Untuk menunjukkan rasa syukur, saya menulis ini. Ini adalah coretan saya kerana menjadi anak Melayu Malaysia. Yang lidah dan mulutnya pernah merasakan kekayaan dan kenikmatan rasa makanan. Berjalanlah jauh ke bucu dunia mana pun, rasa makanan Melayu juga yang terkenang-kenang (dan sudah pastilah makanan yang bukan Melayu juga).
Kerana selalu merasai kenikmatan itulah barangkali kenapa kita jarang bersyukur dan tidak menghargai makanan yang pernah kita rasai—moga-moga janganlah sampai kita papa seterusnya kelaparan—barulah kita teringat untuk berharap-harap dan mencari syukur kerana sudah hilang nikmat yang kita miliki. Kerana itu, teruslah juga saya menulis ini.
Lahir di Malaysia, sebagai anak Melayu pula—walaupun ada juga darah Bangkinang dan Banjar dari ayah dan mak saya—makanannya mahu tidak mahu mewarnai kerumitan keperibadian seseorang, termasuk saya.
Melayu tidak seperti tempat, lokasi dan daerah, ia berlegar dalam ruang yang lebih abstrak, berbelit namun sangat senang dijiwai. Ia dijiwai dengan lingua-francanya, orang-orangnya, psike beraja yang feudalistik dan sudah tentu dengan akhlaknya yang muluk. Sementara yang jelik, selalunya senang saja kita humban. Siapa yang mahu dikaitkan dengan kejelikan? Betul tidak?
Malahan, lebih daripada itu, menjiwai Melayu juga boleh ditelusuri dengan makanan sehari-hari. Bahkan dengan makanan tumbuh pula memori yang menjalar dalam akal budi kita. Kerana kekayaan rasa dalam budaya pemakanan kita, terbit citarasa yang besar. Tidaklah melebih-lebih jika dikatakan bahawa orang Melayu umumnya memilih makan. Citarasa yang kompleks telah terbina lantaran kepelbagaian juadah yang ada terhidang di depan kita saban hari. Kerumitan itu bahkan terakam dalam sebuah babak Seniman Bujang Lapok.
“Aku tidak akan ampunkan dosamu dari dunia sampai akhirat, keluar kau dari sini, keluar!”
“Jikalau kanda nak mengusir dinda dari sini ke manalah dinda nak menumpang diri kanda”
“Arrhh, aku tak peduli apa yang akan terjadi kepada diri kau, kalau kau tak mau keluar aku akan pancung leher kau!”
“Sampai hati kanda nak memancung dinda, sampai hati kanda!”
“Sampai hati? Kau juga sampai hati membuat aku begitu, bukankah kau tahu kesukaan aku adalah belacan, kenapa kau tak mahu masak sayur asam tak mau campur belacan ?”
Ungkapan dialog S. Kadarisman dan Hashimah Yon menjadi rakaman kecil kebudayaan kita. Mahu tidak mahu orang Melayu sangat cerewet dengan makanannya. Sehingga kita akan bertemu orang yang hilang seleranya apabila satu ramuan tidak diletakkan dalam hidangan seharian. Dan dalam kes S. Kadarisman—sanggup dipancung kepala si isteri. Ada kebenaran dalam babak itu. Ia menunjukkan kerumitan lidah rasa orang Melayu. Nasib baiklah pula ada watak Sudin yang mewakili ketidaktaksuban orang Melayu. Memberi ingatan, makanan bukanlah satu hal yang sakral sehingga perlu berbunuhan sesama sendiri.
Saya tidak percaya orang akan berbunuhan kerana sehidang makan. Melainkan mereka itu sudah mabuk, tamak dan gila. Entah-entah watak S. Kadarisman itu memang watak raja atau pembesar yang gila. Kekayaan kita dengan pelbagai citarasa makanan membuat orang Melayu begitu saya kira. Kita menghargai makanan yang asli, lidah kita mahukan sesuatu yang ampuh—atau mungkin juga ia menjadi eskapisme ketika menjalani hari-hari yang payah.
Malangnya, makanan Melayu itu sering juga menjadi sasaran orang-orang yang sudah kurang akal budinya. Menyasarkan makanan yang sinonim dengan budaya, memori, dan tradisi boleh dianggap tindakan yang jelik dan janggal.
