Ahad
Pagi ini, aku menapak ke bibir pantai untuk bersama laut—merasai dingin bayu yang dirembes sinar matahari. Yang terbentang di hadapan hanyalah alunan ombak yang saujana mata memandang, tidak ada bezanya dengan langit di atas kepala—kedua-duanya tidak terjangkau oleh tubuh kecil ini. Ia sedia menelan segala apa ke dalamnya—ke dalam dunia tanpa kesedaran manusia. Memang menakutkan.
Namun, ketika di laut, aku berada di daerah yang menjadikan aku gila. Dalam pekat langit malam, bintang dan bulan separuh bogel mengendap laut yang sedang berbicara dengan pantai tentang kemegahan dan rahsia yang terkandung di dalamnya. Suaranya membisik dekat di telinga ketika manusia sudah beradu di ranjang.
Tidak ada kata yang boleh mengungkapkan hubungan antara aku dan laut. Aku lahir dan membesar di pesisir pantai. Tanah tempat aku mula belajar menapak adalah tanah pasir pantai penuh dengan kerang-kerangan. Ketika anak-anak lain menjalin hubungan dengan hutan dan bukit bukau, aku terdampar di pantai—bergelut dengan pujuk rayu laut yang penuh gelora. Kadangkala, ingin sahaja aku menolak diri dan larut di dalamnya.
Anak-anak lain tidak bermimpi untuk memiliki insang, dan aku tidak berdoa untuk sepasang sayap.
Isnin
Aku menumpuk keberanian untuk terjun berenang di tengah-tengah laut. Saat aku asyik dipeluk laut biru, ada seekor penyu besar melintas tenang di hadapanku. Ia langsung tidak mengendahkan tubuh asing ini. Aku mengekorinya perlahan-lahan turun dari permukaan untuk mencari dasar. Namun, tanpa disedari, aku menyelam jauh ke dalam perut laut. Si penyu kadangkala berhenti menguak dan menoleh ke belakang untuk memerhatikan aku.
Tidak lama kemudian, ia sirna daripada pandangan. Aku lalu sedar bahawa di sekeliling hanyalah air yang warnanya biru gelap. Di atas dan di bawah, di kiri dan kanan, dan di depan dan di belakang dan bawah hanyalah kebiruan dengan segala kontranya. Sesekali aku mendongak ke atas, memerhatikan bayangan perahu-perahu nelayan dan orang-orang yang sedang terapung di permukaan. Kesemuanya tampak kecil dan tidak bermakna. Kolum cahaya cuba menembusi dan hilang di batasan yang tidak jelas.
Pada waktu itu, kebesaranku lenyap dan aku mengecil seperti tidak memiliki apa-apa. Boleh sahaja jika aku memilih untuk hilang dan larut bersama segala jejak dari daratan—bersatu dengan kesedaran sebuah lautan yang menakjubkan. Mungkin tidak ada sesiapa yang peduli. Aku biarkan jiwa dan tubuhku bersatu dengannya, ke dalam kebesaran, kegelapan, kekosongan, dan kesedarannya lalu menghembuskan nafas terakhir.
Perjalanan pulang ke permukaan terasa seperti suatu perjalanan yang mengambil masa selama-lamanya. Ketika di permukaan, ingin sahaja aku menjerit sekuat hati tentang suatu hal: betapa tidak bermaknanya sekepal kesedaran manusia saat ia berada di dalam kesedaran sebuah lautan.
Selasa
Acapkali, ketika berenang di laut, aku membayangkan lautan sebagai sebuah ranah yang tanpa dasar, tanpa penghujungnya—seperti langit yang tidak kita ketahui hujungnya. Aku sering terfikir tentang apa yang sebenarnya dihidangkan oleh laut. Apakah hanya batu-batuan, terumbu karang, atau bangkai-bangkai kapal yang tewas dengan gelora laut?
Masih kuat terpahat dalam ingatan saat pertama kali aku terjun ke laut sewaktu masih di usia kecil. Harinya hari Selasa. Terapung di permukaan tanpa mengetahui apakah yang terdampar di dasar laut mendatangkan suatu perasaan pelik. Malah, perasaan yang sama tetap menghantui biarpun sudah menginjak usia dewasa. Misteri dan tanda tanya tentang laut dan segala hidupannya tidak pernah hilang.
Dasar lautan seolah-olah memberikan suatu jaminan. Ia bercerita atau berdalih kepada kita bahawa “engkau akan tetap selamat selagi aku masih di sini.” Dasar lautan memberitahu bahawa ada batas yang senantiasa melindungi kita—melindungi orang-orang yang mengembara dan menjenguk lautan. Batas ada sebagai jaminan dan penuntun agar kita tidak melampauinya. Jika kaki dan tangan penat mengayuh, kita berdiri sahaja di dasar.
