“Salam Sejahtera, ini adalah panggilan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Anda mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM 10,000. Sila tekan 1 untuk bercakap dengan pegawai kami.”
Dialog tersebut mungkin tidak pernah didengar oleh kebanyakan kita, namun tidak sedikit juga yang menerima panggilan sebegitu. Perasaan risau dan takut mula menyelubungi minda tatkala menerima panggilan begitu. Perasaan takut mendorong penerima panggilan terus melakukan transaksi kewangan bagi menyelesaikan denda atau tunggakan yang diberitahu. Namun, setelah selesai perbualan tersebut, barulah penerima panggilan menyedari bahawa diri telah menjadi mangsa penipuan! Menyesal tidak berpenghujung, wang yang disimpan untuk pelbagai tujuan sudah lebur dirakus oleh penjenayah atas talian atau dikenali sebagai scammer.
Dialog di atas adalah sebahagian daripada taktik scammer bagi menjerat mangsa. Jenayah penipuan atas talian atau lebih dikenali sebagai scam merupakan satu jenayah yang sangat membimbangkan. Meskipun jenayah ini tidak melibatkan penggunaan kekerasan, namun mangsa jenayah ini menerima pelbagai kesan berpanjangan seperti trauma, masalah kewangan dan emosi yang tidak stabil. Bayangkan, terdapat mangsa warga emas yang kehilangan wang simpanan yang dikumpul sejak muda kerana diperdaya oleh sindiket scam ini. Semua orang berpotensi menjadi mangsa jenayah ini, tidak kira status sosial, umur dan pendidikan.
Jenayah scam mempunyai 1001 modus operandi. Antaranya adalah penipuan tawaran pekerjaan, penyamaran sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang, love scam, penipuan penghantaran barangan dan pelbagai lagi. Sebagai rekod, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 71,833 kes jenayah komersial sepanjang tahun 2020 sehingga Mei 2022 dan daripada jumlah tersebut, 48,850 kes adalah kes jenayah penipuan atas talian atau scam! Bayangkan berapa ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa scam ini dan angka ini dijangka akan meningkat.
Elak Diri Daripada Menjadi Mangsa
Setiap daripada kita tidak akan terlepas menjadi mangsa scam, namun kita boleh mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah ini. Scammer lazimnya mempunyai maklumat peribadi mangsa seperti nombor telefon, alamat dan nama penuh. Bagaimanakah mereka memperoleh maklumat ini?
Kebanyakan pengguna internet dan media sosial pada hari ini begitu mudah berkongsi maklumat pribadi masing-masing. Meskipun tidak secara menyeluruh, tetapi sedikit maklumat sahaja membolehkan scammer memanipulasi mangsa dengan maklumat yang diperoleh. Sebagai contoh, perkongsian pekerjaan seseorang di laman sosial seperti Facebook membolehkan scammer untuk merancang modus operandi mereka bagi memperdayakan mangsa melalui taktik penipuan penyamaran sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang.
Tidak berkongsi langsung kegiatan seharian atau maklumat diri sendiri di media sosial adalah sesuatu yang agak mustahil untuk dilakukan pada hari ini namun sebagai pengguna yang bijak, kita perlu melakukan pemantauan kendiri seperti meminimakan perkongsian maklumat, dengan cara tidak meletakkan secara terperinci tentang diri kita.
Selain itu, masyarakat juga perlu peka apabila menerima panggilan atau mesej daripada nombor yang tidak dikenali. Lazimnya, scammer akan menggunakan nombor telefon bimbit bagi menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai penguatkuasa. Jika menerima panggilan seperti ini, tidak perlu dilayan sama langsung, terus saja matikan panggilan tersebut. Hal ini kerana, setiap urusan rasmi oleh agensi penguatkuasa undang-undang kepada masyarakat akan menggunakan surat rasmi.
Benar, terdapat pegawai penguatkuasa undang-undang menggunakan telefon bimbit mereka bagi menghubungi individu tertentu untuk urusan siasatan tetapi panggilan tersebut akan bertanyakan tentang maklumat sesebuah kes atau tujuan dan tidak melibatkan permintaan untuk melakukan permindahan wang.
