Penularan wabak Covid-19 ke seluruh dunia sejak Disember 2019 merupakan suatu tragedi kesihatan awam yang sangat dahsyat dalam lipatan sejarah. Penularannya telah melumpuhkan pergerakan manusia, baik pergerakan di dalam mahupun rentas sempadan negara. Bagi mereka yang merangkul fahaman globalisasi yang meraikan pergerakan tanpa batas, keadaan ini menjadi suatu cabaran.
Namun demikian, wabak yang telah meragut jutaan nyawa masyarakat dunia ini juga telah menyerlahkan kelemahan dan kegagalan banyak negara dalam menguruskan krisis kesihatan global. Tekanan yang bertubi-tubi terhadap pemerintah sudah tentunya datang daripada masyarakat dan juga kumpulan-kumpulan kesihatan. Akhirnya, dunia kini sedar bahawa persediaan untuk menghadapi ancaman kesihatan sebesar ini belum berada pada tahap yang terbaik.
Walau bagaimanapun, wabak Covid-19 juga datang membawa pesanan bahawa kerjasama antara negara untuk memutuskan rantaian jangkitan adalah perlu. Namun, menjalinkan kerjasama antara negara dalam menghadapi wabak seperti ini secara bersama bukanlah suatu tugas yang mudah. Pada kebiasaannya, kewujudan pelbagai fahaman politik serta konflik jangka panjang menjadi salah satu halangan dalam mewujudkan kerjasama seperti ini. Namun demikian, dalam mendepani ancaman wabak, kerjasama antarabangsa adalah sesuatu yang tidak mustahil.
Dapat dikatakan bahawa situasi sebegini tidak mungkin dikecapi tanpa wujudnya penerapan nilai hubungan antarabangsa. Pelaksanaannya mungkin tidak kasatmata, namun ianya digarap dan dilayarkan dengan begitu indah sehingga banyak negara berjaya mengecapi sedikit demi sedikit kejayaan dalam berhadapan dengan wabak ini.
Perkongsian, Ketulusan dan Keterbukaan
Sudah pasti bahawa kejayaan yang dikecapi oleh dunia hari ini dalam perang melawan Covid-19 tidak mungkin akan tercapai seandainya negara-negara di dunia dan juga para pelaku bukan negara seperti World Health Organisation (WHO) dan syarikat-syarikat farmaseutikal tidak mengamalkan konsep perkongsian, ketelusan, dan keterbukaan.
Walau bagaimanapun, konsep perkongsian, ketelusan dan keterbukaan ini bukanlah mudah untuk dicapai terutama dalam konteks hubungan antara negara. Hal ini kerana ianya dilihat sebagai salah satu usaha untuk menggugat kedaulatan sesebuah negara. Namun begitu, konsep ini diraikan secara bersama melalui perkongsian maklumat dan data, kerjasama dalam menjalankan kajian demi kajian, serta hasil yang diperoleh dikongsi secara bersama dengan telus dan terbuka.
Salah satu contoh amalan konsep tersebut dapat dilihat melalui kesudian China untuk membuka pintu kepada delegasi WHO bagi menjalankan siasatan terhadap punca penyebaran wabak ini[1]. Masyarakat dunia sedia maklum bahawa China sering mengambil sikap berjaga-jaga terutamanya dalam membenarkan campur tangan kuasa asing ke atas negara mereka. Namun, bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan, sikap ini diredakan agar jalan penyelesaian yang komprehensif dapat dicapai. Jelas bahawa, demi kesejahteraan sejagat, nilai hubungan antarabangsa telah merendahkan ego sesebuah negara.
Tiga konsep yang diselangi dengan nilai hubungan antarabangsa ini juga telah membuatkan usaha pembangunan vaksin berjaya dilakukan dalam tempoh yang singkat. Sebagai pelaku bukan negara, syarikat farmaseutikal mempunyai peluang untuk meraih keuntungan dengan membangunkan vaksin. Namun, peluang ini tidak diendahkan kerana semua pihak yang terlibat memegang tiga konsep tersebut sebagai panduan.
Pembangunan vaksin ini mungkin tidak berjaya dilakukan andainya konsep keterbukaan, ketelusan dan perkongsian tidak dilaksanakan dengan baik oleh semua pihakyang terlibat. Malah, konsep ini juga telah berjaya menundukkan gerakan anti-vaksin yang cuba menyebarkan pengaruhnya di seluruh dunia.
Diplomasi Kesihatan
Perbincangan mengenai nilai hubungan antarabangsa juga tidak boleh mengabaikan satu lagi instrumen penting, iaitu diplomasi. Dalam pelbagai cabang yang ada, diplomasi kesihatan adalah konsep yang sangat penting terutama sekali dalam menghadapi wabak berskala global. Umumnya, konsep diplomasi kesihatan telah wujud sejak sekian lama namun ianya tidak diberikan perhatian sehinggalah dunia mula berhadapan dengan wabak Covid-19.
