Mungkin pertanyaan pertamaku terlalu panjang sampaikan Roestam mengambil masa hampir 30 saat untuk mengeluarkan patah kata pertama. Raut wajahnya tidak keruan. Nafasnya ditarik perlahan, ditahan buat seketika, lalu didenguskan dengan matanya terpaku ke lantai. Suasana di kedai buku Riwayat pada waktu pagi tidak terlalu sibuk. Malah, boleh dikatakan bahawa kedai buku mandiri yang letaknya di Jalan Tun H.S. Lee itu jarang sekali tidak menang tangan. Pada waktu begitu, Roestam masih boleh duduk bersandar di kerusi, merenung lalu lintas yang masih lengang, sementara pembantu kedainya menanti kalau-kalau ada orang datang menjenguk. “Yang menyedihkan ada, yang menyenangkan pun ada,” kata Roestam dengan perlahan.
Setelah lama dalam industri pembuatan di Jerman, anak kepada sasterawan T. Alias Taib ini pulang ke tanah air untuk menceburi dunia baru, dunia perbukuan. Sewaktu di kota Baden Württenberg, hampir setiap hujung minggu, dia gemar meluangkan waktu di kedai-kedai buku dan hadir di pelbagai acara seni dan sastera. “Jerman ialah antara negara pencipta… Dari segi karakter, masyarakatnya bekerja keras, sentiasa berdaya saing, dan konsisten dengan segala apa yang mereka lakukan,” kata Roestam. Setiap kali ditanyakan tentang negara itu, dia akan bercerita tentang ketakjuban dan rasa bangganya kerana berpeluang merantau di sana.
Namun, ada panggilan hakiki yang mendorong Roestam untuk mendirikan Riwayat: ayahnya.
Pada usia kanak-kanak, hubungan Roestam dengan ayahnya sebagai seorang penyair tidak terlalu akrab. Dia membina minat dan kecenderungan yang jauh berbeza daripada ayahnya. Pernah dalam suatu perbualan di sebuah festival sastera dia menyebutkan, “…tiada yang istimewa. Bahasa-bahasa arwah adalah bahasa yang sederhana, tidak terlalu puitis. Saya tidak dapat menangkap pemikirannya.” Seperti Roestam, T. Alias Taib juga seorang pendiam. Penyair yang membesar dengan bayu pantai Seberang Takir itu seringkali berbolak-balik ke Terengganu. Di Kuala Lumpur, perpustakaan dan bilik kerjanya sekaligus adalah bilik tidur Roestam kecil. Kerana itu kerja mengarangnya hanya boleh berlaku ketika larut malam. Roestam tahu bahawa ayahnya seorang penulis, tetapi itu sahaja.
Meningkat dewasa, Roestam tidak lagi melihat ayahnya sebagai “penyair yang kurang berbicara dan konservatif.” T. Alias Taib sudah menjadi temannya. Bilik kerja dan perpustakaan penyair itu bukan lagi bilik tidur Roestam, tetapi gedung untuk dia teroka timbunan khazanah ayahnya. Jadi, apabila ada geligis pada kerja penerbitan semula karya-karya ayahnya oleh sebuah rumah penerbitan, Roestam terpaksa bersila dengan keluarganya. Karya-karya arwah ayah perlu diselamatkan. Tidak lama kemudian, sembilan buah buku himpunan karya puisi T. Alias Taib diterbitkan di bawah penerbit Pusaka Alias, sebuah rumah penerbitan milik Roestam dan keluarganya. Dari situ Roestam menapak ke tengah kota Kuala Lumpur, mencari bangunan untuk sebuah kedai buku sederhana.
