Suara Nadi

Berumah di Permatang Sawah

Oleh Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara)   |   Posted on

Saya perantau tegar, dan sudah tinggal di beberapa buah negara di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat. Demikian juga kembara seterusnya membawa saya ke banyak buah negara lain.

Namun saya membesar di tanah lembap Sungai Aceh dan Bukit Mertajam. Walaupun saya dilahirkan di Perak, namun pada usia satu tahun kami sudah berpindah ke Pulau Pinang, kampung dan negeri ibu saya. Mulanya ke Bukit Mertajam, dan setelah itu ke Sungai Aceh, tempat di mana ayah saya membuka kedai runcit.

Sungai Aceh ialah sebuah kampung kecil, di simpang jalan dari Sungai Bakau, Sungai Udang dan Sungai Setar. Kampung ini menjadi pusat kepada sebuah daerah persawahan yang besar. Pada tahun 1940-an dan 1950-an terdapat sederet kedai, sekitar 20 buah kesemuanya. Kaki limanya menjadi lebuh hidup saya sejak saya berusia setahun, sehinggalah kami ke Bukit Mertajam sewaktu saya berusia sebelas tahun.

Pekan kecil ini ialah jantung Sungai Aceh. Semua penduduknya datang ke sini untuk membeli keperluan harian mereka, melainkan beras dan ikan. Di depan barisan kedai itu, dunia saya juga selalu menjadi cair, dan tergenang atau mengalir. Tapi dua kali setahun airnya bertukar jernih dan sampah serta karat dibasuh oleh hujan. Pada waktu itulah kami berpesta – mencari anak ikan di tepi tebing simen kedai, dan menggunakan `toslet` (lampu suluh) pada malam hari untuk menyingkap rahsia malam dan alam air.

Di depan kedai ialah serumpun nipah yang hijau pekat, dengan daunnya yang keras dan jarang kalah apabila diduga angin. Banjir ialah zat hidupnya. Saya akan ke sana untuk mencari ikan semilai (pelaga) yang hidup di celah pelepah kukuhnya. Saya jarang berjaya sebagai penangkap anak ikan yang cantik dan lincah ini. Ikan semilai ini kecil, comel, dan berwarna-warni sepanjang badannya, terutama di bahagian ekor yang berkodek sebagai kemudinya. Sesekali saya diberikan seekor dua oleh kawan-kawan. Di sinilah pertama kali saya bertemu dengan alam yang berwarna `technicolor’ dan menyambung keindahannya di rumah.

Jadi, nipah cukup hadir dan digunakan sepenuhnya oleh penduduk sebagai bahan hidup mereka. Nipah juga hidup berumpun, di tepi kubang atau lubuk, dan berdiri kukuh sebagai pemantau padi yang sedang membesar ataupun sudah mula `menyusu.’ Di daerah Sungai Aceh, Sungai Bakau dan Sungai Setar, padi menghampar sampai ke hujung saujana. Pada waktu itu sawahlah membentang luas untuk kita. Tetapi saya kira konsep alam saya dibina secara tidak sedar oleh sawah-sawah yang hijau dengan zat awalnya.  Dan inilah pemandangan yang luar biasa. Pada saya, seorang penghuni tanah rendah, kecantikannya tiada tolok bandingnya. Sawah tiada berpagar dan mata kita dilepaskan untuk terbang sampai jauh. Inilah dunia dan persekitaran saya yang sangat indah. Saya beruntung dapat hidup dalam dunia seindah ini.

Di sebaliknya kota sering tidak indah, sering serebeh dan diadang oleh simen kejang yang tidak mesra-manusia. Sampai kini saya masih merindukan dunia sawah dan kesannya kepada perasaan saya – lapang, sekata petaknya, serta melaut dengan anak padinya. Ke mana pun saya pergi pemandangan sawah ini kembali melukis keindahan dalam kesedaran saya. Apabila saya ke Bali, bukit-bukit Luzon serta sawah-sawah di Jepun, maka saya pun diperbaharui, dan berasa nyaman dalam diri sendiri.