Bukan itu sahaja, jika menerima pesanan ringkas atau mesej yang mempunyai pautan internet kita harus berwaspada dan tidak sesekali mengklik pautan yang diberikan. Pautan yang dihantar adalah salah satu taktik penjenayah untuk mencuri data pribadi mangsa melalui taktik dikenali sebagai “phishing”. Jadi, peka dan beringat sebelum kena!
Tanggungjawab Sejagat
Pembanterasan jenayah scam ini bukanlah mudah tetapi tidak mustahil untuk dilakukan. Selain daripada masyarakat sendiri cakna dengan langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa, pihak kerajaan dan agensi terlibat juga perlu melaksanakan polisi dan kaedah yang ampuh bagi membanteras jenayah ini.
Pihak kerajaan perlu lebih agresif melaksanakan kempen kesedaran tentang jenayah scam ini agar masyarakat di pelbagai lapisan demografi lebih sedar tentang jenayah ini. Kempen ini tidak boleh hanya sekadar poster dan iklan semata-mata, tetapi agensi bertanggungjawab perlu turun ke padang mendekati masyarakat dan menghebahkan tentang langkah pencegahan dan kesedaran tentang jenayah ini. Malahan, kempen melalui dominasi sosial media juga perlu dilakukan supaya maklumat berkaitan jenayah ini lebih cepat sampai kepada masyarakat.
Selain itu, pihak kerajaan juga perlu menggubal undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan jenayah penipuan, komunikasi dan kewangan supaya lebih relevan dengan masa kini iaitu mengambil kira elemen platform penipuan tersebut dilakukan yakni jenayah scam pada masa kini menggunakan platform komunikasi dan internet. Mengambil kira situasi pada masa kini dalam menggubal sesuatu undang-undang membolehkan pihak berkuasa menjalankan proses siasatan dengan lebih menyeluruh dan proses pendakwaan lebih lancar.
Selain itu, hukuman yang dikenakan juga perlu lebih berat daripada hukuman sedia ada. Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda. Hukuman sebegini dilihat ringan berbanding trauma dan kerugian yang dialami oleh mangsa.
Kerajaan juga perlu melihat penglibatan individu dikenali sebagai “keldai akaun” yang memberi akses akaun mereka kepada scammer untuk digunakan bagi meletakkan wang hasil daripada penipuan dengan lebih mendalam. Pada masa kini, hukuman terhadap keldai akaun dilihat tidak setimpal dan sudah tiba masanya untuk golongan keldai akaun ini dikenakan hukuman lebih berat dan penggunaan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 adalah wajar bagi keldai akaun.
Kerjasama antarabangsa juga perlu diperkuatkan bagi membanteras jenayah ini. Terdapat sindiket penipuan ini beroperasi di luar negara dan situasi ini menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. Justeru, organisasi penguatkuasa undang-undang antarabangsa sedia ada seperti INTERPOL dan ASEANAPOL perlu diajak berbincang dan membina polisi yang jelas dan teratur bagaimana tindakan undang-undang dapat diambil bagi penjenayah scam ini meskipun mereka berada di luar negara.
Beringat Sebelum Kena
Sesiapa sahaja daripada kita boleh menjadi mangsa jenayah scam ini, malah ada di kalangan kita mungkin pernah menjadi mangsa jenayah ini. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa peka dengan jenayah ini dan memberi peringatan kepada masyarakat sekeliling supaya lebih berhati-hati.
Jika anda hampir menjadi mangsa atau menjadi mangsa jenayah ini, segera laporkan kepada pihak berkuasa atau anda boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 bagi mendapatkan bantuan dengan segera. Beringat sebelum kena, lindungi data pribadi anda dengan baik dan sentiasa peka dengan panggilan atau mesej yang anda terima.
Lokman Redzuan merupakan seorang Pembantu Penyelidik/Pentadbiran di Penang Institute. Bidang kajian beliau adalah keselamatan sempadan, dasar luar negara, jenayah rentas sempadan dan dasar keselamatan.