Sumber imej: Copyright: ingusk
BIARPUN sudah lama berlalu, ingatan terhadap zaman kanak-kanak masih jelas di kepala. Sewaktu kecil, hidup saya dikelilingi oleh hijau hutan belantara, jauh daripada hiruk-pikuk bandar. Setiap hujung minggu, ayah akan membawa kami adik-beradik ke sungai atau air terjun di celah-celah hutan dan bukit. Ayah selalunya membersihkan kereta pacuan empat rodanya di sungai cetek, dan saya mengambil kesempatan untuk bermandi-manda. Rasa nikmat ketika merebahkan badan ke dalam sungai hadir ketika kita mampu memandang ke langit, melihat lapisan pokok-pokok hutan.
Menjadi dewasa, pengalaman sedemikian semakin menjauh. Kerana sibuk dengan pelbagai tugasan, peluang untuk melihat dan merenung kehijauan semakin langka. Namun, itu lumrahnya tinggal di bandar, kita tidak lagi berdamping dengan hutan tetapi gedung-gedung konkrit pencakar langit. Perubahan ini sangat menyedarkan saya akan kepentingan kehijauan dalam kehidupan. Saya bertuah kerana dapat menikmati zaman kanak-kanak yang dikelilingi kehijauan alam semula jadi, sebuah kenikmatan yang jarang dimiliki oleh rata-rata penghuni bandar.
Ruang Hijau dan Perbandaran
Pada hari ini, banyak tempat di dunia sedang mengalami proses pembandaran yang pesat. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah penduduk dunia yang tinggal di kawasan bandar kini telah meningkat sebanyak dua kali ganda daripada 25% pada tahun 1950 kepada 50% pada tahun 2020. Paratusan ini dijangkakan akan meningkat kepada 58% pada 50 tahun akan datang. Di Semenanjung Malaysia, penduduk yang kini tinggal di bandar mencatatkan angka sebanyak 80 peratus. Pulau Pinang adalah antara negeri yang mencatat peratusan yang tertinggi.
Pertumbuhan yang pesat ini didorong oleh pelbagai faktor, khususnya dasar pembangunan bandar yang telah digariskan bagi menyokong perkembangan ekonomi. Namun begitu, impak pembangunan terhadap alam sekitar yang semakin serius perlu juga diberi perhatian. Penurunan peratusan ruang hijau bandar, terutamanya di kawasan bandar besar perlu diketengahkan sebelum kelestarian sesebuah bandar menjadi semakin terancam.
Setelah menceburi bidang perancangan bandar, saya dapat melihat kepentingan kehijauan dalam kehidupan manusia dengan lebih terperinci dan dapat memahami kepentingan tersebut dengan lebih saintifik. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), “Infrastruktur Hijau” memainkan peranan penting dalam sesebuah bandar. Ia menyediakan persekitaran yang baik untuk menjamin kesihatan semua ahli masyarakat bandar.
Kepentingan ruang hijau bandar dalam sesebuah bandar merangkumi tiga aspek utama iaitu persekitaran, ekonomi dan estetik, serta sosial dan psikologi. Dari segi persekitaran, ruang hijau bandar membantu dalam mengawal iklim bandar dengan menurunkan suhu persekitaran dan mengurangkan fenomena pulau haba di dalam bandar. Ia juga membantu dalam mengawal pencemaran udara dengan berfungsi sebagai penapis udara semulajadi serta menyerap gas rumah hijau. Disebabkan permukaan ruang hijau bandar yang bertekstur dan tidak reflektif seperti konkrit bangunan, ia dapat mengurangkan pencemaran bunyi. Paling utama, ruang hijau bandar bertindak sebagai rizab alam semulajadi dan biodiversiti.
