Sudah setahun dunia hidup dalam wabak Covid-19. Berdasarkan statistik yang di keluarkan oleh pusat penyelidikan di Johns Hopkins University , penularan coronavirus ini telah meragut lebih daripada 1.76 juta nyawa di seluruh dunia dan ini tidak hanya telah merubah kehidupan harian kita, tetapi juga cara kita menguruskan dan merancang masa hadapan. Dalam menghadapi “resam baharu” ini, kita mengahwinkan pelbagai idea, baik yang baharu ataupun lama. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk memastikan kelangsungan hidup dan juga mengurangkan impak manusia terhadap alam sekitar.
Sebagai sebuah masyarakat, perkara yang tidak kurang penting untuk diberi perhatian adalah cara kita merancang dan membangunkan bandar. Tidak dapat dinafikan bahawa wabak pada skala global mampu untuk mengubah rupa bentuk bandar. Namun, gejala ini tidak hanya berlaku secara sehala. Manusia juga memiliki keupayaan untuk berfikir dan mengubah nasib dan rupa bandar yang didiami mereka. Mereka mampu untuk menghalang penularan penyakit dengan lebih berkesan.
Covid-19: Suatu Lembaran Baharu
Biarpun wabak Covid-19 telah memaksakan kita untuk memencilkan diri atau mengambil jarak sosial, ianya turut membantu kita untuk melihat dengan lebih jelas akan keupayaan kita dalam mempengaruhi perubahan di persekitaran kita. Walau bagaimanapun, hal ini hanya dapat dilakukan jika kita menyemak semula hala tuju perancangan dan pembangunan bandar yang kita diami. Dengan wujudnya suatu bentuk perancangan dan pembangunan bandar yang baik, kita juga akan dapat mengubah corak pergerakan dan aktiviti manusia dalam sesebuah bandar dengan baik.
Seperti yang kita tahu, kehidupan manusia tidak pernah terlepas dari alam persekitarannya. Baik sedar ataupun tidak, kegiatan manusia pada setiap hari mampu memberi kesan langsung terhadap alam persekitaran. Oleh itu, pembangunan yang tidak dirancang dengan baik akan menghadirkan pelbagai bencana alam seperti pemanasan global, pencemaran udara, air dan tanah, penularan wabak dan sebagainya. Pada hari ini, kita sedar bahawa bumi ini seakan-akan memberi amaran bahawa ia berasa “sakit” disebabkan tingkah laku kita. Ia telah membuka mata kita bahawa betapa rapuhnya alam ini dan pentingnya untuk kita menjaga dan memeliharanya.
Sejak bermulanya penularan wabak Covid-19, banyak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malaysia juga tidak terkecuali. Langkah ini telah berjaya meratakan lekukan statistik jangkitan Covid-19 sekurang-kurangnya di negara ini pada PKP fasa pertama dan telah mengurangkan pergerakan dan kegiatan manusia terutamanya pergerakan kenderaan pada skala besar. Berdasarkan kajian perbandingan peratusan bahan-bahan pencemaran udara yang telah dijalankan oleh Think City, telah terbukti bahawa berlakunya pengurangan penghasilan gas-gas yang menyumbang kepada pencemaran udara khususnya gas nitrogen dioksida selepas PKP dilaksanakan. Hasil kajian ini adalah bukti bahawa konsep perancangan dan pembangunan bandar mampan yang dianggap tidak realistik bukan sahaja tidak benar, malah pola pergerakan manusia yang mengambil kira alam persekitaran boleh mengurangkan kesan perubahan iklim.
Dengan banyaknya kajian yang dilakukan selepas penularan wabak Covid-19, ditambah pula dengan kajian-kajian yang menunjukkan bahawa adanya kemungkinan untuk memulihkan perubahan iklim, konsep kemampanan telah menjadi satu idea yang realistik dan tidak mustahil untuk dilaksanakan. Malah, konsep ini adalah syarat penting untuk menjadikan sesebuah bandar itu lebih berdaya tahan. Pada sisi yang lain, wabak ini turut memberi laluan kepada kita untuk mengorak langkah ke arah menuju pembangunan masyarakat dan bandar yang lebih sejahtera.
Hala Tuju Perancangan Bandar
Tidak dapat dinafikan bahawa resam baharu dalam kegiatan harian telah memberi impak yang besar dalam pola pergerakan manusia. Kebanyakan aktiviti manusia yang berbentuk fizikal kini telah beralih kepada alam maya. Oleh yang demikian, proses yang berlaku ini bakal mendorong lebih banyak manusia memilih untuk tinggal di kawasan-kawasan pinggir bandar berbanding pusat bandar di mana kos sara hidup atau perbelanjaan isi rumah adalah lebih rendah berbanding di pusat bandar.
