Malaysia terkenal dengan kepelbagaian agama dan budaya. Seiring dengan itu, ia juga membawa kepada pelbagai jenis kepercayaan dan adat. Kepelbagaian ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik membentuk masyarakat majmuk yang hidup bersatu padu, kaya dengan adat resam yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.
Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India, di mana Melayu merupakan kaum terbesar. Kaum berbangsa Melayu beragama Islam, berbahasa Melayu serta mengamalkan budaya Melayu. Seterusnya kaum berbangsa Cina pula ada di antara mereka yang beragama Buddha, Taoisme atau Kristian. Mereka berhubung dengan menggunakan bahasa Mandarin, Hokkien, Hakka, Kantonis atau Teochew. Manakala kaum minoriti pula berbangsa India, beragama Hindu, mengamalkan pelbagai jenis bahasa untuk berhubung seperti Tamil, Malayalam, dan Hindi. Begitu juga dengan kaum Sikh, Serani dan lain-lain yang mengamalkan bahasa, budaya dan adat resam yang berbeda.
Dengan wujudnya kepelbagaian kaum di Malaysia, adalah amat penting untuk menekankan betapa pentingnya bagi seluruh masyarakat Malaysia untuk menghormati perbedaan latar belakang, identiti dan juga budaya setiap kaum bagi mengelakkan diskriminasi dan stereotaip. Ini juga satu langkah penting bagi mengelakkan berulangnya insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969, di mana banyak nyawa telah terkorban. Insiden berdarah ini juga menjadi asbab budaya tolak-ansur dan saling menghormati amat diperlukan dalam memastikan konsep perpaduan kekal terjalin, dan menghindarkan diri dari anasir-anasir yang mampu menjurus kepada rusuhan ataupun kebencian.
Menghormati perbedaan agama dan kaum adalah sebahagian daripada perlindungan hak asasi manusia. Kita patut rasa bangga kerana setakat ini kita telah berjaya memupuk dan mengekalkan kesejahteraan sosial. Setiap individu diiktiraf tanpa perlu menilai kepercayaan yang dipegang dan warna kulit. Setiap tahun pelbagai jenis perayaan diraikan mengikut agama masing-masing dan sikap muhibah setiap kaum apabila mereka saling mengunjungi antara satu sama lain, tanpa mengira kepelbagaian agama dan ras. Apatah lagi sedari dulu lagi wujudnya perkahwinan campur antara kita rata-rata dari utara semenanjung hinggalah ke Sabah dan Sarawak memperkayakan lagi kepelbagaian kaum dan agama antara kita. Penghargaan terhadap
kepelbagaian inilah yang menjadi asas yang penting dalam memperkukuhkan persefahaman dan kasih sayang sesama kita.
Selain daripada itu, menghormati perbedaan agama dan kaum di Malaysia juga penting kerana ia adalah sebahagian daripada perlindungan hak asasi manusia.
Setiap individu bebas memilih dan mempraktikkan jenis agama dan kepercayaan tanpa sebarang diskriminasi atau penindasan. Ini termasuklah usaha membangunkan tempat beribadah, merayakan hari-hari keagamaan dan juga menjalankan ibadah yang sesuai dengan kepercayaan masing-masing. Sebagai contoh, rakyat di Malaysia sedia maklum bahawa Jumaat adalah hari semua umat Islam (lelaki) akan bersolat Jumaat di masjid untuk beribadah, dan kelonggaran masa hendaklah diberikan kepada mereka yang bekerja pada hari tersebut.
Sistem pentadbiran negara juga secara langsung melihat penerapan nilai-nilai yang telah sekian lama dipraktikkan ini sebagai penyumbang kepada perpaduan dalam kepelbagaian budaya di Malaysia. Misalnya Dasar Penerapan 11 Nilai-nilai Islam seperti amanah, tanggungjawab, ikhlas, dedikasi, sederhana, tekun, bersih, kerjasama, berbudi mulia, berdisiplin dan bersyukur telah lama dipraktikkan dalam pentadbiran di Malaysia tanpa mengetepikan agama-agama yang lain.
Pengamalan nilai-nilai Islam ini dapat diterima oleh semua rakyat sebagai asas penting dalam usaha ke arah membentuk identiti dan perpaduan kaum yang seterusnya memberi impak yang positif kepada ekonomi negara. Perkongsian nilai-nilai seperti inilah menjadikan Malaysia sebagai negara yang unik; kaya dengan warisan budaya yang mempunyai pelbagai tradisi, bahasa, makanan, pesta keraian dan perayaan. Ramai pelancong yang berminat untuk menerokai keunikan budaya di Malaysia, dan ini memberi peluang untuk Malaysia lebih terkenal di persada dunia. Contohnya negeri Melaka yang sering dilawati para pelancong tempatan mahupun luar, di mana ia merupakan warisan dunia UNESCO yang mempunyai pengaruh budaya dari Portugis, Belanda, Inggeris dan Peranakan.
Melihat kepada perpaduan dan keharmonian yang telah Malaysia kecapi selama ini, adalah penting untuk kita mengekalkannya untuk masa-masa yang akan datang. Generasi anak-anak muda harus diterapkan asas kewujudan pelbagai etnik di Malaysia berasaskan sejarah pembentukan negara Malaysia selain digalakkan untuk mencebur diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang mempromosikan keanekaragaman budaya dan agama. Ini dapat memberi pendedahan dan kefahaman tentang budaya dan kepercayaan yang wujud di kalangan pelbagai kaum di Malaysia.
Selain itu, perbincangan terbuka berupa dialog yang lebih konstruktif mungkin boleh diadakan untuk meningkatkan kefahaman serta membangunkan hubungan yang saling menghormati. Ini sekurang-kurangnya mampu membuka minda individu tentang keunikan agama dan kaum yang lain-lain. Walaupun begitu, aktiviti ini harus dipantau sewajarnya bagi mengelakkan pencangahan pendapat yang mampu mendorong kepada pergaduhan.
Akhir sekali, kepelbagaian agama dan budaya di Malaysia harus dilihat sebagai keunikan yang harus dijaga untuk memelihara kesejahteraan sosial, kestabilan politik, dan pembangunan ekonomi. Oleh yang demikian, amatlah penting bagi setiap kaum dan bangsa untuk mengambil tanggung jawab masing-masing dalam memperkukuhkan sikap saling menghormati dan toleransi, dalam usaha menjadikan Malaysia mampu berdaya saing dengan negara-negara lain. Pemimpin juga harus menggalas amanah yang dimandatkan dengan sentiasa membentuk suasana yang harmoni dan saling menyayangi antara satu sama lain, walaupun setiap individu mempunyai kepercayaan agama yang berbeza.
Hazlina merupakan Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Inti. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau juga menjadi tutor sambilan, selain gemar berkongsi dan bertukar-tukar ilmu kepakaran dan pengetahuan dengan orang lain.