Jika ke Tanjung (sebutan penduduk tempatan untuk bandar George Town), salah satu tempat yang wajib dikunjungi adalah pasar di Lorong Kulit, juga disebut sebagai “Rope Walk.” Pada awalnya pasar ini berada di Jalan Pintal Tali. Namun, atas desakan penduduk setempat kerana jumlah peniaga yang semakin padat, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mencadangkan agar mereka berpindah ke Lorong Kulit pada tahun 1992. Lokasi sekarang terletak bersebelahan Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Kedudukan sekarang cukup strategik kerana pasar ini terletak di daerah pusat kawasan tumpuan orang ramai. Tidak kurang juga ada Hospital Pulau Pinang dan restoran Nasi Kandar Sulaiman di kawasan berdekatan.
Sekali imbas, pasar Rope Walk seperti pasar karat. Apa sahaja barang lama, daripada sekecil-kecil benda seperti pemutar skru sehinggalah kepada kuda kayu mainan anak orang kaya-kaya zaman dulu ada di situ. Konsep tapak berniaga begitu ringkas, ada yang menghamparkan kain dan payung manakala yang lain hanya melonggokkan barangan jualan di atas tikar. Ada satu jenaka yang umum diketahui: seandainya barang anda hilang di sekitar Tanjung, anda boleh jumpa semula di Rope Walk keesokan harinya!
Bagi saya, Rope Walk bukan pasar biasa; ia merupakan sebuah muzium hidup. Barang-barang lama yang diperdagangkan di situ memiliki cerita panjangnya sendiri. Menjadi satu pemandangan biasa di sesetengah tapak niaga, orang ramai daripada pelbagai latar belakang mengerumuni si penjual dan membelek-belek barang dagangan. Jika dilihat kepada cara berpakaian, ada daripada mereka itu pekerja kerajaan, peniaga, orang kaya mahupun biasa; semuanya mampu melakukan tawar-menawar, berbual tentang keadaan barang dan kegunaan barang-barang yang dijual. Sesi tawar-menawar yang diselangi dengan gelak ketawa adalah perkara biasa di situ. Ada barang yang dianggap sampah bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi orang lain. Sebagai contoh, pemetik api, wayar pengecas telefon lama, kad tambah prabayar dan bermacam-macam lagi.
Perasaan tertanya-tanya dalam diri datang secara tiba-tiba , terhanyut dalam nostalgia apabila menjenguk segala barangan yang dijual di situ. Anehnya, sesetengah barangan itu tiada kaitan langsung dengan diri saya. Kenapa orang dewasa yang baru menginjak umur 30-an ini boleh menghabiskan masa membaca buku log pengakap tahun 1970 milik seorang budak Cina? Mengapa dia menjual buku itu? Adakah dia masih hidup? Apakah yang terjadi dalam kehidupannya? Apakah keluarga dia yang menjual buku itu? Banyak lagi persoalan yang bermain dalam kepala. Saya dapat membayangkan perjalanan barang-barang itu, dari zaman gemilangnya sehinggalah terpuruk Rope Walk, menyinar dalam antik karat sambil menjerit meminta-minta diambil oleh pemilik baru.
Kemudian untuk seketika, di sebalik rindu yang tiba-tiba muncul itu, akal saya membentak; zaman yang saya kira seronok itu mungkin perit bagi sesetengah orang. Cukuplah kita insaf apabila membaca bahagian-bahagian luka dalam sejarah walaupun kadang-kadang ada keindahan dalam kenangan, tambah-tambah lagi apabila kita melepasi ujian dan liku kehidupan yang mencengkam. Pahit yang pada mulanya dianggap lalu di mulut sahaja, pada hakikatnya kekal.
Bagi generasi muda, selain melihat alat atau mesin yang digunakan oleh orang terdahulu, mereka boleh mengambil iktibar untuk terus terlibat dalam persaingan sains dan teknologi. Contoh mudah boleh dilihat pada alat seterika tradisional yang lebih berat dan renyah penggunaannya berbanding seterika zaman sekarang. Tanpa penggunaan elektrik, orang zaman dahulu perlu menggunakan arang bagi menghilangkan kedut di pakaian. Kerjanya renyah: bakar kayu arang sampai jadi bara kemudian masukkan ke dalam seterika.
Satu perkara yang dimiliki oleh semua barang ini adalah ketidaksempurnaan. Ia compang-camping, pecah, berkarat, atau tidak berfungsi langsung. Pada zaman kecerdasan buatan dan algoritma ini, ketidaksempurnaan itu satu perkara yang bernilai, ia dekat dengan jiwa manusia yang sememangnya diciptakan sebegitu. Hal ini memberikan makna terhadap kehidupan. Kehidupan yang terisi dengan harapan. Apalah erti hidup ini jika semuanya sempurna bukan?
Muhammad Amirul Naim Rosmi merupakan Eksekutif Pengedaran di Penang Institute. Beliau mendapat pendidikan dalam bidang Kemanusiaan dengan pengkhususan Sejarah dan Tamadun dari Universiti Islam Antarabangsa.