Ruang hijau bandar juga adalah penyumbang baik kepada aspek ekonomi. Ia telah terbukti dapat mengurangkan kos tenaga untuk menyejukkan bangunan. Ia berfungsi sebagai penebat haba dan sekaligus mengurangkan kesan karbon terhadap bumi. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa dengan adanya ruang hijau bandar, nilai estetik sesebuah bandar juga akan meningkat. Ia juga dilihat sebagai nilai tambah kepada sesebuah kawasan. Nilai hartanah yang mempunyai ruang hijau bandar adalah lebih tinggi dan dapat menarik perhatian para pelabur.
Dari segi sosial dan psikologi, ruang hijau bandar adalah penting dalam menghubungkan manusia dengan alam. Ia berfungsi sebagai ruang untuk berekreasi yang penting kepada kesejahteraan penghuni bandar seterusnya dapat mengurangkan tekanan dan membantu dalam meningkatkan kesihatan mental fizikal.
Menuju Kelestarian
Hubung kait yang jelas antara ruang hijau bandar dan kehidupan manusia dan bagaimana ruang hijau bandar dapat menyumbang kepada kelestarian sesebuah bandar telah digariskan oleh PBB dalam Sustainable Development Goals (SDGs). Ia menjadi panduan bagi sesebuah negara untuk melihat sejauh mana usaha yang telah dilakukan dan mengenal pasti usaha penyediaan ruang hijau bandar dapat dilakukan dengan secukupnya dan selari dengan usaha-usaha lain bagi menjamin kelestarian.
Ruang hijau bandar menyentuh tiga matlamat utama iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik—dengan menyediakan ruang untuk individu menjadi dinamik, Tenaga Mampu Milik dan Bersih—dengan menurunkan suhu bandar dan menyumbang kepada bandar yang lebih cekap tenaga dengan menyejukkan udara, memberi teduhan, dan menahan daripada bahan pencemar udara, serta Bandar dan Komuniti Mampan—dengan menyediakan capaian kepada ruang hijau bandar yang selamat dan inklusif, khususnya kepada wanita, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya.
Central Park di New York, Amerika Syarikat adalah salah satu contoh ruang hijau bandar yang sangat berjaya, baik dari segi idea, perancangan, dan teknik yang digunakan bagi kategori taman buatan. Bukan itu sahaja, ruang hijau bandar yang berkeluasan 843 ekar itu masih utuh dan digunakan oleh orang ramai hingga kini sejak ianya rasmi dibuka pada tahun 1876. Perkara paling mengagumkan saya tentang Central Park ini adalah alasan di sebalik tercetusnya idea untuk membina ruang hijau bandar buatan. Ia diwujudkan untuk menampung peningkatan proses pembandaran yang ketara di New York pada tahun 1840-an.
Para penduduk juga menyambut baik idea tersebut dan kerjasama yang baik dapat dilihat antara kerajaan dan tuan-tuan tanah hingga terciptanya salah satu taman terawal di Amerika yang menggunakan teknik seni bina landskap. Pada masa itu, pembinaan Central Park mungkin hanya ingin menyelesaikan masalah kekurangan ruang hijau bandar yang dihadapi. Tapi, usaha tersebut secara tidak langsung menjadi satu contoh bagi negara-negara lain di dunia bahawa penyediaan ruang hijau bandar yang besar di tengah bandar adalah satu usaha yang tidak mustahil dan sangat penting dalam meningkatkan kualiti hidup dan menjamin kelestarian bandar New York.
Penyediaan ruang hijau bandar yang mencukupi dan memastikan ia sentiasa terpelihara bukan terletak pada perancangan sesebuah bandar sahaja. Ia perlu diterjemahkan dengan lebih jelas dalam dasar-dasar pembangunan agar ruang hijau bandar tidak dianggap sebagai ruang tambahan untuk pembangunan, tetapi sebagai ruang khas yang wujud dan penting untuk memelihara sistem ekologi bandar.
Dr. Syafiqah Nazurah Mukhtar merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Warisan dan Bandar di Penang Institute. Beliau sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD dalam bidang Perancangan Luar Bandar dan Alam Sekitar.