Kesunyian hadir dengan bermacam-macam wajah. Ada di antara kita yang memilih untuk menyembunyikan diri yang sebenar. Ada juga di antara kita yang senang atau malah berduka dengan segala tuntutan, desakan, dan kemahuan yang payah untuk dimengerti dan dipenuhi. Kita sebenarnya berbeza. Kadangkala, ramai daripada kita yang tidak senang dengan mereka yang kepalanya bekerja dengan cara lain, yang berani, yang sentiasa tertanya-tanya tentang segala perkara. Pada titik inilah kesunyian menerpa—saat kita merenung hal-hal yang tidak mampu kita hadam, saat kita tidak mampu lagi mengerti atau menerima, saat kita akhirnya menjadi tidak lebih daripada sebuah projek perubatan moden. Kata lain buat orang seperti kita adalah: menyusahkan.
Biarpun berat untuk menadah segala apa yang dilemparkan kepada kita, kita tahu bahawa kita mampu berfikir. Kita bukannya bekas-bekas kosong atau jentera yang hanya hidup untuk mengekori. Kita adalah orang-orang yang ingin terus bertanya, resah melakar garis antara yang baik dan yang buruk. Namun, ada di antara kita yang resah menentukan dengan apa garis itu dilakar. Kalau kapur, adakah nanti hujan akan menghapuskannya? Benarkah manusia—seperti kata William Golding—adalah orang-orang buas yang hidup dalam keliaran belantara sendiri sebelum disemat dengan rasa gemuruh untuk terus bersaing dengan jentera dan bangunan?
Jika manusia secara hakikinya tidak beradab dan berani, maka adakah manusia dengan sendirinya sudah terlazim untuk berlaku “sopan” agar tidak melanggar resam masyarakat yang percaya bahawa upaya berfikir untuk bertanya—bukannya mencabar—adalah merbahaya kepada sesetengah orang? Saat kita cuba melindungi mereka yang sedang lari daripada penganiayaan dan salah sangka—mereka yang dipinggirkan hanya kerana berbeza—adakah kita juga mampu menyakiti mereka biarpun tidak sengaja? Apakah sebenarnya makna “lazim” bagi orang seperti kita yang tersendiri ini? Kita hadir dari cinta dan ketakutan, dari acuan berbeza, setiap satu menjadi batu-bata yang disusun melingkari “semangat” kita, dalam menara keegoan kita sendiri.
Sistem pendidikan kita menjadi salah satu bukti bahawa kita ini berbeza—bahawa semua orang tidak boleh dimuat di dalam satu acuan semata-mata. Sedari kecil kita sudah diajarkan untuk menghafal dalam ruang lingkup waktu yang terbatas—sebuah sistem pembelajaran yang menawarkan ganjaran jika kita mampu memahami sesebuah teori dan konsep berdasarkan bahasa ibunda kita sendiri. Adakah ini hanya permainan semantik atau kekeliruan bahasa, atau suatu bukti bahawa minda kita bekerja dengan caranya sendiri? Hal ini boleh dibahaskan nanti. Namun, jika kita membahaskannya, kita hanya akan mendedahkan bahawa sistem itu sendiri sebenarnya tempang. Ada orang yang cemerlang dalam tugasan bertulis, tetapi gagal dalam ujian. Rasa gemuruh untuk menghafal fakta-fakta itu sendiri sudah meleburkan ruang untuk kita menyimpan ilmu dan pemahaman kita.
Tidak sedikit daripada kita yang hanya mampu berfikir dengan perlahan. Upaya untuk menumpuk ilmu menjadi sulit dan kerja semudah mencari kata itu sendiri sudah memeras banyak tenaga. Ruang simpanan kita bukan hanya kecil, tetapi berupa bakul anyaman, dan pengetahuan pula adalah air. Ia bocor tanpa meninggalkan sisa, dan markah menjadi penanda bahawa minda kita ini berfungsi, dan kita masih memahami. Namun, kewujudannya kadangkala tidak nyata. Ia sirna dengan ajaib, dan kita pula adalah ahli sihir yang separuh hati.
Jadi, kita senantiasa dalam dilema untuk mengalir bersama kerumunan atau memilih jalan dan kelajuan kita sendiri.
Adakalanya ketika saya membaca puisi penyair-penyair terkenal, saya tertanya-tanya kenapa saya belajar tentang sastera—bentuk bahasa yang tertinggi—sedangkan saya boleh sahaja mengarang puisi dengan hanya menekan butang “enter” di setiap celah kata yang saya tulis, lalu menjualnya. Benar, saya adalah orang yang kadangkala merasa kecewa, kerap diselubungi oleh ketidakpuasan hati. Saya berimpian tinggi, tetapi dunia kadangkala tidak berlaku adil. Adakah menulis puisi dengan melawan arus merupakan produk sesebuah zaman atau hanya suatu kekacauan? Adakah kita sedang menggemakan semangat Allen Ginsberg atau kita sedang menghambatnya?
Mungkin kita sedang berlari mengikut kelajuan dunia pascamoden dan bertembung dengan segala keresahan yang hadir bersamanya. Dengan adanya Internet, maklumat-maklumat bergerak dengan pantas sehingga kita tidak memiliki waktu untuk duduk bersanggama dengan keindahan puisi. Pernahkah anda membaca sesuatu berita buruk di Twitter tetapi tidak merasa terkesan dengannya kerana anda baru sahaja membaca suatu berita buruk lain sebelum itu? Otak kita semacam tidak memiliki kemampuan untuk menghadam segalanya dengan pantas. Jadi, ‘puisi’ seperti ini selalu ditulis. Ia ringkas, mudah difahami, dan menyerlah. Mungkin begitu cara sastera berkembang mengikut waktu. Tetapi saya sejujurnya masih kekok dengan perkembangan sedemikian.
Namun demikian, sejauh mana kita perlu tunduk kepada peraturan dan zaman? Adakah peraturan menjamin keamanan atau hanya menjadikan kita kurang berdaya cipta? Jika peraturan menghalang kita untuk mempersoal, bukankah itu suatu penindasan?
Sebahagian daripada kita adalah “kucing besar”. Kita mengaum.
Saya membaca berita itu selepas tujuh jam peristiwa yang menyayat hati itu terjadi. Pada suatu pagi Sabtu, ada seseorang memberitahu bahawa beliau tidak lagi merasa senang dengan saya kerana saya bersimpati dengan penulis sastera magis-realis tersebut. Dalam kekeliruan kerana dituduh sebagai ancaman, saya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berbahaya dengan tindakan berfikir dan menerbitkan buah fikiran itu sendiri? Saya tidak mengiakan keganasan. Tetapi, kita terpaksa mengorbankan seorang Rushdie untuk meyakinkan orang ramai bahawa kata-kata bukanlah suatu bentuk keganasan.
Kita, yang selebihnya ini, terhimpit di celah rasa selesa menjadi pak turut dan rasa takut kerana berkata-kata di laman sosial. Kita bukan singa. Kita adalah anak-anak kucing yang kerdil dan tidak merbahaya, yang melakar buah fikirannya pada angin. Inilah nasib mereka yang mindanya merangkak, bukannya berlari. Kita menjadi terasing hanya kerana ingin berfikir.
Nurul Ismawi adalah seorang penulis dan penyair. Beliau sedang mengikuti pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang Kesusasteraan Dunia di Universiti Putra Malaysia.