Secara umum, hubungan diplomasi hanya dapat dilakukan jika wujudnya kerjasama setidak-tidaknya antara dua pihak. Hal ini telah diterjemahkan ketika dunia sedang bertungkus-lumus menghentikan penyebaran wabak ini. Terjemahan semangat diplomasi ini dapat dilihat misalnya melalui bantuan bekalan kelengkapan dan pasukan perubatan kepada negara-negara yang teruk terkesan terutamanya negara-negara sedang membangun.
Meskipun hampir kesemua negara berhadapan dengan wabak ini, ianya tidak melunturkan keupayaan untuk berdiplomasi. Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa semangat sebegini tidak dapat dinyatakan secara harmoni sekiranya nilai hubungan antarabangsa tidak diterapkan dengan baik. Malah, diplomasi kesihatan yang terbentuk ini juga dapat merapatkan jurang antara negara.
Misalnya, pertikaian wilayah di Laut China Selatan antara Malaysia dan China dapat diredakan sementara melalui bantuan perubatan antara kedua-dua negara tersebut[2]. Selain itu, China juga menawarkan bantuan perubatan untuk India yang kini dilanda tsunami Covid-19 meskipun dua buah negara ini sering bertelagah dalam isu sempadan negara[3]. Hal ini menjadi serampang dua mata dan turut menonjolkan sisi positif nilai hubungan antarabangsa itu sendiri. Meskipun konflik-konflik sedia ada mungkin akan kembali tercetus selepas waktu wabak, ianya mungkin boleh diatasi melalui amalan semangat kerjasama seperti yang dilakukan sekarang.
Tindakan sebilangan besar syarikat farmaseutikal yang hanya berurusan dengan pelaku negara dan bukannya pihak swasta dalam pemerolehan vaksin juga merupakan hasil daripada semaian nilai hubungan antarabangsa dalam instrumen diplomasi kesihatan. Selain menjadikan pengurusan vaksin lebih terbuka dan telus, perkongsian maklumat dan hasil kajian antara pihak negara dan farmaseutikal yang terjalin melalui diplomasi kesihatan akhirnya membolehkan usaha untuk mencari penawar menjadi kenyataan.
Diplomasi kesihatan juga membuktikan ketegasan negara dan pelaku bukan negara dalam mengkritik sikap kebanyakan negara khususnya negara-negara barat yang cuba membolot bekalan vaksin. Kritikan yang dilemparkan kepada mereka ini sememangnya perlu agar pengagihan vaksin itu dapat dilakukan secara adil dan saksama. Seandainya kritikan ini tidak dilakukan, pembaziran vaksin akan berlaku dan ianya akan menjadi satu tindakan yang tidak wajar.
Jelas bahawa diplomasi kesihatan ini telah memainkan peranan yang sangat signifikan dan ianya tidak hanya digunakan untuk tujuan bantuan semata-mata tetapi sebagai alat kritikan yang lebih berhemah sifatnya.
Kesucian Nilai Hubungan Antarabangsa
Wabak Covid-19 ini sememangnya telah mengubah landskap politik dunia. Tiada siapa menyangka bahawa wabak ini mampu menjejaskan kehidupan manusia. Malah manusia juga akhirnya perlu menyesuaikan diri dengan norma hidup baharu. Meskipun pelbagai perubahan terpaksa dilakukan, ianya sedikitpun tidak mencemarkan kesucian nilai hubungan antarabangsa.
Nilai hubungan antarabangsa yang sebelum ini sering diabaikan kepentingannya kini telah diangkat semula. Nilai ini amat perlu diterapkan dalam perjalanan hubungan antarabangsa kerana ianya memberi kelebihan kepada semua. Penerapan nilai hubungan antarabangsa di kala wabak Covid-19 ini juga jelas mengajar kita bahawa kerjasama semua pihak baik pelaku negara ataupun pelaku bukan negara adalah perlu dan wajar untuk dihayati dengan lebih mendalam.
Lokman Redzuan merupakan seorang Pembantu Penyelidik/Pentadbiran di Penang Institute. Bidang kajian beliau adalah keselamatan sempadan, dasar luar negara, jenayah rentas sempadan dan polisi keselamatan.
Gambar oleh Kaung Myat Min (Unsplash)
[1] Sinar Harian. (2021, Januari 11). China benar WHO siasat asal-usul Covid-19. https://www.sinarharian.com.my/article/118540/KHAS/Covid-19/China-benar-WHO-siasat-asal-usul-Covid-19 (diakses pada 3 Mei 2021)
[2] Roy Anthony Rogers, “Covid-19 Eratkan Malaysia-China”, Sinar Harian, 14 Februari 2021, https://www.sinarharian.com.my/article/123750/KOLUMNIS/Covid-19-eratkan-Malaysia-China (diakses pada 3 Mei 2021)
[3] Vincent Ni, “Border dispute casts shadow over China’s offer of Covid help for India”, The Guardian, https://www.theguardian.com/world/2021/apr/29/border-dispute-casts-shadow-over-chinas-offers-of-covid-help-for-india (diakses 4 Mei 2021)