Apakah suasana dan keindahan padi juga menyejahterakan penduduknya? Jarang kita dengar tentang perkelahian serius di antara penduduk-penduduknya. Saya berpendapat bahawa alam persawahan menjadikan kita manusia yang lebih tenang dan tenteram. Manusia yang tiada dirundung stress adalah manusia yang lebih berimbang, lebih sederhana, dan tidak terburu-buru untuk meraih kekayaan. Penanam padi lebih lapang jiwanya, lebih jauh pemandangannya. Lebih manis wataknya.

Dunia padi mengajar manusianya menjadi makhluk yang lebih sabar, lebih hati-hati. Dunia ini mengajar bahawa mereka boleh berkongsi tenaga apabila diperlukan. Kebiasaan `berderau`, di mana beberapa orang jiran berkumpul untuk menanam dan memotong padi salah seorang jirannya. Apabila kerja-kerjanya sudah diselesaikan maka mereka berpindah pula ke sawah jiran yang lainnya.

***

Padi ialah metafora untuk kehidupan pesawah. Yang sering dikutip daripada tabiatnya oleh leluhur kita ialah `ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk.’ Inilah pandangan dan cara hidup di antara jiran dan ahli-ahli dalam sebuah masyarakat kampung. Inilah juga tiang seri perlakuan seseorang, yang menolong mereka menghindar perbalahan. Nilai ini sangat diperlukan dalam kehidupan bersama – kita diajar supaya tidak sombong, walaupun sudah berjaya. Dan pada orang Melayu ini adalah di antara nilai yang sangat penting dan harus diangkat oleh semua.

 

Kesenangan hidup mereka sering dibandingkan dengan mewahnya hasil padi:

 

Bumi senang padi pun menjadi,

Padi selumbung dimakan orang banyak,

Di mana padi masak, di situlah tekukur jinak,

Ada padi, segala kerja menjadi.

Keadaan sebaliknya juga dilukiskan oleh metafora padi,

Bukan tanahnya menjadi padi,

Tanam lalang takkan tumbuh padi.

Dan berpuluh-puluh yang lainnya, termasuk pantun kasih sayang ini:
Kalau kulurut padiku ini,
Kalau dilurut, pecah batangnya;

Kalau kuturut hatiku ini,

Kalau kuturut, salah datangnya.

 

Pesawah hidup di pinggir sawah, maka secara alamiah pula padi dijadikan perbandingan atau ibarat dalam pemikiran dan tujuannya. Oleh yang demikian padi bukan saja rezeki, tetapi juga menawarkan persekitaran hidup yang indah, kejayaan ekonomi, sejumlah ibarat dan metafora dalam ucapan serta ritual mereka.

Apabila kami berpindah ke Bukit Mertajam, kawasan di sana juga ialah sebentang hamparan sawah yang luas. Di sana saya mula turun ke bendang dan menolong menanam, merumput, menjemur dan mengetam. Setelah itu kami menumbuknya, sementara pulut dijadikan emping – semuanya dengan kuasa kaki dan teknologi lesung alu dan hindik.

Yang paling sedap ialah sarapan pulut dengan lauk ikan kering goreng, di atas batas sawah! Dan goreng sepat dan gulai puyu yang diambil dari sawah dan tali air.

Inilah budaya yang paling dominan di Pulau Pinang semasa saya membesar, dan inilah pengalaman yang masih hijau dan lembap dalam kenangan saya. Kehidupan di atas permatang sawah juga menumbuhkan padi sebagai lambang dan perumpamaan.

 

Jernih sungguh cahaya mentari

Kuning merah warna paginya;

Padi tumbuh di dalam diri,

Hijau berpucuk jadi budaya.

 

Muhammad Haji Salleh ialah seorang sarjana, penyair, dan kritikawan yang membesar di Pulau Pinang. Sehingga tahun 2020, beliau telah menerbitkan sekitar 60 buah buku puisi, kritikan, kembara, terjemahan, kajian sastera lama dan baru dalam bahasa Melayu dan Inggeris, termasuklah buku yang berjudul “Melayu Pulau Pinang: Di Permatang Zaman dan perubahan” terbitan Penang Institute. Kini beliau ialah seorang profesor emeritus di Universiti Sains Malaysia, dan Sasterawan Negara di Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Sains Malaysia.