Kini, kerap kali kita disajikan dengan keluhan ibu bapa di media sosial terhadap institusi pendidikan yang dikatakan semakin mencabar dan tidak relevan untuk sesetengah peringkat umur. Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa mula turut serta dalam proses pembelajaran anak-anak. Ini berbeza jika dibandingkan dengan ibu bapa pada zaman dahulu yang lebih suka menyerahkan urusan pembelajaran anak kepada guru-guru di sekolah sepenuhnya.
Melalui pekeliling daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 7 November 2019, murid-murid Tahun 1 sehingga Tahun 3 harus mempelajari tujuh mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Inggeris, Pendidikan Islam (termasuk Tasmik dalam Program J-QAF)/Pendidikan Moral, Sains, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik dan mata pelajaran tambahan bahasa. Ini dilihat sebagai bebanan pada murid-murid kerana terdapat banyak tambahan yang diterap masuk ke dalam silibus sedia ada.
Sebagai contoh, sesetengah ibu bapa memberi pandangan bahawa subjek matematik yang merangkumi topik insurans dan takaful masih lagi awal diterapkan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah. Hal ini kerana topik itu kelihatan berat dan pelajar-pelajar lingkungan umur sedemikian akan mengalami kesulitan untuk memahami konsep dan keperluan topik tersebut.
Institusi pendidikan negara harus faham bahawa setelah wabak Covid-19, tahap murid dalam menguasai sesuatu pembelajaran makin berkurangan. Hal ini kerana mereka tidak diberi peluang untuk berinteraksi secara fizikal kerana kelas dijalankan di atas talian. Ini menyukarkan mereka untuk bertanya soalan dalam usaha memahami sesuatu topik. Dengan bebanan silibus yang semakin mencabar, ini seolah-olah menambahkan lagi tekanan kepada murid-murid.Ibu bapa juga merungut bahawa mereka turut sama terpalit dengan bebanan silibus pendidikan, di mana mereka harus turut sama belajar semula tentang konsep tersebut supaya dapat menerangkan cara-cara bagi menjawab sesuatu soalan. Ini agak sukar bagi mereka kerana mereka sudah sedia terbeban dengan tekanan di tempat kerja dan hal-hal rumahtangga.
Namun, bukanlah bermaksud golongan ibu bapa ingin melepaskan tanggungjawab mereka, tetapi lebih kepada inginkan proses pembelajaran anak-anak menjadi lebih praktikal. Dalam masa yang sama, mereka juga mahukan suasana pembelajaran yang lebih santai supaya anak-anak lebih berminat untuk belajar.Institusi pendidikan negara kita harus juga peka bahawa komen-komen tentang silibus pendidikan pelajar bukan sahaja mengundang keluhan ibu bapa tapi juga tenaga pengajar itu sendiri. Terdapat juga keluhan daripada guru-guru sendiri yang merasakan topik pendidikan pada zaman ini memang mencabar dan harus disemak semula.
Artikel di Utusan Malaysia pada 30 November 2021, pernah merungkai kebimbangan seorang guru tentang silibus pendidikan darjah satu yang seakan-akan tingkatan satu. Menurut guru yang dikenali sebagai Mohd Fadhli Salleh, dia berpendapat bahawa subjek Bahasa Melayu yang diajar di sekolah pada saat ini padat dan mampu membuatkan murid-murid untuk hilang minat dengan pembelajaran di sekolah.Hal ini kerana, pada usia 7 tahun mereka sudah diminta untuk belajar tentang perkataan, penjodoh bilangan, kata seru dan macam-macam lagi. Ujarnya lagi, silibus sedemikian seakan-akan seperti menyuruh murid-murid tersebut untuk menjadi sasterawan usai tamat persekolahan.
Guru itu turut berkata bahawa perubahan diperlukan dalam sistem pendidikan kita supaya ia maju seperti yang kita inginkan. Perubahan ini juga diperlukan untuk menarik kembali minat murid-murid untuk ke sekolah. Institusi pendidikan negara kita harus peka dan ambil tahu dengan komen ibu-bapa dan guru supaya ada tindakan yang berkesan dapat diambil.Sejujurnya, silibus pendidikan sebelum ini dilihat masih relevan untuk generasi hari ini. Ia masih mampu mengasah minda serta memberi kefahaman yang diperlukan bagi peringkat umur tertentu. Penambahbaikan boleh dilakukan, namun ia haruslah tidak membebankan murid-murid dan tenaga pengajar.
Dengan dunia yang semakin moden, tidak dinafikan anak-anak zaman sekarang harus disajikan dengan cabaran pendidikan supaya mereka kekal bersedia. Mungkin institusi pendidikan negara juga berfikiran bahawa dengan adanya banyak cabang ilmu percuma melalui YouTube, maka silibus pendidikan juga harus sejajar dengan kepesatan tersebut. Namun demikian, ia seharusnya relevan dengan peringkat umur kerana tahap penyerapan ilmu bagi setiap peringkat umur adalah berbeza.Anak-anak zaman sekarang makin mudah terpengaruh dengan dunia yang makin canggih. Mereka terleka apabila kehidupan mereka menjadi semakin mudah dengan pelbagai aplikasi dan peralatan yang canggih. Oleh yang demikian, minat mereka terhadap pendidikan semakin terhakis. Ini berbeza dengan anak-anak zaman dahulu yang sangat menitikberatkan pendidikan kerana ia satu-satunya cara untuk mengubah cara hidup mereka.
Kita boleh mengkaji sistem pendidikan negara-negara lain yang sedikit berbeza namun masih mampu melahirkan golongan-golongan yang celik ilmu. Sebagai contoh, Kajian Perbandingan Terhadap Isu dan Perhatian dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia dan Jepun oleh Afifah menjelaskan pendidikan awal di Jepun tidak mementingkan peperiksaan, namun lebih kepada peradaban. Dari usia kecil lagi mereka telah diterapkan dengan nilai-nilai yang baik. Beliau juga berkongsi tentang satu kajian yang dijalankan oleh seorang penyelidik Barat yang mengatakan bahawa pemikiran masyarakat Jepun bukan berpandu pada laungan suara kebangkitan mahupun pencapaian akademik, namun lebih kepada keprihatinan dan kesedaran pemimpin dan rakyat negara itu tentang pembentukan generasi awal.Oleh yang demikian, institusi pendidikan negara harus peka dengan suara-suara sekeliling yang inginkan sedikit perubahan dalam sistem pendidikan negara. Ini adalah penting untuk membimbing anak muda generasi sekarang ke arah pendidikan yang relevan dan menarik.
Hazlina merupakan Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Inti. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau juga menjadi tutor sambilan, selain gemar berkongsi dan bertukar-tukar ilmu kepakaran dan pengetahuan dengan orang lain.
Rujukan
[1] binti Abdullah, A., 2018. Kajian perbandingan terhadap isu dan perhatian dalam pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia dan Jepun. Jurnal Al-Sirat, 1(17), hlm.150–172.
[2] Asrol, A. A. (2021, November 30). Guru pun bimbang silibus darjah satu macam tingkatan satu. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2021/11/guru-pun-bimbang-silibus-darjah-satu- macam-tingkatan-satu/
[3] Khairi, M. L. (2024, Januari 29). Silibus sudah bagus tetapi banyak gangguan, tokok tambah. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2024/01/1206175/silibus-sudah-bagus-tetapi- banyak-gangguan-tokok-tambah