
“Ada baiknya kamu bicara dalam bahasa Indonesia saja. Jangan jawa, biar om itu tidak marah,” kata seorang teman, pada suatu hari. Sebagai seorang pendatang dari Jawa Timur, ke Jogjakarta dan berbicara dengan orang yang lebih tua, saya berusaha untuk beradab dengan menggunakan bahasa Jawa kromo—satu tahap bahasa Jawa yang lebih tinggi daripada Jawa ngoko.
Hidup di Bondowoso yang hampir saban hari berbicara dalam bahasa Madura yang setara sifatnya, saya jarang sekali perlu menggunakan bahasa Jawa kromo. Di kota kami, kesopanan boleh ditunjukkan dalam bahasa Indonesia, bahasa Jawa kromo atau bahasa Madura alos (halus). Bahasa Indonesia juga menunjukkan kelas, seolah-olah semakin berpendidikan seseorang itu, semakin baku dia berbicara.
Saya yakin bahawa tingkat-tingkat dalam bahasa Jawa wujud sebagai satu pengawal. Ia adalah bahasa yang dibentuk melalui pemerhatian yang cermat terhadap status, usia, dan jarak sosial. Dalam sistem tingkatan bahasa yang rumit—dari ngoko hingga kromo—ucapan tidak pernah neutral; berbicara bermaksud menempatkan diri dalam sebuah hierarki yang teratur rapi. Bahasa sememangnya memberikan akses berbeza dalam lingkaran sosial dan kehidupan sehari-hari—sama dengan apa yang terjadi dalam tradisi Jawa (dan Indonesia).
Tingkat dalam Bahasa
Tingkat dalam bahasa adalah senjata, sebagaimana Belanda pernah mencipta dan memelihara identiti diri dengan tidak mengajarkan bahasa Belanda secara meluas kepada masyarakat tanah jajahan. Hanya mereka yang memiliki keistimewaan, akses, dan kepentingan dengan pemerintah kolonial yang bebas untuk belajar. Sejak kebelakangan ini, ketika kesedaran tentang sebuah bangsa terbentuk, kaum terdidik di Indonesia mula menyebarkan bahasa Belanda melalui sekolah-sekolah rakyat yang mereka dirikan.
Tingkat dalam bahasa dicipta—atau dibentuk—untuk memelihara status quo. Seseorang yang lebih muda berbicara dalam bahasa kromo atau alos dengan orang yang lebih tua. Begitu juga dengan para pegawai di pejabat-pejabat kerajaan yang menggunakan singkatan sebagai kod. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, kaedah pertukaran maklumat, atau alat untuk bercakap; ia merupakan suatu peristiwa budaya yang dikendalikan dengan sangat serius.
Saya tidak dapat menentukan bila saya mula menyedari bahawa bahasa merupakan suatu produk perwakilan budaya—yang tidak jarang malah berasaskan kelas—sehingga perlu berusaha lebih untuk menempatkan diri ketika berbicara. Saya mengalami hal ini di Jakarta, ketika saya berusaha untuk beradab ketika berbicara dengan tuan rumah menggunakan gue-elu (dengan medhog). Tuan rumah itu akhirnya mengejek saya dengan kata-kata, “Lu ngomong Jawa aja, Dhan, nggak pantes gue elu”, lalu disambut dengan gelak ketawa.
Di Bondowoso, ketika saya berbicara dalam bahasa Madura, struktur dan kelas hampir tidak ada. Di Jakarta, kefasihan mengucapkan perkataan “Gue” dan “which is” boleh menjadi satu penanda kelas. Kawan-kawan yang mengejek cara saya menggunakan “Gue” sebenarnya bukan sedang mengejek saya, tetapi meminta saya untuk menjadi jujur dengan identiti diri dan tidak perlu menjadi “Jakartans” atau orang Jakarta untuk diterima. Setidak-tidaknya bagi saya, fenomena berusaha menjadi “Jakartans” secara tidak sedar itu adalah satu usaha untuk menjadi sopan, dengan menggunakan gaya berbual ala Jakarta bagi menghormati mereka.
Bahasa menjadi hal yang bercampur-aduk dalam kehidupan sehari-hari. Saya diminta berhenti berbicara dalam bahasa Jawa yang tidak kromo, sementara di Jakarta, saya diminta untuk tidak bicara dalam bahasa prokem atau bahasa basahan kerana medoknya loghat, sehingga membuatkan dialek Jakarta terasa janggal, seperti sisa makanan yang tersangkut di celah gigi. Hal inilah yang menjadikan bahasa tidak pernah neutral; ia memiliki nilai dan sering kali berpihak pada pihak yang lebih berkuasa.
