
Fajar Syawal menyingsing dalam hening yang syahdu. Takbir bergema memecah langit pagi, beralun dari surau dan masjid, menyentuh relung hati yang paling dalam. Di celah cahaya mentari yang perlahan menampakkan diri, ada wajah-wajah yang berseri, wajah insan yang baru selesai menempuh perjalanan rohani sebulan penuh di bulan Ramadan.
Aidilfitri hadir bukan sekadar sebagai perayaan, tetapi sebagai tanda kemenangan, yakni kemenangan menahan diri, menundukkan nafsu, dan memurnikan jiwa. Ramadan yang berlalu bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga latihan rohani yang menyuburkan kesabaran, keinsafan dan empati terhadap sesama manusia.
Keindahan Ramadan juga terpancar dalam cara kita berkongsi kebaikan. Misalnya, doa, tazkirah dan sikap positif di media sosial, sambil mengurangkan kata-kata yang boleh mencetuskan perselisihan atau emosi negatif. Bulan ini memberi peluang menilai semula diri. Sejauh mana kita mengenal diri, mengasah hati, memperbaiki kelemahan dan menanam tekad untuk menjadi insan yang lebih baik.
Di samping dimensi rohani, amalan berpuasa juga mempunyai hikmah dari sudut kesihatan. Tempoh menahan diri daripada makan dan minum memberi peluang kepada sistem tubuh untuk berehat dan melakukan proses pemulihan semula. Dalam perspektif kesihatan moden, amalan ini dikaitkan dengan konsep intermittent fasting (IF), yang dipercayai membantu menstabilkan metabolisme, mengawal kadar gula dalam darah, mengurangi stress serta memberi ruang kepada tubuh untuk melakukan proses detoksifikasi secara semula jadi. Tradisi makan sahur dan berbuka puasa serupa dengan pendekatan time-restricted feeding dalam IF. [1]
Nilai Ramadan juga mampu merentasi batas agama dan budaya. Di Malaysia misalnya, beberapa pempengaruh bukan Islam berkongsi pengalaman mereka mencuba berpuasa, termasuk berkongsi pengalaman bersahur di bulan Ramadan bersama para pengikut di media sosial. Di platform seperti TikTok pula, semakin banyak video memaparkan rakan-rakan sekerja bukan Islam yang turut cuba berpuasa atau berbuka bersama rakan Muslim. Walaupun bukan suatu kewajipan agama bagi mereka, perkongsian pengalaman ini memperlihatkan semangat toleransi dan kebersamaan yang mencerminkan keharmonian masyarakat Malaysia.
Ramadan sebagai madrasah pembentukan insan
Ramadan ialah madrasah kehidupan yang mendidik jiwa. Dalam diam, ia membentuk tingkah laku, mengatur emosi dan memurnikan pemikiran agar manusia lebih sedar akan tanggungjawabnya terhadap diri, masyarakat dan Tuhan. Ketika perut terasa kosong dan tekak mulai kering, kita sebenarnya sedang belajar erti disiplin diri. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengekang emosi untuk menjauhi prasangka, menahan kemarahan serta mengawal keinginan yang sering melampaui batas.
Ramadan juga menumbuhkan empati. Lapar yang dirasai membuka mata terhadap realiti golongan yang saban hari bergelut dengan kekurangan. Kesederhanaan menjadi pakaian jiwa, dan keinsafan menyelinap dalam setiap doa yang dipanjatkan. Dari sinilah lahirnya taqwa, yakni hasil utama Ramadan yang bukan sekadar terletak pada ibadah ritual, tetapi terpancar pada akhlak dan tindakan.
Taqwa bukan hanya hubungan vertikal antara hamba dan Pencipta, tetapi juga kompas moral dalam memimpin diri dan masyarakat. Ia membentuk karakter yang jujur, amanah dan berintegriti iaitu ciri-ciri yang amat diperlukan dalam keluarga, organisasi dan juga dalam kepimpinan negara.
Aidilfitri dan pemulihan hubungan sosial
Jika Ramadan mendidik jiwa secara peribadi, Aidilfitri pula merawat hubungan secara sosial. Tradisi memohon maaf dan memulakan lembaran baharu bukan sekadar adat, tetapi pengakuan bahawa manusia tidak terlepas daripada khilaf. Dengan lafaz “maaf zahir dan batin,” kita meruntuhkan tembok ego dan membuka ruang perdamaian. Silaturrahim yang disuburkan pada Syawal menjadi asas kestabilan sosial.
Dalam konteks masyarakat Malaysia majmuk, budaya rumah terbuka menjadi simbol keterangkuman. Ia menzahirkan semangat saling menghormati dan berkongsi kegembiraan tanpa mengira latar belakang agama dan budaya. Dengan cara ini, Aidilfitri melampaui batas peribadi dan menjadi jambatan sosial yang mengikat kepelbagaian dalam satu rasa kemanusiaan bersama.
Dari ibadah kepada amanah
Namun, makna Aidilfitri akan menjadi dangkal jika nilai Ramadan tidak diterjemahkan dalam amanah seharian. Integriti yang dipupuk sepanjang bulan suci wajar menjadi asas dalam setiap peranan yang digalas. Dalam keluarga, ia bermakna mendidik dengan kasih dan keteladanan, bukan sekadar kata-kata. Dalam perkhidmatan awam dan tadbir urus, ia menuntut akauntabiliti, ketelusan dan keberanian untuk melakukan yang benar meskipun sukar.
Aidilfitri mengajak kita berhenti sejenak untuk bermuhasabah sebagai individu dan sebagai bangsa. Apakah kita masih memelihara nilai yang diasuh Ramadan, atau ia pudar seiring berlalunya Syawal? Perayaan ini bukan sekadar pakaian baharu dan juadah yang melimpah, tetapi titik renungan nasional tentang arah tuju masyarakat yang ingin kita bina.
Semoga semangat Ramadan tidak berakhir dengan laungan takbir terakhir di pagi Syawal. Biarlah ia terus hidup dalam tutur kata yang santun, dalam keputusan yang adil, dan dalam tindakan yang penuh ihsan. Aidilfitri seharusnya menjadi titik pengukuhan keluarga, penyatuan komuniti dan pemantapan negara.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.
Rujukan
[1] Najwa Saffa Ameera, Fatoni., Amanda Kayla Putri., & Nasywa Khalda Naura. (2024). Intermittent Fasting: Keterkaitannya dalam kesihatan dan Islam. VitaMedica: Jurnal Rumpun Kesehatan Umum. Vol.2 (4). ↩︎


