
Bersekutu Bertambah Mutu: cogan kata yang tertera pada Jata Negara Persekutuan Malaysia, sebuah gabungan negeri-negeri dan wilayah di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak.
Jauh sebelum itu, pada tahun 1773, Negeri Sembilan telah membentuk sebuah persekutuan tersendiri antara para luak, dengan menjemput Raja Melewar dari Pagar Ruyung untuk ditabalkan sebagai raja pemersatu. Ini sekali gus menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah entiti politik bersekutu terawal di rantau ini, bahkan lebih awal daripada Amerika Syarikat (1776).
Namun, keutuhan konsep persekutuan ini teruji apabila British cuba meleburkan kuasa tempatan melalui rancangan Malayan Union. Institusi Raja-Raja Melayu dan rakyat bangkit menentang, sehingga lahirlah Persekutuan Tanah Melayu. Daripada lipatan sejarah ini, model pemilihan Yamtuan Besar oleh Undang di Negeri Sembilan dijadikan asas kepada sistem Raja Berperlembagaan bergilir. Menerusi Majlis Raja-Raja, Malaysia melahirkan sistem takhta Yang di-Pertuan Agong secara unik di peringkat global.
Penentangan terhadap Malayan Union turut melahirkan satu lagi gerakan, iaitu PUTERA-AMCJA, yang menawarkan Perlembagaan Rakyat sebagai alternatif kepada rancangan British itu. Gabungan ini memperjuangkan bentuk persekutuan berbilang kaum dengan kewarganegaraan tunggal, iaitu ‘Melayu’. Hal ini membuktikan bahawa idea untuk bersekutu juga giat dibincangkan dalam kalangan rakyat.
Pada tahun 1963, projek Persekutuan Malaysia dijelmakan menerusi gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura. Walaupun Singapura berpisah daripada persekutuan dua tahun kemudian pada 1965, ia mengajarkan bahawa kelangsungan sesebuah persekutuan amat bergantung kepada keseimbangan kuasa dan permuafakatan yang berterusan. Jika direnung ke belakang, model persekutuan kita memang diuji dengan beberapa gerakan pemisahan seperti yang berlaku di Pulau Pinang, Johor dan juga Kelantan. Ia tidak sempurna, tetapi satu proses bagi ketiga-tiga entiti untuk terus hidup bersama.
Bagi penganalisis Tricia Yeoh1, persekutuan Malaysia berada di persimpangan antara dua konsep utama, iaitu coming together dan holding together. Pada peringkat permulaan, persekutuan lahir secara coming together, iaitu pelbagai entiti yang berautonomi bergabung secara sukarela demi keselamatan, tadbir urus, dan pasaran ekonomi bersama.
Namun, untuk mengurus pelbagai wilayah, etnik, dan budaya, Malaysia bergerak menjadi struktur holding together. Hakikatnya, Malaysia kini mempraktikkan asymmetric federalism (Federalisme Tidak Simetri), di mana jaminan autonomi khas diberikan kepada Sabah dan Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), manakala negeri-negeri di Semenanjung berdepan dengan pemusatan kuasa yang agak tinggi (minimalist federalism).
Realiti ini turut ditekankan oleh Yang Berhormat Gooi Hsiao Leung2, Pengerusi Jawatankuasa Khas Hubungan Negeri-Persekutuan Negeri Pulau Pinang. Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan, secara hakikatnya kuasa dan sumber berada di tangan pusat. Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, wujud tekanan dari pelbagai negeri seperti Selangor, Johor, Sabah, Sarawak dan juga Pulau Pinang, yang menuntut supaya kerajaan pusat berlaku lebih adil dalam pengagihan sumber negeri. Beliau percaya jika negeri menjadi kuat, maka Persekutuan Malaysia akan lebih kuat.
Stuart MacDonald3, Pengarah Teknikal Think City berpandangan bahawa sistem pemusatan melampau yang diamalkan di Malaysia telah menyebabkan negeri bergantung penuh kepada peruntukan kerajaan pusat. Ekosistem sedia ada menyebabkan autonomi kerajaan negeri disekat, menumpulkan inovasi dan juga merosakkan perancangan jangka masa panjang, sekali gus menyebabkan banyak kerajaan negeri menghadapi tekanan kewangan yang teruk. Beliau mencadangkan agar beberapa mekanisme pengagihan sumber kewangan negeri dan pusat disemak kembali, dengan mencontohi pengalaman pelbagai persekutuan lain. Contoh paling dekat ialah India, Mexico dan Brazil kerana ketiga-tiga negara ini berada sedikit di bawah Malaysia dari segi kadar pemusatan cukai.
Antara langkah yang dicadangkan ialah memanjangkan kerjasama erat negeri-persekutuan dalam hal kementerian boleh menurunkan kuasa dan peruntukan atau bekerjasama dalam sektor yang boleh dikendalikan dengan lebih berkesan di peringkat tempatan. Tambah beliau lagi, hal ini tidak memerlukan pemindaan perlembagaan secara drastik, tetapi boleh dijayakan dengan maksud kerajaan negeri melengkapkan hasrat kerajaan persekutuan. Contoh yang diberikan ialah kerajaan negeri Pulau Pinang boleh bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mengadaptasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi kehendak pasaran negeri.
Dengan dinamika ini, hubungan antara Kerajaan Pusat dan Negeri sepatutnya berteraskan semangat rakan kongsi, bukannya persaingan yang dicemari oleh ketegangan politik kepartian. Retorik pemisahan wilayah yang sering timbul akibat perbezaan pandangan seharusnya ditangani menerusi penghayatan semula cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu. Semangat persekutuan yang matang menuntut agar sebarang pertikaian tidak diselesaikan menerusi desakan sepihak, sebaliknya diimbangi di meja rundingan secara adil, saksama, dan ikhlas.
Semangat bersekutu ini juga menuntut masyarakat untuk melangkaui fahaman sempit kenegerian. Peribahasa Melayu yang berbunyi “cubit paha kanan, paha kiri terasa” jelas terbukti apabila setiap musibah atau bencana di sesebuah negeri sentiasa disambut dengan huluran bantuan oleh negeri-negeri lain tanpa mengira batasan geografi. Hakikat kebersamaan ini direalisasikan menerusi pergerakan ribuan anak negeri dari Semenanjung, Sabah, dan Sarawak yang menabur bakti di seluruh pelusuk negara, sama ada sebagai pendidik di sekolah pedalaman, tenaga perubatan di hospital daerah, mahupun penjawat awam di pusat pentadbiran.
Persekutuan Malaysia sememangnya tidak sempurna dan sentiasa diuji oleh zaman. Namun, kelangsungan ikatan ini bergantung kepada kehendak bersama untuk terus memperkukuh hubungan Pusat-Negeri menerusi kerangka tempatan yang segar, sambil mengambil iktibar daripada amalan persekutuan lain di dunia.



