Ramai orang tidak menyukai pemandu Pulau Pinang. Bagi mereka, kebanyakan pemandu kereta di Pulau Pinang tidak tahu cara untuk memandu. Stereng kereta seolah-olah dikendalikan tanpa kewarasan, dan kereta masing-masing memang sejak dikeluarkan dari kilang tidak dilengkapkan dengan lampu indikator. Justeru, bukan sahaja orang luar, malah orang Penang sendiri kerap meradang apabila terperangkap dalam lalu lintas di Pulau Mutiara ini.
“Hang nak pi mana?” adalah soalan yang sering ditanya biarpun si penanya tidak berniat untuk mendapatkan jawapan. Malah, pertanyaan tersebut sebenarnya menjadi suatu bentuk luahan kemarahan terhadap sang pemandu yang kelihatan tidak tahu arah tuju atau gagal memberi “signal”. “Hang nak pi mana?” adalah ungkapan sopan kepada, “Bodoh! sat ke tepi, sat ke tengah. Tak tau jalan ka? Awat patah ka tangan kalau bagi signal? Bawak kereta macam bawak lori.” Begitulah keadaannya.
Pendek kata, tidak sedikit daripada kita yang menganggap pengalaman memandu di Pulau Pinang seperti semusim berada di “neraka”—kalau tidak kena dengan gayanya. Jika kita membuat sedikit carian di atas talian, kita bakal menemui ribuan tulisan yang menghamburkan sumpah seranah kepada para pemandu Pulau Pinang. Antaranya adalah seperti tulisan yang menyenaraikan sembilan kebimbangan atau ketakutan para pemandu dari Kuala Lumpur ketika memandu di Pulau Pinang.
Antara lain, “laporan” portal Says mendakwa bahawa pemandu berplat P adalah “gila”, tidak boleh dijangka pergerakannya kerana menukar lorong dan juga memberhentikan kereta mereka di tepi jalan sesuka hati. Tambah meresahkan, jalan rayanya juga tidak begitu lebar, bahkan ada antaranya yang begitu sempit. Meski sempit, pemandunya tidak peduli.
Terdapat sebuah portal berita yang menuliskan bahawa pemandu di Pulau Pinang sebenarnya bukanlah “ahli neraka” seperti yang dipercayai ramai. Laman CilisosMY, sebuah penyedia kandungan yang terkemuka, telah mengambil inisiatif untuk ke Pulau Pinang dan menjalankan pemerhatian mereka sendiri ke atas gaya pemanduan kereta dengan plat P. Secara ringkas, dapatan kajian mereka membuktikan bahawa persepsi bahawa pemandu Pulau Pinang adalah gerombolan yang biadab, tidak bertimbang rasa, tidak tahu memberi isyarat ketika membelok, tidak pernah berterima kasih jika diberi laluan, adalah kes-kes terpencil dan sangat minoriti.
Saya sendiri mengambil masa yang cukup lama untuk mencari tahu dan memeriksa sendiri keadaan lalu lintas di negeri saya ini, untuk menentu ukur seberapa “gila”nya pemandu Pulau Pinang. Satu, kerana saya sudah lama merantau di ibu kota Kuala Lumpur (yang tidak kurang gila juga trafiknya). Dua, kerana saya bukan orang yang suka ikut serta dalam kemeriahan berjalan-jalan di hujung minggu; suatu tempoh di mana seluruh negara seolah-olah turun melancong ke Pulau Pinang, dan menyebabkan jalan raya sesak dan begitu menyeksakan.
Saya lahir dan membesar di George Town, di sebuah kampung di tengah bandar berjarak sekadar lima minit dari bangunan tertinggi Pulau Pinang, KOMTAR. Saya mula memandu agak lewat, kerana merantau mencari ilmu sebaik sahaja menghabiskan sekolah menengah. Kemudian, saya terus merantau keluar dari pulau, mencari rezeki dan berkiprah di ibu negara. Maka, hanya pada tahun 2022 saya betul-betul menekuni adat budaya memandu di Penang.
