Sudah hampir dua tahun dunia berperang dengan wabak Covid-19. Jutaan nyawa telah terkorban dan seluruh dunia mengalami perubahan yang drastik. Jika dahulu, manusia dapat berinteraksi secara fizikal tanpa memerlukan alatan tambahan seperti pelitup muka, namun kini pelitup muka menjadi suatu kewajipan apabila kita berada di luar rumah. Kehidupan seharian manusia berubah dalam sekelip mata dek penangan wabak ini.
Peperangan melawan wabak ini tidak hanya meragut nyawa manusia tetapi turut menjejaskan kesihatan mental seseorang, menjarakkan hubungan kekeluargaan, dan banyak lagi. Dunia pernah berhadapan dengan pelbagai wabak penyakit sebelum ini seperti SARS, Spanish Flu, Ebola, Zika dan lain-lain lagi namun impak Covid-19 ini lebih memeritkan. Mungkin wabak Covid-19 ini adalah peringatan kepada masyarakat dunia bahawa banyak perkara yang telah kita abaikan sebelum ini.
Perang melawan wabak Covid-19 masih belum berakhir, namun kini terdapat sinar cahaya di hujung terowong yang gelap. Kejayaan penghasilan vaksin oleh para ahli sains di seluruh dunia telah memberi kita harapan bahawa kita mampu untuk kembali kepada kehidupan biasa, biarpun kita wajib mengadaptasi norma-norma kehidupan baru. Meskipun wujudnya golongan antivaksin, tentangan golongan ini sedikit pun tidak menggoyahkan kita untuk kembali bebas.
Kini, seluruh dunia telah bersetuju bahawa wabak ini masih jauh dari penghujung dan kita perlu hidup bersamanya seperti sediakala. Pada masa yang sama, perjuangan menentang wabak ini tidak akan dihentikan bahkan akan terus diperhebatkan demi kesejahteraan sejagat. Justeru, setiap negara kini mula beralih arah ke fasa endemik, termasuklah Malaysia.
Pengajaran Daripada Pandemik
Sebagai salah satu negara Asia Tenggara yang teruk dibadai wabak Covid-19 dan negara yang paling aktif bagi kadar vaksinasi di dunia, banyak pengajaran yang boleh dipelajari oleh Malaysia agar pengurusan krisis pada masa hadapan lebih teratur dan berkesan. Pengajaran ini tidak hanya tertumpu kepada kerajaan semata-mata tetapi juga kepada rakyat sendiri.
Semenjak bermulanya wabak ini di Malaysia, pelbagai Prosedur Operasi Standard (POS) telah diwujudkan untuk mengawal penyebaran wabak ini. Namun begitu, ketidakseragaman pelaksanaan dan kekeliruan POS ini menyebabkan rakyat berada dalam keadaan tertekan dan menimbulkan bibit penentangan dari ramai pihak khususnya terhadap kerajaan. Justeru, pihak kerajaan perlu lebih teliti dalam melaksanakan sesuatu prosedur pada masa hadapan terutama berkaitan dengan krisis.
Selain itu, pandangan pakar-pakar dalam sesuatu bidang perlu diutamakan dan kepentingan politik dalam membuat sesuatu keputusan perlu disisihkan sepenuhnya agar setiap keputusan yang dilakukan memihak kepada kesejahteraan rakyat dan negara. Hakikatnya, kita pernah menang dalam perang melawan wabak ini pada peringkat awal. Namun, dek kerana kerakusan golongan politik dalam merebut kuasa dan pelaksanaan POS yang berat sebelah menyebabkan kita terpaksa mengharungi perang ini buat tempoh yang lebih panjang.
Wabak Covid-19 ini juga memperlihatkan ketempangan yang masih wujud dalam sistem kesihatan negara. Saya sendiri melihat betapa kacau-bilaunya pengurusan hospital awam sepanjang berlakunya wabak ini. Keadaan ini telah menimbulkan tekanan kepada petugas kesihatan dan juga pesakit yang menerima rawatan. Bukan itu sahaja, nasib golongan doktor berstatus kontrak dilihat tidak terbela di mana mereka terpaksa bekerja dan berhadapan dengan wabak ini sepanjang masa.
