Kuasa lunak bermaksud kemampuan sesebuah negara dalam mempengaruhi pilihan dan tingkah laku pelbagai aktor di arena antarabangsa, bukan secara paksaan, tetapi melalui pujukan dan daya tarikan. Joseph Nye, sarjana sains politik dari Harvard University memberikan contoh yang lebih mudah dalam menerangkan tentang dinamik politik semasa. Menurut beliau, “cerita siapa yang menang” adalah lebih penting daripada “tentera siapa yang menang.” Dalam menggunakan kuasa lunak, negara menggunakan pengaruhnya pada peringkat serantau dan global melalui pendekatan diplomasi berbanding dengan kuasa keras, iaitu ketenteraan. Melalui pendekatan kuasa lunak, hubungan dua hala antara negara dapat diperkukuhkan.
Dalam konteks semasa, antara negara baru yang berjaya memanfaatkan kuasa lunak adalah Korea Selatan. Melalui gelombang Hallyu, industri drama, filem, dan seni Korea Selatan seperti K-Pop, BTS, drama Squid Game, dan juga lagu Gangnam Style telah berjaya sampai ke layar televisyen masyarakat dunia. Dengan pendedahan yang berterusan terhadap drama dan filem Korea Selatan, minat terhadap makanan Korea seperti Kimchi, dan Ramyeon juga bercambah.
Malaysia juga sebenarnya sedang bergerak ke arah yang sama. Walaupun masih lagi baru, industri animasi tempatan sudah mula menunjukkan taringnya. Siri animasi seperti Upin & Ipin , Boboiboy dan Ejen Ali menjadi bukti bagaimana animasi boleh menjadi medium diplomasi yang berkesan, sekaligus dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada penonton antarabangsa.
Industri animasi Malaysia setakat ini berjaya mendapat tempat di hati peminat dalam negara serta dari negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, dan Vietnam. Ia tidak hanya menjadi hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai alat untuk mempromosikan nilai dan budaya negara. Filem animasi Malaysia bukan setakat diikuti oleh golongan kanak-kanak, bahkan golongan remaja dan dewasa. Upin & Ipin misalnya mempromosikan nilai-nilai murni seperti persahabatan, kekeluargaan, dan keharmonian antara kaum. Sebagai contoh, ada episod yang memaparkan sambutan hari Raya Aidilfitri, yang bukan sahaja menonjolkan tradisi masyarakat Islam, tetapi juga memaparkan amalan kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Secara tidak langsung, hal ini dapat memaparkan sisi Malaysia yang unik dengan citra perpaduan dalam kepelbagaian.
Selain itu, Malaysia turut mengorak langkah lebih jauh dalam kalangan negara Islam apabila turut mempunyai siri animasi Omar & Hana yang memperkenalkan kandungan Islami, sesuai untuk perkembangan anak-anak. Siri animasi ini mengajar nilai-nilai Islam seperti hormat kepada ibu bapa, berbuat baik kepada orang sekeliling dan juga berlaku adil sesama manusia. Animasi ini juga telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya dari Timur Tengah dan juga masyarakat Islam di serata dunia. Kejayaan animasi Omar & Hana melonjakkan lagi kedudukan Malaysia dengan menyampaikan mesej Islam yang sederhana kepada masyarakat global. Hal ini secara tidak langsung dapat mempamerkan sisi kefahaman Islam Malaysia yang bersifat moderat dan dalam masa yang sama merangkul kemajuan dan kemodenan.
Nizam Razak, penerbit siri BoboiBoy juga telah mengeluarkan sebuah filem animasi bertajuk Mechamato dengan menyuntik unsur-unsur Malaysia seperti destar, keris, dan makanan tempatan. Malah, Kota Hilir yang menjadi latar belakang filem ini sebenarnya diinspirasikan daripada seni bina Bandar Hilir dan Kota Melaka. Kini, animasi Mechamato telah disiarkan di 65 buah negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Portugal, dan Turki. Siri ini turut berjaya mendapat tempat ketiga dalam Anime Fan Award di Tokyo Anime Awards Festival 2023, sekaligus membuktikan siri animasi Malaysia semakin mendapat tempat di hati peminat global.
Tiga filem animasi Malaysia iaitu Upin & Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali telah menempa banyak kejayaan di dalam dan di luar negara. Animasi Upin & Ipin melalui filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan akhir kategori Filem Animasi Terbaik di Anugerah Akademi 2020 (Oscars). Populariti animasi Upin & Ipin di Indonesia juga banyak membantu memulihkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang sering terluka akibat masalah perebutan budaya.
Hakikatnya, industri animasi Malaysia menyumbang kepada ekonomi negara, terutamanya dalam sektor ekonomi digital. Dengan sokongan agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), industri animasi terus berkembang dan telah menyumbang lebih daripada RM7 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2020. Program dan dana MDEC membantu studio animasi tempatan dalam mendapatkan latihan, akses, dan dana kepada rangkaian animasi antarabangsa, sekaligus memperkukuhkan potensi animasi Malaysia di pentas dunia.
Walaupun demikian, industri animasi Malaysia masih berdepan dengan cabaran, terutamanya dalam bersaing dengan nama besar dunia seperti Jepun dengan industri anime dan Amerika Syarikat dengan industri animasinya yang masih menjadi pendahulu pada peringkat global. Namun, dengan sokongan berterusan daripada kerajaan dan peminat tempatan mahupun antarabangsa, masa depan animasi Malaysia nampak cerah dan berpotensi untuk diterokai. Diharapkan lebih banyak animasi Malaysia yang dikenali dunia dan seterusnya melonjakkan kuasa lunak negara dalam menghadapi pengaruh global.
Muhammad Amirul Naim Rosmi merupakan Eksekutif Pengedaran di Penang Institut. Beliau mendapat pendidikan dalam bidang Kemanusiaan dengan pengkhususan Sejarah dan Tamadun dari Universiti Islam Antarabangsa.