Suara Nadi

Budaya Kopitiam di Kala Wabak

By Beh May Ting (Penyelidik di Program Kajian Sejarah dan Serantau)   |   Posted on

Bak kata pepatah, bumi berputar zaman beredar. Tidak dapat dinafikan bahawa kopi merupakan keperluan harian yang amat penting dalam kehidupan sebahagian besar masyarakat sehingga menjadikannya sebagai komoditi kedua terbesar dalam perdagangan dunia selain minyak mentah. Di Malaysia, kopitiam dan warung-warung kopi merupakan tempat makan dan bersosial yang ikonik dalam kalangan masyarakat tempatan.

Kali pertama saya bertembung dengan aroma harum kopi adalah hampir 30 tahun dahulu, semasa baru berusia 4 tahun di pasar pagi Bayan Baru. Ketika itu, pengasuh saya sering memesan kopi-o dari warung kopi di tepi jalan sambil melepaskan lelah apabila selesai membeli sayur. Saya pula akan menemani beliau dan memerhati pakcik kopi menapis kopi sehitam dakwat menggunakan stoking panjang kepada para pelanggannya. Begitulah kegiatan pagi saban hari saya pada waktu kecil.

Pada lewat tahun 1990-an, rantaian kopi antarabangsa tiba di Malaysia dengan pelbagai nama kopi ala-Eropah. Antara yang paling terkemuka adalah seperti Starbucks dan Coffee Bean yang kini menjadi tempat popular untuk masyarakat pelbagai umur bersua muka. Walaupun harga segelas kopi agak mahal, masih ramai yang tetap melanggani kedai-kedai sebegini sehingga sekarang. Logo hijau ikan duyung Starbucks sudah terkenal di seluruh dunia dan barangan cenderamata jenama ini dianggap sebagai lambang gaya hidup yang diimpikan ramai.

Tidak lama kemudian, budaya dan persepsi mewah minuman kopi berganjak ke tahap yang lebih tinggi dengan kehadiran kafe-kafe hipster yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Pulau Pinang juga tidak terkecuali daripada fenomena ini. Pada hari ini, kita terbiasa melihat pemuda-pemudi berpacaran dan menangkap gambar di sana. Saya sendiri tanpa sedar turut terjebak dalam gaya hidup sebegini.

Apabila ada khabar bahawa kafe-kafe baru dibuka, saya juga akan beria-ia untuk ke sana. Walau bagaimanapun, saya tetap setia dengan pakcik-pakcik kopitiam kerana tiada kafe baru yang mampu menandingi suasana nostalgia mahupun rasa teruja menjamu selera sambil berpeluh di kopitiam.

Bayangkan suasana memakan mee sup panas ditemani oleh segelas kopi ais. Dalam cuaca panas terik seperti di Malaysia, kipas kopitiam yang sudah kekuningan menjadi satu-satunya punca angin untuk mendinginkan suhu persekitaran. Tidak seperti kafe-kafe hipster, tiada muzik yang diperdengarkan di kedai kopi murah seperti kopitiam. Hanya laungan pesanan makanan dan dialog para pelanggan yang berdendang di kopitiam. Malah, perhiasan dan susun letak perabot di kopitiam tidak estetik seperti di kafe. Hanya meja dan bangku plastik yang serba berminyak yang menjadi tempat duduk dalam kedai kopi.

Walaupun tidak senyaman kafe-kafe, namun apalah ertinya selesa kalau bukan tabiat makan yang sudah sekian lama dimateraikan dalam kehidupan saya dan generasi nenek moyang saya? Bagi saya, sekiranya jiwa kopitiam sudah tiada, maka hilanglah sebahagian besar identiti Malaysia.

Menghadapi Wabak Covid-19

Sudah lebih dari setahun dunia dilanda wabak Covid-19. Dalam masa setahun ini, kehidupan harian kita banyak yang telah berubah. Bagi yang bernasib baik, mereka hanya perlu menyesuaikan diri untuk bekerja dari rumah dan mengikut SOP ketika berada di luar rumah seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Namun, bagi mereka yang kurang bernasib baik, kehidupan menjadi semakin merana dengan pelbagai dugaan seperti kehilangan kerja, ataupun lebih parah, kehilangan orang yang tersayang. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Begitulah lumrah kehidupan manusia.

Realiti kehidupan harian pada masa wabak Covid-19 turut memberi kesan kepada budaya minum kopi kita. Dari sesi lepak kopitiam pada awal tahun lepas, kini kita hanya mampu menghirup kopi bersendirian di rumah. Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia pada bulan Mac 2020, banyak perniagaan yang telah gulung tikar, terutamanya perniagaan yang masih belum bersedia untuk beralih kepada transaksi digital.