Ketika saya menyebut budaya akal budi kita terpendam dalam cara kita menghargai makanan, saya sebetulnya sedang mengaitkannya tentang kenangan dan ingatan. Ada satu pengalaman tentang makanan yang sifatnya begitu peribadi. Dan saya percaya ramai antara kita memiliki ingatan tentang makanan-makanan yang kita besar kerananya.
Dalam hal ini, untuk saya adalah nasi lemak. Sebuah makanan yang dikenal dengan bungkusan daun pisangnya. Ia dibungkus supaya senang dibawa kemana-mana. Seakan onigiri dalam budaya Jepun, atau sandwich dalam budaya Barat dan Eropah. Nasi lemak itu mahu tidak mahu meresap lama dalam budaya Melayu:
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih saya turutkan.
Untuk mengatakan nasi lemak itu makanan Malaysia, tidaklah salah. Namun sejarah dan kebudayaannya terpaut dengan sejarah dan psike Melayu—atau setidak-tidaknya untuk saya pada denting pukul satu jam bandul gantung di Batu Satu, Temerloh.
Alunan Für Elise digital yang menyeramkan membuat saya tidak tidur lena. Kemudian ada bunyi tapak kaki di bawah rumah itu. Sok sek sok sek sok sek. Saya lurutkan selimut, dan berjalan. Mata kecil berusia 8 tahun mencari cahaya terang bawah rumah. Entah berapa kaki sepupu yang saya pijak. Kami tidur bersepah ketika berkumpul ramai-ramai di rumah itu sewaktu cuti sekolah. Di pintu tangga saya melihat Wo (Allahyarhamah) mengemaskan sabut kelapa. Saya turun perlahan-lahan meniti tangga tinggi itu.
“Wo buat apa?”
“Eh ekau, lambek tido! Dah, poei ate tu, ayah ekau marah nanti!”
“Wo buat apa?”
“Ni ngomeh sabuk kelapo ni!”
Saya memandang sabut kelapa di tepi dapur itu.
“Sabut kelapa nak buat apa?”
“Nak buek nasik lomak ekau pagi besok!”
Anak kecil itu tersenyum melihat Wo turut tersenyum. Orang tua itu, memang sentiasa tersenyum walaupun ketika dia marah-marah. Bagi anak kecil, bebelan orang tua adalah marah. Tapi entah kenapa, marah Wo terasa penuh kasih.
“Dah-dah, naik ate,” tangannya menarik tangan memimpin saya naik ke atas semula.
Sabut-sabut kelapa itu adalah ramuan rahsia nasi lemak enak air tangan Wo. Walaupun mak saya tahu resepinya, saya fikir ia tidak dapat mengalahkan nasi lemak Wo. Keringat yang tumpah kerana menanaknya, kipasan arang sabut yang berasap tebal. Tumisan lada yang teliti dan tentunya kesederhanaannya. Tanpa ayam goreng, sambal sotong, rendang, sosej atau lauk pauk mewah yang lain. Cukup dengan sambal bilis dan nasi tanak di atas sabut itu. Nasi lemak jadi sungguh istimewa.
Kesederhanaan itu masih menjadi tradisi ketika emak membuat nasi lemak Wo. Namun, menanaknya di atas api sabut kelapa? Ini tinggal memori. Mak tidak memakai sabut kelapa untuk menanak nasi. Sebuah visual kenangan yang mengikat saya dengan sebuah makanan. Selepas mendapat visual itu, sukar sekali untuk menganggap nasi lemak yang lain lebih hebat daripada apa yang disediakan Wo. Mungkin kerana memori itu, ia menangkap citarasa.
Kalau saya pun dijangkiti taksub, tidak adalah nasi lemak yang lebih istimewa selain nasi lemak Wo itu. Memori ini membuat saya bersyukur. Membuat saya lebih menghargai ritual sesuatu makanan. Kerana ada sejarahnya yang begitu peribadi, istimewa kerana tradisi yang dibawanya—tanpa suntikan fusion, dan pelbagai dakwaan yang begitu jauh dan diada-adakan—ia begitu sederhana.
Zahid M. Naser adalah seorang penulis, penterjemah dan penyunting.