
Saya selalu bermasalah dengan kata majlis, upacara, istiadat, dan apa sahaja kata yang sejenisnya. Ada semacam rasa hampa, pasrah dan lelah yang melampau setiap kali salah satu daripada kata itu terdengar di telinga, itu belum lagi mengalaminya sendiri. Apa yang terbayang di kepala saya ialah saya sedang duduk di suatu ruang kosong yang tidak dikenali, tidak lagi mampu mengenal waktu, dan dipaksa menonton suatu paparan yang diulang tayang tanpa henti pada dindingnya. Mungkin sama seperti nasib Alex dalam filem A Clockwork Orange (1971), yang terikat pada kerusi di sebuah bilik tayangan dan dipaksa menonton video-video yang menggerunkan.
Kata majlis, upacara dan istiadat melemparkan saya kepada imej-imej kemeriahan dengan segala perhiasan dan bunga manggarnya, kerusi yang disusun mengikut taraf tetamu, orang ramai duduk menunggu, dan terus menunggu ketibaan wakil rakyat untuk menyampaikan sepatah dua kata lalu memotong reben, sebelum kerja yang sebenar-benarnya dapat diteruskan. Dengan kata lain, majlis, upacara dan istiadat mengingatkan saya kepada masa dan wang yang dihabiskan dengan sia-sia. Membazir.
Tetapi, sebagai makhluk sosial, manusia tentunya tidak dapat lari daripada melalui segala macam majlis dan upacara dalam hidupnya, baik sejak lahir, berkahwin, sehinggalah menemui ajal. Kita mengadakan apa sahaja upacara sebagai penanda kepada peristiwa dan peralihan dalam kehidupan. Ia diadakan untuk meraikan, menghormati atau memperingati seseorang, malah untuk menolak bala atau memohon keberkatan.
Orang Melayu, misalnya, melakukan upacara mencukur jambul pada peringkat awal kehidupan bayi. Atau orang Rawa di Perak dengan adat berjojak, iaitu upacara menjejakkan kaki bayi buat pertama kali ke tanah setelah setahun berpantang tanah. Dan begitulah seterusnya, daripada kelahiran kepada perkahwinan sehinggalah kematian. Upacara menjadi cara untuk masyarakat memberikan makna kepada pengalaman peribadi manusia.
Namun, untuk menganggap bahawa upacara sekadar mengatur cara kita hidup bermasyarakat semestinya tidak memadai. Pada sisi lain, upacara juga mampu menentukan cara kita memerintah dan diperintah; siapa yang berada di atas, di tengah, ataupun di bawah. Pendek kata, upacara adalah hal ehwal politik.
Lihat kehidupan politik masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Dalam Kerajaan: Malay Political Culture on the Eve of Colonial Rule (1982) karya Anthony Milner, kita akan memahami bahawa upacara tidak semestinya hadir dalam bentuk tampak seperti majlis keramaian di balai rakyat mahupun istana. Ia juga boleh wujud dalam bentuk yang lebih tersembunyi, iaitu melalui cara kita bertutur, gerak tubuh kita, dan bagaimana kita bertemu orang pada setiap hari. Milner menyebutnya sebagai “keupacaraan” untuk menjelaskan bagaimana kehidupan politik orang Melayu, termasuk hubungannya dengan pemimpin, sejak dahulu lagi didasari oleh hal-hal yang bersifat upacara.
Di sini, majlis, upacara dan istiadat menjadi lebih dari sekadar kegiatan rasmi sesama masyarakat, tetapi sebagai sebuah alat kekuasaan antara dia dengan pemimpinnya.
Dengan meneliti Hikayat Pahang, Milner menjelaskan bahawa dalam kehidupan politik masyarakat Melayu, seseorang pemimpin atau raja tidak selalunya mengukur sebesar mana kuasanya melalui betapa luas wilayah atau kemewahan yang dimiliki, tetapi melalui keupayaannya untuk mendapat seramai mungkin rakyat dan pengikut. Dari situ, hubungan dan kedudukan antara raja dengan rakyat menjadi sangat penting. Hal ini jelas melalui cara rakyat berbicara dengannya, mendekatinya, duduk di hadapannya, menyebut namanya, atau bahkan melalui larangan-larangan tertentu yang membezakan dirinya daripada orang kebanyakan.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa kekuasaan raja-raja Melayu hanya bergantung pada upacara dan istiadat. Dalam sejarah kerajaan Melayu, pakatan politik, hubungan kekeluargaan, jaringan perdagangan, penguasaan sumber ekonomi, kekuatan ketenteraan dan hubungan diplomatik antara kerajaan turut memainkan peranan pentingnya. Hal ini terbukti ketika raja yang masih memiliki segala alat kebesaran dan gelaran, tetapi kehilangan kuasa dan kewibawaan apabila sokongan pembesar, pengikut atau sekutunya hilang.
Sememangnya upacara tidak dapat sepenuhnya menggantikan kekuatan politik yang sebenar. Namun, ia mampu memperlihatkan kuasa sebagai suatu kedudukan yang teratur, berterusan dan perlu ditaati rakyat.
Politik moden hari ini juga tidak dapat lari daripada upacara dan istiadat. Malah, dalam sesetengah keadaan, sifat-sifat keupacaraan semakin menonjol sebagai salah satu cara untuk memungkinkan kedudukan dan kewibawaan seseorang pemimpin. Walaupun sumber keabsahan politiknya sudah berubah, kekuasaan tetap perlu diperlihatkan.
Ahli politik mungkin tidak lagi memerlukan alat kebesaran diraja untuk memerintah, tetapi masih memerlukan pelbagai upacara, majlis angkat sumpah, majlis pelantikan, majlis penyerahan watikah, majlis perasmian, majlis pecah tanah, majlis pelancaran dasar, majlis penyampaian sumbangan dan majlis penghargaan untuk menjadikan kedudukan mereka terus kelihatan penting. Malah, setiap satunya mempunyai aturan, bahasa, susunan tempat duduk dan bentuk penghormatan yang tersendiri.
Namun, apabila upacara tidak lagi menjadi cara untuk memberikan makna kepada sesuatu tindakan, tetapi menggantikan tindakan itu sendiri, maka masalah akan timbul. Ketika perasmian menjadi lebih penting daripada apa yang dirasmikan dan ketibaan pemimpin lebih diutamakan daripada manfaat yang diperoleh masyarakat, maka upacara tidak lagi menjadi suatu bentuk pengiktirafan, tetapi menghendakkan pengiktirafan itu sendiri, tanpa perlu membuktikan sebarang pencapaian.
Dengan kata lain, apabila pemerintahan sudah tidak berkesan, janji politik tidak tertunai, atau keyakinan rakyat semakin merosot, melaksanakan gimik peluncuran mungkin menjadi senjata terakhir untuk mengekalkan kekuasaan.



