Liga bola sepak di Malaysia yang akan membuka tirai pada Mei 2024. Tetapi, belum lagi liga bermula, isu gaji pemain-pemain dalam liga Malaysia masih belum selesai. Ada pemain yang sudah sembilan bulan gaji tertunggak. Kenapa isu gaji masih belum selesai walaupun liga profesional di Malaysia telah bermula sejak tahun 1993. Kenapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan bermacam lagi persatuan untuk pemain bola sepak di Malaysia contoh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bertindak acuh tidak acuh dalam isu gaji di kalangan pemain. Bukankah PFAM adalah persatuan untuk membela kebajikan para pemain?
Sebagai contoh pemain Penang FC yang baru, Ahmad Khairil Anuar atau lebih dikenali sebagai Beto juga tidak terlepas dengan isu terbabit ketika di Sarawak United dan Kelantan FC. Kata beliau di media sosial, “Sarawak United FC 9, 10, 11. Kelantan FC 9, 10, 11, 12. Saja beritahu, takut nanti lupa, jumlah 7 bulan bermain tanpa mendapat gaji. Kelab Kelantan FC 3 bulan gaji pemain masih tertunggak.” Pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham mengambil inisiatif membayar RM1000 sebagai wang pendahuluan untuk tunggakan gaji para pemain. Meskipun begitu, salah seorang tonggak Kelantan FC, Khairul Helmi meluahkan rasa tidak puas hatinya selepas kenyataan yang dimaklumkan oleh Zamsaham itu. “Itu pun 20 orang saja dapat, siapa cepat pula tu, kena bersyukur pula tu, saya tak dapat pun,” sindirnya di Facebook. Apa tindakan yang sepatutnya diambil?
Perkara paling penting adalah, sesebuah kelab perlu utamakan “poket kelab.” Sesebuah kelab perlu merancang perbelanjaan mengikut kemampuan “poket” kelab sendiri bukan “poket” kelab lain. Membuat perancangan awal juga penting untuk menstabilkan kedudukan kewangan kelab. Misalnya, bahagian pemasaran perlu membuat kerja yang lebih untuk menarik minat penaja. Kestabilan kewangan kelab adalah penting untuk memastikan bukan sahaja gaji tidak tertunggak tetapi kebajikan para pemain juga terjamin. Sebagai contoh, jika bajet kelab adalah RM500 ribu, maka berbelanjalah sekurang- kurangnya RM400 ribu dan bakinya dibelanjakan pada waktu kecemasan.
Tidak semua pasukan bola di Malaysia mempunyai peruntukan dan penaja yang besar. Sebab itu penting untuk berbelanja mengikut kemampuan. Memadailah dengan mengambil seorang atau dua orang saja pemain import walaupun peraturan liga Malaysia membenarkan sesebuah pasukan mendapatkan sehingga 10 pemain import.
Tindakan yang lebih tegas juga perlu dikenakan ke atas kelab yang gagal membayar gaji pemain, bukan sekadar memotong mata liga ke atas kelab yang gagal membayar gaji pemain. Tindakan menarik balik lesen kelab merupakan suatu tindakan yang berkesan. Akan tetapi, selepas lesen sesebuah kelab itu ditarik, kelab serta pemilik kelab tersebut tidak boleh lepas tangan. Persatuan bola sepak juga perlu terus menyenaraihitamkan individu terbabit daripada terlibat dalam hal ehwal bola sepak sehingga mereka melunaskan tanggungjawab mereka. Apabila ada masalah gaji, ada sesetengah kelab yang mengambil jalan mudah dengan membubarkan kelab, pemilik kelab letak jawatan, menukar logo dan nama kelab, dan kemudiannya mendaftarkan nama kelab baru untuk bermain di liga Malaysia. Perkara ini tidak seharusnya berlaku.
Kita perlu ingat bahawa para pemain juga manusia biasa. Mereka juga makan gaji seperti orang lain. Mereka juga punya keluarga dan tanggungjawab lain yang perlu dilangsaikan. Gaji perlu dibayar dan tidak ada seorang pun di dunia ini yang akan membuat kerja secara percuma. Pihak pengurusan kelab seharusnya tidak melakukan kerja “bagai melepaskan batuk di tangga.”
Para pemain sudah melakukan kerja mereka, menang atau kalah sebuah pasukan dalam permainan janganlah jadikan ia sebagai alasan untuk tidak membayar gaji. Jika pasukan kita kalah, kita sebagai pemilik kelab perlu membuat “post mortem” untuk mengembalikan kemenangan buat pasukan. Saya percaya jika kebajikan dan gaji seorang pemain dibayar dengan baik, pemain akan berikan 110% atau lebih bila mereka berada di atas padang.
Sesebuah kelab perlu ada rasa tanggungjawab untuk menjaga kebajikan para pemain. Bak kata slogan Astro, “Liga Kita Wajah Kita.” Apa yang berlaku bukan sahaja mencerminkan kedudukan kelab tetapi juga akan mencemarkan nama liga kita di mata pihak luar. Akhir sekali, berilah peluang yang lebih untuk anak muda Malaysia bermain dan tunjukkan bakat mereka dalam liga dan jangan terlalu mengharapkan pada pemain import sahaja. Saya percaya di Malaysia ada ramai anak muda yang hampir atau setaraf bakat mereka dengan pemain import tetapi tidak diberi peluang untuk beraksi.
Aizat Nazarry Rosli bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Penang Institute. Beliau adalah lulusan Diploma Eksekutif dalam Program Kepimpinan Global. Di waktu lapang, beliau gemar membaca isu semasa selain menjadi pencinta setia bola sepak tanah air.