Eufemisme Bahasa dan Politik
Dalam ruang awam, terutama di Indonesia, bahasa sering menjadi alat yang digunakan oleh penguasa untuk melakukan pembetulan dan pengawalan. Menurut Benedict Anderson dalam Language and Power: Exploring Political Cultures in Indonesia, Bahasa Indonesia merupakan produk perjuangan sebuah bangsa dan lahir sebagai bahasa revolusioner (Revolutionary Malay) yang bebas daripada kasta, setara, dan digunakan untuk menumbangkan penjajahan.
Ia juga menjadi rumah bagi pelbagai jargon, baik kata rakyat, perjuangan, merdeka, kedaulatan, sehinggalah kata bangsa. Semangat menggunakan bahasa sebagai jargon inilah yang berkembang dan menjadi landasan bagi penguasa untuk menjadikan bahasa sebagai komoditi. Anderson mengamati bagaimana pemerintah (khususnya birokrasi Orde Baru di bawah Soeharto) menyekat kemampuan radikal ini dengan menjajarkan Bahasa Indonesia bersama etos kekuasaan feudal Jawa.
Namun sayangnya, dalam politik moden hari ini, pemerintah mengambil alih bahasa Indonesia dan kemudian memasukkan unsur-unsur yang rupanya seperti nanah. Eufemisme birokratik, akronim dan jargon, sehinggalah gaya komunikasi ala tentera, seperti perkataan “siap” (atau “baik dalam bahasa Malaysia) ataupun frasa yang lembut, seperti “izin/mohon bertanya”. Pihak penguasa menggunakan kata-kata halus dengan canggih untuk menutup realiti yang keras. Sebagai contoh, perkataan diberantas/diamankan, penyesuaian harga, oknum, dan juga orang tidak dikenali. Hal ini meniru fungsi bahasa kromo yang menghindari pertentangan langsung demi menjaga ketenangan atau keselarasan.
Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), ungkapan yang lebih halus untuk menggantikan ungkapan yang dirasakan kasar, merugikan dan tidak menyenangkan dipanggil sebagai eufemisme. Secara amali, subjek yang keberatan, dirugikan, atau tidak senang selalunya bukan masyarakat umum, tetapi penguasa atau pemerintah. Mereka membudayakan eufemisme sebagai gaya komunikasi.
Saya bersetuju dengan pendapat Ariel Heryanto ketika dia menyatakan, “… bahasa tidak bersifat sejagat; Ia suatu fenomena yang mengungkapkan sejarah tertentu bagi sesebuah masyarakat.” Bahasa Indonesia yang lahir daripada semangat revolusi dan kemerdekaan dijinakkan dengan paripurna sehingga menjadi demikian rompong, sekaligus melenyapkan sifat setara dalam tersebut dengan menyuntikkan etos feudal dan semangat birokrasi yang rumit.
Pada hari ini, khayalan politik kita dipenuhi dengan jargon-jargon teknikal yang kosong semata-mata, dari istilah “kerja-kerja-kerja”, “generasi emas”, “teknologi berasaskan AI” sehinggalah kepada kata “gemoy”. Pada mulanya, hal ini dilihat sebagai antitesis kepada rumit Orde Baru, namun jika diteliti secara saksama, bahasa Indonesia direndahkan menjadi alat teknikal yang perlu mesra “gen-Z” dan dibersihkan dari konteks sosial-politik yang kritikal. Pada masa ini, terutamanya di hadapan media massa, pemerintah menggunakan istilah-istilah baharu untuk mengurangkan tanggungjawab moral dan politik.
Meskipun demikian, DNA culas pemerintah dalam memanfaatkan bahasa masih belum hilang. Mereka mengorbankan takrifan, menciptakan istilah baru, dan melepaskan diri daripada tanggungjawab undang-undang untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Sebagai contoh, ketika pemerintah berbicara tentang kemiskinan, mereka menggunakan istilah “pra-sejahtera” berbanding menyebut istilah “orang miskin”. Begitu juga ketika mereka menarik balik subsidi, mereka lebih suka menggunakan istilah “pengalihan keutamaan”.
