Era 1930-an menyaksikan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Melayu mengenai konsep kemajuan dan modeniti, termasuk dalam aspek pemakaian wanita. Isu ini bukan sekadar perubahan dalam estetika pakaian, tetapi mencerminkan pertembungan antara nilai tradisional dengan pengaruh luar yang semakin menular. Perbahasan ini kerap muncul dalam akhbar-akhbar utama seperti Saudara, Bulan Melayu, dan Lembaga Malaya, memperlihatkan kepelbagaian pandangan yang mencerminkan transformasi sosial masyarakat ketika itu. Perbahasan ini penting bagi mengisi makna kemajuan dan kebebasan, tema penting pada dekad-dekad itu, yang kemudiannya membawa kepada peristiwa kemunculan semangat nasionalisme
Moderniti dan Kebebasan: Naratif Baharu dalam Kalangan Wanita Melayu
Dalam wacana mengenai moderniti, istilah “moden” sering dikaitkan dengan kemajuan dan pembebasan wanita daripada keterbatasan peranan domestik. Seorang penulis, Dayang Taman, dalam akhbar Saudara (1936), menyatakan keyakinannya bahawa jumlah wanita yang mengadaptasi gaya hidup moden akan meningkat, sebagaimana yang berlaku di Turki dan Mesir. Baginya, moderniti membawa kebebasan yang diidamkan oleh wanita Melayu, yang selama ini terkurung dalam ruang domestik.
Namun, beliau turut menegaskan kebimbangan terhadap kemungkinan nilai dan adab dalam masyarakat Melayu-Islam terhakis sekiranya kebebasan ini tidak diimbangi dengan kepatuhan kepada prinsip agama dan budaya. Perspektif ini mencerminkan dilema yang dihadapi masyarakat Melayu ketika itu—bagaimana mencapai kemajuan tanpa mengorbankan identiti dan nilai-nilai tradisional.
Reaksi Golongan Pemikir
Bukan semua pihak bersetuju dengan gelombang modeniti ini. Ibu Zain, tokoh pendidikan wanita yang juga pengasas majalah Bulan Melayu (1930–1941), merupakan antara individu yang tegas mempertahankan imej wanita Melayu berteraskan nilai agama dan moral. Dalam tulisannya, beliau menolak pengaruh liberalisme Barat yang dibawa oleh pemikir seperti Muhammad Yusuf Ahmad dan Syed Sheikh Al-Hadi. Baginya, konsep kebebasan wanita yang dipacu oleh pendidikan Barat dan budaya pergaulan bebas bukanlah satu bentuk kemajuan yang sejati. Sebaliknya, beliau menekankan kepentingan pendidikan agama dan penguasaan bahasa ibunda sebagai asas utama pembangunan wanita Melayu.
Pandangan yang senada turut dikemukakan oleh Abdul Rahim Kajai, seorang wartawan prolifik yang lantang mengkritik pengaruh budaya Barat terhadap masyarakat Melayu. Dalam artikelnya , Pakaian Girl Guide Melayu: Manakah Caranya Pakaian Perempuan Islam, beliau menyatakan kebimbangan terhadap perubahan pakaian wanita yang semakin menampakkan bentuk tubuh. Baginya, fenomena ini bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh membawa kepada kelunturan akhlak.
Syed Alwi Al-Hadi, anak kepada Syed Sheikh Al-Hadi, walaupun bapanya terkenal dengan pemikiran reformis, mengambil pendirian berbeza dalam isu pemakaian wanita. Melalui puisinya Sedarlah Wahai Gadis, beliau mengkritik kecenderungan wanita Melayu yang mula mengenakan pakaian yang lebih ringkas dan tidak menutup aurat dengan sempurna. Beliau mengingatkan bahawa walaupun perubahan adalah lumrah dalam edaran zaman, prinsip menutup aurat tidak boleh dikompromi.