Bagaimana pula jika laut tidak memiliki dasar? Saat laut menjadi terlalu dalam untuk diteroka, kita hilang secara perlahan-lahan setelah lelah menginjak air—tenggelam dalam kedalaman yang melemaskan kewarasan manusia. Namun, kematian adalah hal kedua, dan setiap nyawa akan menemui penghujungnya—biarpun ada atau tidak dasarnya.
Lautan memberikan sudut pandang baharu tentang jaminan dalam kehidupan. Jika betul-betul difikirkan, jaminan tersebut hanyalah sebuah idea yang kita sendiri cipta dan percaya. Jaminan merupakan satu khayalan yang perlu dimusnahkan jika kita ingin berdamping dengan laut.
Rabu
Tidak sedikit daripada kita yang takut dengan ketinggian. Setidak-tidaknya ada dua alasan: kelajuan sesuatu objek yang jatuh ke bawah dan kecepatan untuk sesuatu objek itu untuk hancur musnah. Namun demikian, perkara itulah yang selalu aku inginkan ketika berada di bibir laut. Sekuat mana ketakutan yang dihadapi, sekuat itu jugalah aku cuba untuk menguasainya dengan terjun dari pinggirnya.
Lautan senantiasa menjadi teman baik saat aku ingin bersendirian, lari daripada kebisingan dan cemar kota. Pernah suatu hari aku terjun ke laut dari sebuah rumah api. Sesaat sebelum aku menyentuh pintu air, kesedaranku lenyap. Aku hidup kembali ketika di dalam air, seperti memakai sebuah tubuh dan merangkul kesedaran baharu yang tidak akan pernah aku rasai jika di daratan.
Tidak kira betapa tinggi dan betapa laju aku terjun turun ke bawah, aku tahu bahawa laut akan ada di sana untuk menyelamatkan aku. Laut senantiasa ada menjadi teman dan penyelamat kalau kita memilih untuk pergi.
Khamis
Laut lepas yang luas adalah sangat berkuasa, dan aku turut merasa memiliki kuasa dan bebas ketika mampu melihat dan mendongak ke arah laut. Ketika aku terlentang mengapung sambil memandang langit biru, rasa bebas tidak terhingga datang menerpa. Aku bebas kerana tidak tersangkar dan tersekat dengan daratan yang keras. Aku bebas daripada ketakutan dan keraguan dalam diri sendiri, bebas daripada jaminan yang pernah aku cipta sendiri.
Segala rasa akan hanyut dan melarut. Lautan memberikan petanda kepada segala persoalan tentang kebebasan dan sebagainya. Laut tidak lain tidak bukan hanya membuatkan kita menjadi lebih berani dan penuh dengan sifat kehambaan.
Jumaat
Hakikatnya, tempat yang kita pijak ini hanyalah satu per empat daripada jumlah keluasan laut, dan masih banyak yang belum kita tahu tentang rahsia-rahsia laut. Tidak ada sesiapa yang tahu dengan pasti tentang kebarangkalian sesebuah lautan. Seperti juga kehidupan kita, tidak ada sesiapa yang tahu dengan pasti tentangnya. Ia tidak mampu dirungkaikan dan tidak akan dapat diramal dengan sepenuhnya.
Sabtu
Laut kadangkala menjadi lambang sebuah kematian. Ia gelap gelita dan sunyi jauh dari kebisingan. Ada bangkai-bangkai kapal, binatang, dan kerangka lanun yang bersemadi di dasarnya. Sebanyak mana ia melambangkan suburnya kehidupan, lautan juga melambangkan pengakhiran—pengakhiran tamadun-tamadun purba yang sudah ditenggelami air.
Ia adalah lambang pengakhiran dan kematian sebuah hubungan yang ditulis pada sepucuk surat yang tersimpan di dalam botol-botol budu. Ia melambangkan kematian terumbu karang oleh cuaca alam yang semakin memanas. Ia juga menjadi lambang kematian moral manusia yang jelas boleh dilihat daripada sisa-sisa yang dibuang ke dalamnya.
Apa yang pasti adalah, tanpa laut kita akan mati, atau sebenarnya tidak pernah wujud sejak mula.
Mohamad Amin merupakan seorang nelayan sambilan yang belum pandai mengait pukat. Pada hari-hari biasa, beliau mengajar berenang. Pada musim bah, beliau turun ke laut untuk mencari anak tenggiri buat semangkuk singgang.