
Penterjemahan merupakan kerja penting dalam perkembangan intelektual sesebuah masyarakat. Ia menghubungkan kita kepada pelbagai budaya, mempertemukan pelbagai pemikiran, dan menggerakkan manusia ke arah perubahan politik.
Di Pulau Pinang, kerja ini memiliki akar sejarahnya yang panjang. Kedudukan negeri ini strategik di Selat Melaka. Pada abad ke-19, Pulau Pinang menjadi pelabuhan bagi kapal-kapal dagang dari kepulauan Nusantara dan pelbagai benua lain di dunia bertemu. Sambil menunggu perubahan arah angin, para pedagang melabuhkan sauh mereka, kemudiannya berdagang. Namun, apa yang dijual beli tidak hanya barangan harian seperti rempah, kain dan seramik, tetapi juga seni, budaya dan sastera.
Dalam pertemuan masyarakat pedagang dari pelbagai budaya ini, Pulau Pinang berkembang menjadi sebuah tanah yang subur dan penting untuk kegiatan intelektual dan penterjemahan pelbagai karya penting dunia. Penterjemahan bukan sekadar berperanan membawa sesebuah karya dari satu bahasa ke dalam bahasa lain, tetapi turut membawa masuk dan mempertemukan pelbagai gagasan baharu. Melalui terjemahan, masyarakat tempatan berhubung dengan dunia yang lebih luas, di samping membicarakan tentang persoalan-persoalan yang dekat dengan kehidupan mereka.
Pada zaman penjajahan misalnya, ketika penglibatan politik secara langsung masih terbatas, kegiatan persuratan, khususnya terjemahan karya fiksyen, menjadi ruang untuk masyarakat menyampaikan gagasan dan mesej politik, tanpa perlu berhadapan secara langsung dengan pihak berkuasa. Pelbagai karya besar diterjemahkan bagi menampung keperluan masyarakat yang pada waktu itu sedang berhadapan dengan perubahan, baik dalam aspek agama, politik, ekonomi mahupun pendidikan.
Dalam lingkungan inilah pelbagai karya terjemahan di Pulau Pinang lahir, termasuk cerita detektif Melayu dan Cina, teks agama, puisi dan juga drama. Di sini kita mengenal Tan Beng Teck dengan karya terjemahannya, Chreta Dulu Kala Pasal Heng Guan Seo Chia (1889) dan Chan Kim Boon dengan karyanya, Kou Chey Thian pergi di negri Seh Thian C’hu Keng (Journey to the West) (1911–1913) dan Chrita da-hulu-kala pasal Kou Chey Thian man-gawal-kan Tong Thye Chu pergi di negri Seh Thian C’hu Keng (1911–1913).
Terjemahan, dalam konteks ini, tidak terjadi dengan sendirinya. Ia merupakan suatu penjelmaan kepada sesuatu yang sudah terbuku dalam hati masyarakat sesuatu zaman. Kerjanya penterjemah ialah memilih, menafsir dan membawa masuk sesuatu karya ke dalam lingkungan bahasa baharu.
Pada dekad 1930-an misalnya, teks agama yang progresif cukup masyhur, terutamanya karya-karya yang diterjemahkan oleh Kaum Muda. Pada tahun 1928, nasionalis Muslim dan cendekiawan kelahiran Pulau Pinang, Syed Sheikh Al-Hadi, menterjemahkan karya fiksyen detektif berjudul Cherita Rokambul dalam Jel dan di-Paris. Tidak lama kemudian, menyusul beberapa novel lain, seperti Cherita Rokambul dalam Siberia, Cherita-Cherita Sherlock Holmes, Cherita Rokambul dengan Puteri Russian yang ‘Asyik dan Cherita Rokambul dengan Taman Penglipur Lara.
Di tangan para penerbit dan penterjemah ini, karya-karya sebegini tidak hanya menjadi bahan bacaan, tetapi turut membuka ruang kepada suatu bentuk penyertaan politik. Hikayat Faridah Hanom, sebuah saduran daripada sebuah novel Mesir oleh Syed Sheikh Al-Hadi, misalnya, membicarakan tentang gagasan emansipasi wanita pada zamannya. Melalui novel ini, perdebatan tentang kedudukan wanita, termasuk kritikan terhadap golongan konservatif yang sering dikaitkan dengan kelompok Muslim tradisional seperti Kaum Tua turut menjadi mekar.
Namun demikian, selepas merdeka, Pulau Pinang semakin tenggelam sebagai salah sebuah pusat kegiatan persuratan, berikutan melebarnya kegiatan penerbitan dan kebudayaan ke kota-kota lain seperti Kuala Lumpur. Ramai tokoh yang pernah terlibat dengan dunia terjemahan semakin dilupakan, sehingga negeri ini perlahan-lahan kehilangan kekuatannya sebagai salah sebuah pusat persuratan utama.
Tetapi, sebagai sebuah kota yang kini dianggap sebagai sangat kosmopolitan, Pulau Pinang sudah cukup kuat untuk kembali menjadi pusat kegiatan terjemahan. Pertemuan manusia dari pelbagai pelosok dunia yang berterusan sejak dahulu menjadikan landskap bahasanya kaya dan pelbagai sehingga hari ini.
Kegiatan penterjemahan tidak semestinya hanya terjadi daripada bahasa-bahasa dunia ke dalam bahasa Melayu. Ia juga boleh terjadi sebaliknya, iaitu daripada bahasa Melayu ke dalam bahasa lain, atau antara bahasa-bahasa yang hidup dalam masyarakat itu sendiri. Karya dalam bahasa Melayu, Cina, Tamil dan bahasa-bahasa lain di rantau ini boleh saling bertemu melalui kegiatan penterjemahan. Dengan cara ini, Pulau Pinang mampu membawa masuk karya-karya dunia, malah membawa keluar karya-karya tempatan untuk sampai ke tangan pembaca yang lebih luas.
Hakikatnya, Pulau Pinang mempunyai pusat pengajian yang menawarkan program terjemahan, kelompok bahasa dan sastera, penulis, penterjemah, penerbit serta syarikat percetakan yang boleh memainkan peranan dalam membina semula ekosistem terjemahannya. Apa yang diperlukan ialah mempertemukan kembali unsur-unsur ini dan melihat terjemahan bukan sekadar kerja memindahkan bahasa, tetapi sebagai sebahagian daripada kehidupan intelektual negeri ini.
Usaha ini boleh dimulakan melalui program yang sederhana, tetapi berterusan, seperti bengkel penterjemahan, penerbitan karya terjemahan, pertemuan antara penulis dengan penterjemah, serta kerjasama antara universiti, penerbit dan organisasi kebudayaan. Lebih penting, ruang kepada generasi baharu penterjemah untuk mengenali sejarah terjemahan di Pulau Pinang perlu juga diberikan, di samping membina jaringan dengan dunia terjemahan serantau dan antarabangsa.
Jika dahulu pelabuhan Pulau Pinang menjadi tempat pertukaran barangan, bahasa, cerita dan gagasan dari pelbagai pelosok dunia, tidak mustahil Pulau Pinang sekali lagi boleh memainkan peranan yang sama pada hari ini.