Kontroversi Fesyen Pakaian Bandung
Salah satu isu yang menjadi perhatian khusus dalam perbahasan mengenai pakaian wanita Melayu pada era 1930-an ialah kemunculan fesyen “Pakaian Bandung”. Gaya berpakaian ini, yang berasal dari Bandung, Indonesia, melibatkan baju yang lebih ketat, kain batik tanpa lipatan, dan kasut medan. Berbanding baju kurung tradisional yang lebih longgar dan sopan, pakaian ini dilihat sebagai lambang pemodenan yang menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat konservatif.
Akhbar Saudara menjadi medan perdebatan hangat tentang fesyen ini. Sebahagian penulis mengkritiknya dari sudut agama dan moral, dengan hujah bahawa pakaian sebegini menghilangkan sifat malu dan mendedahkan aurat. Seorang pembaca yang menamakan dirinya Semangat Masa (Nota : penulis merasakan nama pembaca ini terinspirasi dari perkataan ‘zeitgeist’ yang membawa maksud ,Semangat Zaman) menegaskan bahawa masyarakat Melayu seharusnya mempunyai identiti pakaian tersendiri yang tidak sekadar meniru budaya luar. Pandangan ini disokong oleh Abu Bakar Mas’udi dari Langkawi, yang berhujah bahawa setiap bangsa berbangga dengan pakaian tradisi mereka, justeru orang Melayu juga harus mempertahankan busana mereka.
Mencari Identiti dalam Arus Kemodenan
Dekad 1930-an dan 1940-an merupakan tempoh peralihan yang signifikan bagi masyarakat Melayu, khususnya dalam menyesuaikan diri dengan konsep kemajuan tanpa mengabaikan nilai agama dan budaya. Perdebatan mengenai pakaian wanita pada era ini bukan sekadar berkisar tentang estetika, tetapi mencerminkan persoalan yang lebih mendalam—bagaimana masyarakat Melayu harus bergerak ke hadapan tanpa kehilangan jati diri.
Jika dibandingkan dengan situasi semasa, isu ini masih relevan. Di era globalisasi, pengaruh luar terus mencabar norma tradisional, dan perbincangan mengenai pakaian wanita Melayu masih lagi berlangsung. Maka, persoalan yang perlu direnungkan ialah: bagaimana masyarakat Melayu hari ini mendefinisikan kemajuan dalam kerangka identiti mereka sendiri?
Artikel ini diambil dan diolah dari artikel asal penulis dengan tajuk ‘ Beberapa Catatan Tentang Soal Pakaian Wanita Dalam Masyarakat Melayu Sekitar Tahun 1930-An’. Ingin saya tegaskan bahawa artikel ini cuma meneropong dari lensa catatan-catatan lama yang telah direkodkan, dan bukannya sebagai satu bentuk penghakiman terhadap pilihan individu, apatah lagi suatu kritikan terhadap kebebasan wanita dalam berpakaian. Sebaliknya, artikel ini bertujuan menelusuri wacana sejarah yang pernah mewarnai perdebatan intelektual masyarakat Melayu, tanpa menafikan hak wanita dalam menentukan identiti dan ekspresi diri mereka. Perbincangan ini juga bukan bertujuan untuk menetapkan bagaimana wanita seharusnya berpakaian, tetapi sekadar menyoroti bagaimana perubahan fesyen menjadi sebahagian daripada perbincangan tentang kemajuan dan identiti bangsa pada era tersebut.
Muhammad Amirul Naim Rosmi memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Bidang minatnya merangkumi sejarah sosial, sejarah intelektual dan pemikiran politik.
Rujukan dan bacaan lanjut
[1] Nazirah Binti Lee (2014),Transformasi Fesyen Pakaian Muslim Di Semenanjung Tanah Melayu, 1930-1940.
[2] Abdul Rahman Haji Abdullah (1997), Pemikiran Islam Di Malaysia : Sejarah dan Aliran, Gema Insani Press.
[3] Wan Suhana Wan Sulong (2006) , Saudara (1928-1941): Its Contribution to the Debate on Issues in Malay Society and the Development of a Malay World-view, IIUM Intelectual Discourse, Vol. 14 No. 2 (2006)