Kemampuan penguasa untuk mentakrifkan realiti melalui eufemisme—seperti yang disebut oleh Benedict Anderson—merupakan pintu masuk kepada kehancuran daya fikir kritikal masyarakat. Ketika pemerintah mengawal penuh takrifan “kebenaran” dan “realiti”, kita akhirnya tiba pada keadaan yang disebutkan oleh Hannah Arendt: “Rakyat bagi sesebuah pemerintahan kuku besi yang ideal bukanlah para pengikut totok Nazi mahupun Komunis, tetapi mereka yang sudah tidak tahu membezakan antara fakta dan auta”.
Cara Penguasa Menggunakan Bahasa
Pemerintah juga dengan cekap melakukan pengawalan, pembetulan dan pelembutan tindakan-tindakan keras. Kata-kata seperti “penindakan/mengambil tindakan”, “tegas dan terukur”, serta “pengamanan” menjadi langgam yang kita temui sehari-hari di media. Alat negara seperti tentera mahupun polis, menggunakan istilah teknikal ini untuk melancarkan tindakan mereka terutamanya jika objek yang ditindas adalah masyarakat.
Kata-kata seperti pengamanan dan penindakan merupakan salah satu usaha pemerintah untuk melemahkan makna sesuatu peristiwa. Dalam demonstrasi, misalnya, pengamanan merupakan satu usaha untuk menghalang demonstran daripada menyampaikan aspirasi masyarakat. Penindakan pula merupakan pengungkapan dan tindakan kekerasan yang selalunya tidak memiliki akibat. Penggunaan kata seperti ini sudah menjadi realiti sehari-hari yang hampir tidak pernah dinilai oleh sesiapa pun dan masyarakat pula diminta untuk penerimanya sebagai lumrah.
Tidak ada perkataan yang paling saya benci dalam kamus bahasa Indonesia, selain perkataan kebijakan (dasar) yang merujuk kepada perkataan policy dalam bahasa Inggeris. Dalam sejarah politik Indonesia, kebijakan atau dasar adalah eufemisme untuk melemahkan tadbir urus pemerintahan. Setiap peraturan yang dibuat seolah-olah merupakan produk musyawarah dan penaakulan para wakil rakyat dan pegawai kerajaan.
Manipulasi bahasa oleh pihak penguasa bukan sekadar telah mengaburkan komunikasi, tetapi secara aktif merosakkan struktur penaakulan masyarakat. Melalui kaca mata Ariel Heryanto mengenai bahasa pembangunanisme, penguasa secara sistematis mendisiplinkan bahasa agar keteraturan yang semu tetap terjaga. Akibatnya, berlakukan kekacauan makna secara besar-besaran: kata-kata yang awalnya mengandungi nilai positif, kini mengalami perompakan makna demi menutupi realiti kekerasan.
Eufemisme birokratik seperti istilah “diamankan” dicipta untuk menggantikan kata “ditangkap” agar terdengar lebih ramah dan tertib. Hakikatnya, realiti yang dialami masyarakat sering kali adalah ugutan, penyeksaan, sehinggalah kematian dalam tahanan yang kerap terjadi sejak kebelakangan ini. Dalam kes kematian Affan Kurniawan misalnya, pihak pemerintah menggunakan istilah “terlindas” (digelek secara tidak sengaja), bukannya “alih-alih dilindas”. Akibat daripada dua perkataan itu menyiratkan tanggung jawab, dan pihak polis menolak menerima getahnya.
Bahasa kini tidak lagi sekadar produk komunikasi individu. Ia dikawal dan ditapis agar mampu memenuhi kepentingan penguasa. Hanya dengan memahami cara kerja watak pemerintah yang menekan barulah kita boleh menemui makna yang jernih bagi setiap jargon dan istilah baru. Di sini, masyarakat yang celik tidak hanya memahami maksud sesebuah perkataan, tetapi boleh mengenali pola dan juga konteks sebuah peristiwa bahasa.
Khayalan bahasa kita juga perlu dikembangkan dengan banyak membaca dan berfikir. Ketika media sosial menjadi wadah pembusukan otak (brain rot), kita perlu mengambil jeda dan berhenti menelan produk audiovisual secara membabi buta. Hanya dengan benar-benar berfikir secara kritis dan membaca secara serius, barulah kita dapat diselamatkan daripada propaganda bahasa dan akrobatik istilah yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
Arman Dhani ialah seorang penulis dari Yogyakarta, Indonesia. Antara novel yang pernah beliau terbitkan termasuk, Usaha Mencintai Hidup, eminus dolere, yang difilemkan pada tahun 2023 dengan judul Panduan Mempersiapkan Perpisahan, serta 30 Tahun dan Gagal.



