Saya ingin mula dengan sebuah cerita daripada esei Umar Junus berjudul “Menggali Tradisi.” Umar Junus menggunakan cerita dua orang yang berkelahi ini bagi memperkenalkan argumen beliau mengenai tradisi dan peminjaman budaya dari barat.
Si Mulia dan Si Johny saling mengkritik pakaian masing-masing. Si Mulia terlebih dahulu mengkritik pakaian Si Johny. Katanya pakaian Si Johny tidak mempunyai keperibadian; hanya meniru pakaian orang barat yang mungkin ditontonnya dalam filem. Dikatakan juga bagaimana Si Johny yang merupakan koboi yang kehilangan kuda.
Si Johny juga tidak kehilangan akal. Dia membalas dengan kritik yang cukup pedas. Diakuinya bahawa baju yang dipakainya baju ‘pinjaman,’ tetapi ada bezanya dengan Si Mulia. Dia hanya berbangga dengan pakaian yang dipusakai oleh nenek moyangnya; tidak ada perubahan dan sama-sama tidak kreatif. Dia hanya memakai yang telah ada beberapa tahun lalu. Malah pakaiannya jadi anakronistik dengan zaman yang dihidupi.
Kita tinggalkan sekejap Umar Junus dan pergi kepada sejarah kesusasteraan Melayu. Antara kesilapan terbesar sarjana tempatan apabila menyusun sejarah kesusasteraan ialah mereka mengimport sastera barat tanpa memahami dan mengkaji secara menyeluruh karya yang mereka import. Kita ambil contoh sejarah novel. Saya akan merujuk kepada buku Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid I (susunan Safiah Hussain, Mohd. Thani Ahmad, dan Johan Jaafar), Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Novel (susunan S. Othman Kelantan dan Abdullah Tahir), dan Kemunculan Novel dalam Sastera Moden Indonesia dan Malaysia (A. Wahab Ali).
Secara ringkasnya, kita akan melihat persamaan ketiga-tiga buku ini dalam percubaan pengarang-pengarangnya untuk mengenal pasti sejarah kemunculan novel. Pertama, mereka bersetuju novel Malaysia ialah genre yang dipinjam dari barat. Maka, secara tidak langsung, mereka meletakkan novel dalam sejarah kesusasteraan moden, sementara hikayat dalam sejarah kesusasteraan tradisional. Seterusnya, mereka mengukur “kemodenan” sebuah novel beradasarkan bentuknya yang realistik. A. Wahab Ali dan Safiah Hussain sama-sama memetik buku terkenal Ian Watt, The Rise of the Novel. Mereka turut membezakan novel dengan romantika di barat yang dikatakan mirip dengan cerita-cerita fantasi dan cinta dalam hikayat Melayu. S. Othman Kelantan menulis:
“Yang dimaksudkan dengan novel dalam kajian ini ialah bentuk cereka yang menggambarkan sifat realiti kehidupan manusia melalui pemilihan watak, latar, tema dan sesuatu corak pemikiran yang jelas dan rasional. Istilah novel digunakan dengan maknanya yang longgar.”
Petikan ini sangat jelas menunjukkan bahawa S. Othman Kelantan dan Abdullah Tahir masih keliru dan tidak yakin dengan definisi yang mereka sendiri berikan. Mereka tahu sebuah novel tidak mungkin sekadar cerita “realiti kehidupan manusia” dengan “pemikiran yang jelas dan rasional.” Mereka terlalu terikut-ikut dengan sejarah yang diatur oleh sarjana barat seperti Ian Watt dan Northrop Frye, padahal pensejarahan novel oleh sarjana barat pun ada masalah besar.
Bilakah bermulanya sejarah novel? Kalau kita ingin mengikuti Ian Watt, novel bermula pada abad ke-18 di England dengan Robinson Crusoe (1719). Salah! Ini adalah antara penipuan terbesar dalam sejarah kesusasteraan dunia. Kalau betul Robinson Crusoe ialah novel pertama, bagaimana dengan karya agung Miguel de Cervantes Don Quixote (1605)? Ini bukan sahaja novel paling berpengaruh dalam sejarah sastera Amerika Latin, tetapi gaya penulisan novel ini sangat mirip dengan novel-novel eksperimental barat pada abad kedua puluh. Maka analogi Umar Junus tadi tidaklah betul sepenuhnya. Pakaian Si Mulia yang anakronistik itu mungkin boleh menjadi fesyen garda depan seratus tahun akan datang. Steven Moore dalam bukunya The Novel: an alternative history menyusun sejarah novel dari abad ke-4 dengan contoh teks merentas benua dari barat ke timur. Antara yang terkenal ialah novel Murasaki Shikibu, The Tale of Genji yang dikarang pada abad ke-11.
Persoalan kedua, adakah bentuk realistik segala-galanya dalam sebuah novel? Sudah tentu tidak. Kalau menurut Northrop Frye, novel Emily Bronte Wuthering Heights ialah sebuah romance. Namun kisah cinta Catherine dan Heathcliff terasa lebih “realistik” daripada mana-mana novel cinta popular yang ada di pasaran. Saya rasa pengalaman sama apabila saya membaca Sejarah Melayu. Cerita-cerita di dalamnya lebih relevan dengan politik hari ini berbanding mana-mana novel Shahnon Ahmad. Justeru “pakaian pusaka” boleh sahaja jadi “pakaian koboi,” dan “pakaian koboi” menjadi “pakaian pusaka.” Sejarah tidak bergerak dalam garisan lurus seperti panah yang keluar dari mulut busar. Sejarah kadang-kadang boleh muncul di masa depan untuk mengubah sejarah di masa lalu.
Pendirian saya dalam isu menggali tradisi dan membina sejarah kesusasteraan ini ialah saya tidak menolak mana-mana daripada pakaian Umar Junus. Yang penting ialah kita faham sejarah jahitannya. Kalau ingin memakai baju Si Mulia, maka ukurlah baju Si Mulia mengikut budaya dan tradisinya. Dan kalau nak pinjam baju seperti Johny, maka fahamilah terlebih dahulu sejarah baju tersebut. Barangkali, sebenarnya, tidak ada beza pun pakaian seorang koboi dan pakaian seorang pendekar.
Wan Nor Azriq merupakan seorang novelis kelahiran Alor Setar. Beliau telah menerbitkan tujuh buah buku, antaranya novel berjudul D.U.B.L.I.N. yang memenangi Sayembara Penulisan PENA-BH pada 2014. Beliau kini bekerja sebagai Penolong Naib Presiden di bank MIDF. Esei ini lahir daripada karya yang pernah terbit dan hilang di ruang lain sebelum ini.