Sepanjang hidupnya, atuk saya, Hassan bin Kadir (w. 2011), hanya mempunyai dua kerjaya. Pertama, sebagai penebang balak, dan kedua, sebagai pemandu teksi yang kerjanya berbolak-balik antara pekan Kuala Terengganu dengan Kuala Berang untuk mencari penumpang. Tubuhnya kecil kalau diikutkan ukuran umum orang Asia. Langkahnya perlahan dan bicaranya juga tidak banyak. Dia lebih sering merenung dan sangat memilih dalam berkata-kata. Seperti kebanyakan orang, dia terpaksa memeras tenaga dan keringat, bergantung hidup pada tubuh badan sendiri dan budi orang semata-mata. Luka, patah malah ditipu orang sudah menjadi perkara biasa bagi Hassan.
Namun, dalam kesederhanaan hidup itu, Hassan tetap menjadi perhatian orang. Dia bukan seorang penebang balak dan pemandu teksi yang biasa-biasa. Ada semacam kewibawaan dan karisma pada diri Hassan yang tiada pada teman-teman seangkatannya. Ramai orang, baik tua atau muda, jauh atau dekat, sering bertandang ke rumahnya, walaupun sekadar untuk bertanya khabar. Hassan dikenali ramai, bukan sahaja dalam kalangan buruh balak dan pemandu teksi. Malah, di luar dua lingkungan itu, dia lebih dihargai dan dicurahkan segala penghormatan.
Bagaimanapun, sanjungan yang diterima Hassan itu bukan sesuatu yang pelik, kerana di sela-sela waktu selepas memburuh, dia juga adalah seorang guru silat gayong dan pembuat hulu keris. Anak-anak murid yang berguru dengannya ramai dari kampung-kampung sekitar. Dalam ranah persilatan ini, sosok Hassan sebagai penebang balak dan pemandu teksi yang tidak diraikan itu seakan-akan menghilang. Biar masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dengan kewibawaan yang dimilikinya, Hassan melahirkan ramai pewaris dan anak murid. Mereka menjalani hidup dalam adab, disiplin dan sikap yang tersendiri, baik dalam menuntut ilmu ataupun dalam hubungan sesama manusia. Orang menghormati Hassan kerana dia mengajar silat.
Tetapi kita tahu bahawa ada perbezaan antara berguru dengan belajar, biarpun kedua-dua kata ini dekat penggunaannya. Dalam berguru, kehadiran sosok guru dalam proses pengajian lebih jelas dan dirasai. Wujud pertalian yang erat antara seorang guru dengan anak murid atau penuntutnya. Seseorang guru itu juga diketahui memiliki ilmu dan diiktiraf oleh masyarakat, atau paling tidak, diakui oleh orang dalam disiplin yang sama. Hubungan yang dijalinkan antara guru dengan pelajar adalah lebih rapat, langsung dan peribadi. Sebaliknya, belajar boleh terjadi tanpa kehadiran sosok guru secara langsung. Ada jarak yang lebih lebar dalam hubungan antara pelajar dengan guru dalam proses ini. Kita boleh sahaja belajar sendiri, misalnya dengan membaca buku.
Malah, jika kita menyorot sejarah, kita akan menemui bahawa sejak dahulu tradisi menuntut ilmu setidak-tidaknya di alam Melayu adalah tradisi berguru. Kita dibesarkan dengan tradisi menyanjung guru, walau apa pun yang dipelajari, baik ilmu agama, pertahanan diri, mahupun seni budaya. Lihat misalnya tradisi pengajian ilmu agama di sekolah-sekolah pondok yang bukan sahaja bersifat tempatan, malah terhubung dengan rangkaian keilmuan dunia Islam yang lebih luas.
Dalam berguru, ilmu bersifat berangkai, diperturunkan, dan dipertanggungjawabkan. Jejak, rantaian, sanad, atau silsilah sesebuah ilmu itu turut dipertegas, bukan hanya isi pembelajarannya. Kerana itu usaha berguru menuntut adab dan disiplin tertentu. Malah, seseorang murid kadangkala perlu menunggu dan membuktikan kesungguhannya sebelum diterima untuk berguru.
Kini, kita barangkali sudah jarang menemukan amalan berguru ini dalam pendidikan moden, yang umumnya bersifat formal dan semakin menjauh daripada tradisi. Dalam pendidikan gaya moden, proses belajar bukan lagi menjadi suatu proses menuntut ilmu semata-mata, tetapi sebuah rutin akademik untuk mempersiapkan diri dalam pasaran kerja. Malah guru akhirnya menjadi tidak lebih daripada penyampai maklumat yang bekerja melalui prosedur-prosedur rasmi.
Dalam kerangka pendidikan moden yang semakin digerakkan oleh sistem, data, dan prestasi, kita barangkali sedang berhadapan dengan krisis yang lebih halus dan mendasar, iaitu hilangnya hubungan peribadi antara guru dengan murid—hubungan yang pernah Hassan bin Kadir atau ramai lagi guru lain bangunkan bersama para penuntut mereka dalam tradisi berguru.
Izzuddin Ramli merupakan seorang penulis, penterjemah, dan penyunting. Beliau menguruskan portal esei Suara Nadi dan mengendalikan audio siar Bual Nusantara.