Ketidakupayaan untuk beralih kepada perniagaan atas talian ini telah mendatangkan banyak masalah kepada pengusaha kopitiam dan warung kopi. Kemerosotan ekonomi akibat wabak ditambah pula dengan kurangnya minat golongan muda untuk berbelanja di kopitiam seolah-olah telah memberi beban berganda kepada mereka. Pakcik-pakcik kopitiam mengeluh dengan nasib mereka yang seakan-akan sudah jatuh ditimpa tangga.

Bagi saya, walaupun sudah terbiasa dengan resam penjarakan sosial baharu, kerinduan terhadap perbualan panjang bersama sahabat handai di kedai kopi masih tetap ada. Namun begitu, cabaran hidup ini perlu disahut walaupun secara paksa rela. Kini, banyak kedai kopi, tidak kira kafe ataupun kopitiam, yang mula berjinak-jinak dengan aplikasi penghantaran makanan demi meneruskan perniagaan. Hal ini secara langsung telah memberi peluang kepada perniagaan-perniagaan makanan untuk sedar bahawa cara masyarakat berbelanja sentiasa berubah mengikut masa.

Bagi penggemar kopi seperti saya, selain memesan kopi kegemaran terus dari kedai untuk dihantar ke rumah, ruang dapur sendirilah yang dijadikan tempat kajian membancuh kopi sendiri sehingga tercetusnya fenomena kopi Dalgona. Bermula dari negara Korea Selatan, video-video penyediaan kopi Dalgona yang dimuat naik di laman sosial telah mendapat perhatian orang ramai walaupun popularitinya seperti hangat-hangat tahi ayam, hanya terkenal untuk masa yang singkat, kira-kira sebulan sahaja.

Hal ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan minat orang ramai terhadap kopi tempatan yang sudah berabad lama bermastautin dalam diet masyarakat majmuk Malaysia. Walaupun dengan adanya kafe-kafe hipster baharu yang menjadi pesaing kepada kopitiam, ternyata bahawa minat masyarakat tempatan masih tidak pudar dari kedai kopi lama ini. Namun begitu, persoalannya sekarang ialah, adakah generasi muda masih berminat untuk meneruskan perniagaan sebegini setelah generasi pakcik kopitiam sudah tiada lagi?

Tambahan lagi, bekerja di kopitiam dilihat sebagai pekerjaan yang susah dan kurang berprestij. Sebagai peminat setia kopitiam, sudah tentu saya memiliki harapan tinggi bahawa akan tetap ada mereka yang akan meneruskan tradisi ini. Realitinya mungkin berbeza dengan adanya cabaran-cabaran yang sentiasa menyelubungi perniagaan kopitiam. Namun saya tetap yakin bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Peranan Semua Pihak

Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang dibangunkan melalui budaya ini. Di celah-celah bangunan pejabat, hotel-hotel mewah, dan gedung-gedung membeli-belah, terselitnya kedai-kedai kopi. Kopitiam tidak hanya dikenali sebagai tempat untuk menghirup kopi, tetapi juga sebagai tempat bercambahnya perbincangan-perbincangan dalam masyarakat. Malah, yang lebih penting, kopitiam sudah menjadi sebahagian daripada identiti dan produk pelancongan negeri ini. Dengan mengambil kira peranan ini, maka usaha untuk menyelamatkannya adalah sangat mustahak.

Namun demikian, kopitiam hanyalah salah satu cabaran yang dihadapi oleh Pulau Pinang pada hari ini. Perniagaan-perniagaan kecil lain yang turut memberi sumbangan besar kepada kemajuan negeri ini perlu juga diberi perhatian. Antaranya adalah seperti penjaja dan restoran kecil, kraftangan, perusahaan produk-produk makanan mentah, dan juga kafe-kafe hipster sendiri. Usaha penyelamatan ini perlu dilakukan oleh semua pihak, baik oleh masyarakat awam, pihak swasta, mahupun kerajaan.

Usaha kerajaan Pulau Pinang untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah bandar pintar dan digital amat dialu-alukan. Peralihan daripada cara pengoperasian berbentuk manual kepada atas talian akan membawa Pulau Pinang setanding dengan bandar-bandar maju lain di rantau ini. Namun demikian, perusahaan-perusahaan kecil termasuklah kopitiam perlu dipastikan bahawa tidak tercicir dalam perpindahan ini. Selain daripada bantuan dana untuk menghadapi wabak Covid-19, pihak kerajaan juga perlu menjadi pemudah cara kepada para peniaga kecil dalam menghadapi dunia yang sentiasa berubah.

Masyarakat, khususnya di Pulau Pinang, turut tidak terkecuali. Pada saat genting seperti sekarang inilah usaha-usaha untuk menyokong produk-produk tempatan perlu dilakukan. Walaupun kita terperangkap di rumah masing-masing, masih tetap ada jalan untuk meraikan kopitiam yang sudah menjadi sebahagian daripada budaya kita semua.

Dr Beh May Ting merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Sejarah dan Serantau di Penang Institute. Bidang kajian beliau termasuklah Kajian Makanan, Antropologi Bandar, dan Geografi Budaya.