Keadaan ini telah mendesak mereka untuk melakukan hartal supaya suara dan nasib mereka diberi pembelaan sewajarnya—sesuatu yang tidak pernah kita lihat dilakukan oleh para petugas kesihatan sebelum ini. Janganlah kita bangga mempunyai banyak kemudahan kesihatan tetapi hakikatnya nasib petugas kesihatan itu tidak dibela dengan sewajarnya.
Walaupun saban hari kita pasti mendengar atau melihat bait-bait perselisihan faham dalam masyarakat, wabak ini mengajar kita bahawa dalam berdepan dengan musuh ini, kita semua harus bersatu sebagai rakyat Malaysia. Sepanjang wabak ini muncul, ramai rakyat Malaysia kehilangan punca pendapatan dan keadaan ini menyempitkan kehidupan sebilangan besar rakyat. Namun, kerjasama dan kesatuan antara rakyat terserlah apabila golongan berkemampuan dan badan bukan kerajaan yang murah hati tidak jemu menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Kempen #BenderaPutih yang dianjurkan oleh rakyat Malaysia misalnya adalah salah satu kod nama bagi golongan yang memerlukan dengan menggantungkan bendera putih di kediaman mereka sekiranya memerlukan bantuan. Kempen ini sangat berjaya apabila ramai pihak diberi pertolongan dan bantuan. Semua ini adalah daripada rakyat kepada rakyat sendiri. Siapa sangka, dalam kepahitan masih wujud kemanisan dalam rakyat Malaysia. Inilah semangat yang perlu sentiasa wujud dalam hati nurani kita sebagai manusia.
Menuju Endemik
Negara kini sedang beralih ke fasa endemik. Apa itu endemik? Endemik merujuk kepada sesuatu penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau lokasi dan kes bagi penyakit ini akan sentiasa wujud tetapi pada kadar yang rendah dan stabil. Endemik bukanlah perkataan baru di Malaysia kerana penyakit denggi di Malaysia juga diklasifikasikan sebagai endemik.
Pelbagai kelonggaran yang sejak sekian lama ditunggu telah diberikan kerajaan. Pengumuman Yang Amat Berhormat Dato Seri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia berkenaan kebenaran rentas negeri adalah berita paling dinantikan seluruh rakyat Malaysia. Bayangkan, hampir setahun tidak bertemu keluarga di kampung bukanlah sesuatu yang mudah.
Biarpun pelbagai kelonggaran telah diberikan, kita sebagai rakyat Malaysia perlu sentiasa berwaspada bahawa wabak ini masih berada dalam kehidupan kita. Jangan pernah kita leka dengan norma baharu yang perlu sentiasa kita amalkan. Endemik tidak bermaksud kita sudah menang, tetapi ianya adalah masa untuk kita lebih berwaspada supaya nyawa dan kesihatan kita sentiasa terpelihara.
Sebagai rakyat, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan fasa endemik ini berjalan lancar. Usah kita menyalahkan pihak lain seandainya kita gagal mematuhi garis panduan yang telah disediakan. Garis panduan seperti sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah, menjaga jarak sejauh 1 meter antara satu sama lain, elakkan berada di tempat yang sesak dan kurang pengudaraan yang baik serta sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau gel pembersih tangan adalah garis panduan yang perlu kita sematkan dalam pemikiran dan dijadikan amalan setiap hari. Sejauh mana kita mampu mengharungi fasa endemik ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Tidak guna untuk kita saling menuding jari sekiranya wabak ini semakin mengganas pada masa hadapan.
Kita boleh menang melawan wabak ini sekiranya kita memahami dan mematuhi setiap garis panduan yang dikeluarkan. Garis panduan yang diwujudkan bukan untuk menafikan hak kita, sebaliknya untuk menjaga kesihatan dan nyawa. Janganlah kita menjadi batu api dalam masyarakat dengan cuba menyebarkan berita dan maklumat yang palsu. Perbuatan sebegini akan merencatkan perancangan negara untuk memastikan kita benar-benar bersedia mengharungi fasa endemik Covid-19.
Lokman Redzuan merupakan seorang Pembantu Penyelidik/Pentadbiran di Penang Institute. Bidang kajian beliau adalah keselamatan sempadan, dasar luar negara, jenayah rentas sempadan dan polisi keselamatan.