Karam di laut boleh ditimba, karam di hati bilakan sudah. Demikianlah perasaan apabila kehilangan orang tersayang. Namun, setiap orang berduka dengan cara masing-masing. Ada yang menangis sepuas hati, ada yang merasa sesal, mungkin ada juga yang membuak dengan rasa marah. Bagi saya, tidak ada perasaan yang setanding dengan rasa tertanya-tanya sama ada orang tersayang yang sudah pergi itu bersemadi dengan aman atau tidak di dunia abadi. Soalan tanpa jawapan ini menjadi suatu tamparan yang kuat kepada diri sendiri.
Walaupun sudah hampir tiga bulan ayah pergi, saya masih menanggung rasa seolah-olah dia menapak keluar buat sementara dan akan pulang tidak lama kemudian. Namun, hati juga menyuruh saya terbuka dengan hakikat bahawa tidak akan ada lagi gelak ketawa ayah. Tidak ada lagi rasa nyaman saat dipeluknya. Ayah sudah tiada untuk saya ceritakan segala kejayaan saya. Kenangan yang paling jelas terpahat dalam hati bukanlah peristiwa-peristiwa besar yang kami lalui bersama. Saya hanya merindui tabiat harian beliau yang sering memesan kepada saya supaya berhati-hati di jalan raya, menyuruh saya mandi terlebih dahulu, atau nasihatnya kepada saya untuk tidur awal.
Namun, di sebalik pemikiran pesimis dan rindu ini, saya juga menerima hakikat bahawa hidup mati adalah lumrah. Biarpun perasaan sentiasa bercampur-aduk, kehidupan ini harus diteruskan seiring dengan dunia yang terus berputar. Tugas sebagai seorang anak juga perlu terus dilaksanakan sehingga ke akhir hayat.
Adat sepanjang jalan, cupak sepanjang betung
Hidup sentiasa digenang adat. Sejak kecil, saya dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh kepada adat resam masyarakat Cina. Banyak ritual yang mengiringi kehidupan, baik ketika menyambut kelahiran, merayakan peristiwa, sehinggalah ke upacara berdukacita. Namun, kadangkala saya bertanya tentang hikmah atau faedah di sebalik segala usaha dan wang yang dibelanjakan untuk pelbagai ritual yang jelas adalah ciptaan manusia.
Barangkali pertanyaan skeptikal ini bermuara daripada kepercayaan saya bahawa segala adat dan upacara yang dilakukan oleh manusia ini adalah cara sesetengah orang mengaut keuntungan. Mereka menjual barangan dan perkhidmatan yang diperlukan. Walaupun demikian, kebelakangan ini, saya mula sedar bahawa ada hikmah di sebalik amalan yang diperturunkan daripada generasi ke generasi ini. Upacara berdukacita dan pengebumian orang yang sudah tiada ini membantu kita untuk merawat kesedihan dan berdamai dengan hakikat. Untuk sesebuah keluarga besar, upacara sebegini juga menjadi peluang untuk sanak-saudara bersua muka dan saling bersimpati.
Namun, saya secara peribadi lebih selesa untuk berdukacita dan menghadam pemikiran sendiri secara berseorangan. Tidak hairan sekiranya ada sahabat handai yang datang menjenguk untuk memberikan galakan kerana kita hidup dalam masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain. Walaupun dengan niat yang baik, bagi seseorang yang baru sahaja melalui pengalaman sedih, tugas melayan tetamu rumah adalah perkara yang amat meletihkan. Ia juga kadangkala hanya akan menambahkan lagi emosi negatif apabila perlu berbual tentang mereka yang sudah tiada.
Dari segi praktikal pula, risiko jangkitan wabak Covid-19 masih agak tinggi dan saya masih berkira-kira untuk menerima pelawat ke rumah. Walau apapun, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk mengubati hati masing-masing, baik berkongsi perasaan dengan orang lain, mahupun bertenang secara bersendirian.
Bagai harimau meninggalkan belang
Kematian sering dikaitkan dengan kehilangan, kesedihan, dan kepiluan seolah-olah segala pencapaian dan pengalaman seseorang telah hanyut dibawa ombak ajal. Namun, harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading. Walaupun pemergian seseorang merupakan perkara yang menyedihkan, lebih baik jika keadaan pilu ini dilihat dari sudut yang lebih optimis. Memandangkan hidup dan mati terletak dalam genggaman ilahi, maka kita perlu melihat kematian sebagai kejayaan seseorang menamatkan perlumbaan kehidupan.
Bagi mereka yang dirahmati umur panjang, sudah tentu terdapat banyak pengalaman manis dan pahit yang boleh dijadikan teladan untuk generasi akan datang. Tambahan lagi, jika kita melihat perjalanan kehidupan secara retrospektif, maka setiap kejayaan yang telah dicapai oleh si mati haruslah diraikan sebagai suatu kehidupan yang telah dilalui dengan baik. Kejayaan yang saya maksudkan bukan sahaja dari segi pencapaian kerjaya ataupun kekayaan, malah setiap detik kegembiraan yang pernah wujud kerana adanya orang tersebut.
Sejak dilahirkan lagi, setiap orang sudah pun membawa kegembiraan kepada ibu bapa dan keluarga masing-masing. Kemudian, sebagai seorang sahabat semasa zaman persekolahan dan bekerja, sudah pasti setiap orang pernah membawa senyuman kepada orang di sekeliling. Sekiranya ada jodoh, maka sebagai pasangan dan kemudiannya menjadi ibu bapa, seseorang tentu memberikan kasih sayang kepada orang terdekat. Bukan setakat memberikan kegembiraan kepada umat manusia, malah sekiranya pernah membelai atau memberikan makanan kepada haiwan, tidak kira sebagai tuan punya atau tidak, maka seseorang itu telah pun mendatangkan kesenangan kepada haiwan tersebut. Setiap manusia mempunyai peluang untuk membawa kegembiraan dengan kehadiran mereka. Maka, setiap kehidupan berbaloi diraikan, setidak-tidaknya kerana diberi masa untuk hidup, tidak kira panjang atau pendek.
Walaupun payah untuk menerima hakikat kematian secara positif selain daripada melihatnya sebagai suatu pengakhiran derita mereka yang meninggal akibat penyakit dan uzur, ada hikmahnya untuk menukar perasaan negatif biarpun sedikit. Orang yang menyayangi kita pastinya tidak mahu kesedihan kita berpanjangan. Malah tidak berlebihan jika dikatakan bahawa kasih sayang mereka seakan-akan disia-siakan sekiranya kita yang masih hidup di dunia ini tidak hidup sepenuhnya dan sebaik mungkin.
Biarpun hati terasa pedih setiap kali melihat gambar mendiang ayah, saya juga rasa bersyukur apabila ahli keluarga mahupun sahabat handai beliau masih mempunyai kata-kata pujian untuk beliau. Kehidupan beliau masih diraikan walaupun nafas terakhir sudah dihembuskan sekian lama.
Dr Beh May Ting merupakan penyelidik projek di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute. Beliau mendapat ijazah sarjana kedoktoran dalam bidang antropologi dari Monash University, Malaysia.
Gambar oleh @gaellemarcel, Unsplash