Seperti yang telah dilaporkan dalam World Cities Report 2020 oleh UN Habitat , proses perbandaran akan terus berlaku dalam dekad berikutnya dan proses penyebaran bandar akan lebih pesat berbanding pertumbuhan populasi. Banyak kajian penyelidikan telah membuktikan bahawa proses penyebaran bandar yang pesat mempunyai implikasi yang jelas dari segi penggunaan tenaga, pengeluaran gas rumah hijau, perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar. Namun demikian, keadaan ini tidak semestinya perlu dipandang secara negatif. Penyebaran ini juga pada sisi lain turut bermaksud bahawa lebih luas kawasan akan dibangunkan secara terancang untuk menampung pertambahan penduduk yang tinggal di bandar, bukannya didiami secara setinggan.
Bagi memenuhi keperluan hidup manusia serta menampung pertambahan populasi bandar yang berlaku secara berterusan ini, sempadan bandar secara realistik sememangnya perlu dikembangkan. Sudah pasti bahawa penyebaran dan perpindahan penduduk ke sesebuah bandar dapat menjamin kualiti hidup yang lebih baik. Akan tetapi, kualiti hidup di bandar yang baik hanya akan dapat dicapai jika sesebuah bandar itu memiliki sistem pengangkutan dan infrastruktur yang berkesan dan mempunyai ciri kemampanan.
Di kebanyakan negara khususnya negara Barat, sudah terjadi satu gejala hidupan dan penempatan yang dikenali sebagai “living off the grid”. Berlakunya satu bentuk perpindahan skala kecil manusia ke kawasan yang sangat terpencil, khususnya di tengah belantara tanpa bergantung pada teknologi moden . Biarpun demikian, mereka yang sudah berpindah ke kawasan-kawasan terpencil ini tetap mempunyai perhubungan dengan dunia luar khususnya secara maya.
Gejala sebegini tidaklah baru, namun disebabkan oleh “living off the grid” ini berasaskan kehidupan yang lestari, iaitu tidak bergantung kepada grid elektrik, propana, dan saluran utiliti lain seperti sistem pembetung dan air , ianya menjadi popular dan bakal menjadi asas kepada hala tuju perancangan bandar dan penempatan manusia yang lebih bercorakkan kemampanan yang menjamin kelangsungan kehidupan manusia bagi generasi kini dan akan datang. Gejala “living off the grid” ini secara tidak langsung mendorong manusia untuk kembali mengamalkan kehidupan yang lebih harmoni dengan alam sekitar.
Hala tuju perancangan bandar akan mengalami perubahan yang besar apabila cara hidup manusia dari pelbagai segi mula mengikuti resam baharu. Ianya juga dapat mempercepatkan lagi usaha untuk merealisasikan perancangan dan pembangunan bandar secara lebih mampan. Strategi-strategi perancangan dan pembangunan bandar pada masa hadapan perlu lebih sesuai dengan resam dan corak baharu dalam penempatan dan pergerakan manusia.
Selain itu, penyampaian perkhidmatan secara atas talian juga akan menjadi suatu amalan biasa pada masa hadapan. Dalam usaha untuk mengurangkan impak manusia terhadap alam sekitar, antara strategi-strategi dan konsep-konsep yang akan diberikan keutamaan adalah seperti bandar berkonsepkan rendah karbon yang dilengkapi dengan teknologi hijau, dan sistem komunikasi yang menyeluruh bagi menjamin perhubungan yang lebih efisien terutamanya dari segi komunikasi dan teknologi maklumat turut diberi keutamaan.
Antara konsep perancangan dan pembangunan bandar lain yang akan terus dapat dilihat adalah seperti pentakrifan semula sempadan bandar (wujudnya kawasan bandar dan pinggir bandar sebagai satu ruang yang lebih menyeluruh), sistem pengangkutan yang bersambung dengan baik, serta konsep daya tahan sesebuah bandar dari segi ekonomi, fizikal dan sosial dalam menghadapi apa jua bencana di masa akan datang.
Perubahan dalam hala tuju perancangan dan pembangunan bandar yang sudah terjadi dan akan terus terjadi ini diharapkan dapat sedikit sebanyak mengurangkan impak manusia terhadap alam sekitar dan memulihkan kesan aktiviti manusia sebelum ini terhadap bumi. Hal ini juga diharapkan dapat menjamin wujudnya suatu bentuk ekologi kehidupan manusia dengan alam sekitar yang lebih simbiosis.
Syafiqah Nazurah Mukhtar merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Warisan dan Bandar di Penang Institute. Beliau sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD dalam bidang Perancangan Luar Bandar dan Alam Sekitar.
</div style=”padding: 0 20px 0 20px;”>