang awalnya hadir sebagai imej, ingatan, rasa, pertentangan atau suara-suara yang bersilang perlu dipanggil masuk ke dalam suatu bentuk yang dapat dikomunikasikan. Penulis mengundang bahasa untuk memberi nama dan batas kepada sesuatu yang sebelumnya masih bersifat cair.
Namun, bahasa bukan sebuah tempat yang bebas nilai. Ada pengalaman yang dipertegaskan, dan ada yang mungkin terpinggir atau hilang setiap kali penulis perlu membuat pilihan kata, nada atau bahasa tertentu. Maka, menulis bukan sekadar memindahkan apa yang sudah siap di dalam diri ke atas kertas, tetapi mencipta bentuk bagi sesuatu yang belum selesai.
Bahasa menjadi tempat pengalaman itu berdiam—walaupun tidak pernah mampu menampung sepenuhnya.
Hujungnya, menulis dari sebuah masyarakat yang rencam budaya dan bahasanya bukanlah sekadar menulis tentang kerencaman itu sendiri, atau menggunakan pelbagai bahasa dalam menulis. Ia bererti menulis daripada sebuah diri yang sudah dibentuk oleh banyak dunia, banyak suara dan banyak cara memahami kehidupan. Penulis membawa kesemuanya ke meja tulis, merundingkannya dalam diam, sebelum menyerahkannya kepada bahasa, dan akhirnya kepada pembaca. Kerana itu karya yang dihasilkan tidak pernah datang daripada satu tempat, satu bahasa atau satu jati diri yang tunggal. Ia datang daripada pertemuan yang tidak pernah habis antara dunia di luar dan dunia di dalam diri penulis.
Barangkali, menulis dari sebuah masyarakat yang rencam bahasa dan budaya bukan sekadar memiliki banyak bahasa, tetapi hidup dengan aneka dunia di dalam diri, lalu dia berusaha mencari bahasa yang dapat menampung segala apa yang ada dalam dirinya.