Dalam tempoh terbabit, saya amat yakin dan percaya bahawa a) tekanan darah tinggi saya semakin meningkat, dan b) pemandu Pulau Pinang sebenarnya sangat cekap dan efisyen. Kecekapan ini dapat dilihat apabila ramai pemandu yang tidak gemar menggunakan lampu isyarat ketika ingin membelok. “Orang belakang dah tau kita nak pi mana,” ujar ibu saya, seorang yang sangat berpengalaman memandu di Pulau Pinang.
Salah satu lagi ulasan beliau berbunyi: “Kalau boleh drive kat Penang, kat mana-mana pun kita boleh drive.” Dengan penuh keyakinan. Ini adalah orang sama yang enggan memandu di Kuala Lumpur kerana bagi beliau, semuanya jauh. Di Pulau Pinang, semuanya hampir boleh dicapai dalam masa kurang 30 minit jika memandu. Kerana itulah saya mengatakan bahawa pemandu di Pulau Pinang cekap dan efisyen belaka.
Bayangkan jika anda memandu dari Jelutong ke Bayan Lepas. Ada dua laluan utama: yang mengikut jalan tepi laut, dan yang menembusi kawasan dalam; dari Jelutong, Gelugor, Batu Uban, Sungai Nibong, Bayan Baru, dan tahu-tahu saja anda sudah tiba di Bayan Lepas dalam tempoh kurang setengah jam. Jika jalannya sesak, masa yang diambil akan sedikit lama. Berbeza dengan negeri-negeri lain, masa setengah jam (selalunya) adalah tempoh bersesak dari Subang ke Petaling Jaya, di atas Lebuh Raya Persekutuan.
Tidak di Pulau Pinang. “Penang besaq kelemboi,” kata orang. Semua tempat adalah dekat. Kerana Pulau Pinang saiznya kecil, negeri ini kadangkala dianggap sebagai “neraka” buat para pemandu tempatan apabila gerombolan pelancong memenuhi jalan raya, mencari tempat-tempat makan di serata pelosok negeri—dalam keadaan mereka langsung tidak tahu hala tuju mereka.
Hal ini belum dicampur dengan usaha kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu untuk menyuraikan trafik yang kian sesak, dengan menambah bilangan laluan masuk ke Pulau Pinang, serta melebarkan jalan raya sedia ada supaya kenderaan yang datang dengan jumlah yang banyak tidak perlu bersesak secara memanjang, tetapi bersesak secara melebar. Ya, bunyi “pap!” yang anda dengar itu adalah bunyi seluruh rakyat negeri ini menepuk dahi serentak. Seperti mana mereka menepuk dahi apabila melihat kenderaan dari Johor teraba-raba dalam terang menukar fikiran mahu masuk lorong mana untuk menuju jambatan pada petang Ahad. Secara berjemaah, tentunya.
Pendek kata, memandu di Pulau Pinang adalah suatu kegiatan yang penuh dengan maki hamun dan rasa tertekan. Mungkin itu sebabnya negeri ini memiliki tempat-tempat makanan sedap supaya kemarahan itu dapat diredakan—dengan nasi kandar kuah banjir misalnya. Mungkin itulah juga yang dicari oleh para pelancong yang datang ke sini. Keadaan kausa dan akibat di mana rasa terseksa memandu dapat didamaikan dengan makanan sedap-sedap yang tiada di tempat asal mereka.
Walau apapun, tidak kiralah di mana kita berada, baik di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur, kita perlu senantiasa cermat ketika memandu. Makan apa sahaja yang teringin di hati, kemudian pulang ke Kuala Lumpur dengan berhati-hati. Kami, orang Pulau Pinang pula ingin keluar memandu dengan aman dan tenteram.
Izmil Amri sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Ketika tidak makan nasi kandar, beliau sedang bersusah payah menjadi mahasiswa sains sosial, setelah bosan sekian lama menjadi operator politik. Berkicau di @The_Mamu”