Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan. Bagi saya, memang ada benarnya dengan kata-kata itu. Semakin jauh destinasi kita, semakin panjang masa yang boleh diambil untuk merenung perjalanan kehidupan. Tetapi tidak pelik jika ramai yang mengeluh apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Saya sendiri tidak terkecuali sehingga kadang-kadang hati menjadi tidak senang. Namun, jika kita mampu bertenang, banyak pengalaman yang boleh ditimba semasa memandu di jalan raya, atau sekadar menjadi penumpang dalam kereta yang dipandu orang lain.
Ketika saya masih di usia remaja, musim cuti sekolah selalunya bermaksud “cuti-cuti Malaysia” ke Cameron Highlands. Sebelum menjelangnya subuh, saya dan seluruh ahli keluarga sudah bersiap-sedia di dalam kereta Toyota Land Cruiser milik ayah. Untuk berjalan jauh, ada bekal makanan ringan yang kami bawa bersama supaya pemandu tidak mengantuk dan juga untuk mengubati kebosanan para penumpang. Pada masa itu, perjalanan dari Pulau Pinang ke Brinchang mengambil kira-kira lima jam tanpa menggunakan sebarang aplikasi GPS. Namun, sebagai seorang ulat buku, waktu perjalanan tidak terasa lama kerana saya biasanya akan sibuk membaca komik, sementara ayah memandu kereta.
Hakikatnya, masa yang diluangkan dalam perjalanan di lebuhraya pada zaman tanpa Internet lebih membuka minda. Tiada perkara lain yang boleh dilakukan di dalam kereta selain daripada bersembang, menikmati pemandangan, membaca buku, mengunyah makanan, atau tidur lena. Boleh dikatakan bahawa masa yang diluangkan sebegini memberi peluang untuk saya berfikir secara lebih mendalam, sambil melihat ladang-ladang kelapa sawit, pokok getah, dan sawah padi di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Apabila berada di laluan berliku seperti di kawasan Tapah pula, bermacam-macam fikiran yang terlintas di minda: apa yang akan berlaku sekiranya kereta yang dipandu terbabas ke tebing jalan yang sempit itu, atau apakah rasa buah petai dan durian yang banyak dijual oleh Orang Asli di tepi jalan.
Pengalaman sebagai seorang penumpang adalah berbeza jika dibandingkan dengan memandu sendiri. Apabila sedang memandu, kuasa untuk menentukan pergerakan kenderaan berada dalam tangan sendiri. Arah perjalanan, kelajuan, dan keselamatan untuk sampai ke destinasi semuanya bergantung kepada si pemandu. Sewaktu saya baru mendapat lesen pemandu, saya beria-ia memandu kereta Proton Saga lama saya kerana dapat keluar dari rumah tanpa perlu bergantung harap kepada ibu bapa.
Sebagai seorang pemandu baharu, kelajuan biasanya menjadi keutamaan saya. Ada keinginan untuk mencabar diri sendiri supaya sampai ke destinasi dengan cepat. Jika difikirkan semula, saya bersyukur kerana tidak pernah terlanggar orang lain kerana tidak berfikir panjang dan naif pada masa itu. Sekarang, saya baru sedar mengapa saya hanya dibenarkan memandu kereta Proton Saga yang usianya lebih tua daripada saya dan keras bagaikan kereta kebal itu: jika tercalar tidaklah terlalu sakit hati.
Sebagai seorang pemandu dewasa yang berfikiran lebih matang, keselamatan untuk sampai ke destinasi pula yang menjadi keutamaan saya, seperti mana cogan kata yang sering dipaparkan di lebuh raya, ‘pandu cermat jiwa selamat’. Selain aspek keselamatan, banyak hal lain yang boleh dilalui semasa memandu di jalan raya, bergantung kepada siapa yang turut berada dalam kereta, ataupun sedang memandu seorang diri.
Perasaan semasa memandu ke tempat kerja setiap pagi agak bercampur-aduk. Seperti orang lain, saya selalunya tersekat di jalan raya yang sesak. Namun demikian, kerana keadaan trafik yang perlahanlah saya berkesempatan melihat bangunan-bangunan dan persekitaran dengan lebih teliti. Ketika tersekat di jalan raya saya dapat menikmati indahnya bunga-bunga kecil berwarna ungu dan kuning yang tumbuh secara liar di tebing jalan sepanjang Jalan Scotland. Walaupun terperangkap dalam kesesakan jalan raya dengan bau ekzos kenderaan, ia mengingatkan saya kepada anugerah Tuhan dan kemegahan alam semula jadi.
Jika tidak kerana kesesakan lalu lintas, saya sudah tentu akan terlepas pandang dengan segala keindahan yang ada di sepanjang perjalanan. Ia menjadi pengajaran kepada saya untuk kekal tabah walaupun sentiasa berhadapan dengan cabaran hidup. Jikalau bunga kecil pun boleh hidup dalam keadaan kotor dan panas, maka sebagai seorang insan yang mempunyai bumbung di atas kepala, tiada apa-apa alasan untuk saya mengeluh dan gagal dalam apa jua yang saya lakukan.
Sekarang, hidup menjadilebih mudah dengan adanya perkhidmatan e-hailing. Saya sering menggunakan perkhidmatan itu jika saya malas memandu kereta sendiri atau susah mendapatkan tempat letak kereta. Pengalaman sebagai penumpang GrabCar agak menarik kerana kita akan bertemu dengan pelbagai karenah pemandu. Ada pemandu yang pemagrablu orangnya, dan ada juga yang jenis mulut murai. Namun, apa yang saya nikmati ketika dalam perjalanan sebegini adalah peluang untuk melihat seni bina bangunan dengan lebih terperinci.
Memandu bukanlah semata-mata untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Kadang-kadang, memandu tanpa hala tuju juga dilakukan untuk melapangkan minda yang bercelaru. Bagi mereka yang sering memandu kereta, segala fungsi dan koordinasi mata, tangan, dan kaki seolah-olah menjadi automatik. Kita tidak perlu banyak berfikir dan cuma perlu memberikan perhatian supaya tidak terlibat dalam kemalangan.
Memandu menjadi naluri semula jadi dan boleh menyenangkan fikiran, terutamanya jika tiada kesesakan lalu lintas. Dalam proses memandu kereta tanpa tujuan yang tetap, seseorang itu boleh meneroka tempat yang tidak pernah dilewati dan berkemungkinan dapat mencari inspirasi dalam kehidupan. Malah, sebagai seorang pemandu di Pulau Pinang, saya selalunya akan terjumpa tempat makan baharu sekiranya tidak dikejar masa.
Walau apa pun tujuan berada dalam kenderaan, baik sebagai pemandu ataupun penumpang, ada hikmahnya untuk berfikir secara lebih mendalam tentang aktiviti yang sering diambil mudah ini. Bagi saya, memandu merupakan kemahiran hidup yang wajib dimiliki oleh semua orang walaupun tidak memiliki kereta sendiri. Memang ada baiknya jika dapat menggunakan kenderaan awam. Namun, jika seseorang perlu bergantung sepenuhnya kepada kenderaan awam atau orang lain, maka bagi saya sebahagian kebebasan diri akan terkorban.
Dr. Beh May Ting merupakan penyelidik projek di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute. Beliau mendapat ijazah sarjana kedoktoran dalam bidang antropologi dari Monash University, Malaysia.