***
Pertemuan dengan Roestam pada pagi hari minggu itu direncanakan untuk satu sesi rakaman sebuah saluran podcast yang saya kendalikan sendiri. Setelah beberapa kali pertemuan singkat, hanya sekarang dia ingin duduk bercerita. “Kalau ayah masih ada, tentu jalan ceritanya berlainan… itu kalau… bercakap tentang kalau, macam-macam boleh jadi,” rungut Roestam. Barangkali, apa yang dia maksudkan adalah, dia tidak perlu lagi terlalu bersusah-payah memikirkan cara untuk melangsaikan sewa kedai yang naik sahaja setiap tahun. Letak duduk Riwayat sangat cantik, malah strategik. Muzium, galeri seni, hotel, kafe, restoran, masjid, kuil, gereja, serta stesen bas dan LRT, jaraknya tidak habis sebatang rokok. Tetapi apakan daya, harganya juga lumayan. Rumah kedai kosong bekas bengkel motosikal yang terletak di hadapan Riwayat, harga sewanya enam ribu. Kedai mainan Thong Hock dekat sembilan ribu.
Pada suatu hari, Roestam menyangka bahawa bulan sudah jatuh ke riba. Ketika dia senang sibuk mengemas buku di kedai, Rais Yatim datang mengetuk pintu. Rais Yatim sudah jatuh cinta dengan jalan Tun H.S. Lee. Sebelum tiba di Riwayat, dia singgah bermain gambus di Rumah Gambus, sebuah lot kedai di belakang Riwayat yang harga sewanya dua kali lebih murah daripada apa yang dibayar Roestam. Rais Yatim berminat untuk membeli rumah kedai bekas bengkel motosikal tadi. “Awak ambil atas, saya ambil bawah… mana-mana yang awak suka,” kata bekas ahli politik itu. Roestam lekas menyeberangi jalan untuk pergi bercakap-berkira, dengan Soh, pemilik rumah kedai yang sudah wujud sejak sebelum Merdeka itu. Namun, mimpi indah Roestam tidak kekal lama. Esoknya, Soh datang pada pagi-pagi buta membawa khabar duka: adiknya sudah simpan kepada orang lain. Roestam kembali runsing, Rais Yatim tidak.
Bagi Roestam, kehadiran ayahnya sebagai seorang peneman pasti memberi suatu semangat lain. Sejak tahun-tahun kebelakangan, orang kembali mencari dan membaca T. Alias Taib, lebih-lebih lagi muda-mudi. Rumah-rumah penerbitan kecil-kecilan mula menerbitkan semula karya-karyanya dengan penampilan yang lebih segar. Kata orang, bahasa puisi-puisi Alias memiliki pesona dan keperibadiannya yang tersendiri. Beliau merakam wajah-wajah kemanusiaan, alam, dan kota yang pernah kita miliki dalam segala keringkasan bahasa puitisnya. Biarpun beliau tidak pernah diangkat sebagai seorang Sasterawan Negara, buku-buku beliau tetap habis dijual. Sekali lagi, itu cerita kalau ayahnya masih hidup.
Ruang Riwayat tidaklah sebesar mana, hanya 500 kaki persegi, kurang lebih sebesar enam biji bangsal burger. Dari pintu depan, ada rak buku lima tingkat yang berbaris merapati dinding kanan kedai. Jika masuk terburu-buru, orang mungkin akan tersadung pada meja pameran buku yang terletak betul-betul di sebelah kiri pintu masuk. Di tengah-tengahnya pula ada dua buah pulau yang mempamerkan buku-buku terkini. Di dinding kiri, sebuah almari berkongsi ruang dengan kaunter pembayaran dan sebuah pintu tengah yang menghubungkan Riwayat dengan tandas awam dan kedai-kedai lain, termasuklah kedai gambus Zul dan kedai batik Ruzz Gahara. Ruang belakang mungkin lebih menarik untuk orang yang datang bukan untuk membeli buku. Di situ terletaknya sofa dan alat pemain piring hitam yang sentiasa mengalun perlahan lagu-lagu balada Malaysia-Indonesia tahun 80-an. Jadi, serbaneka perabot ini hanya dipisahkan oleh laluan-laluan kecil yang hanya telus untuk satu orang.
Sebaiknya, untuk masuk ke kedai Roestam, kita mulakan langkah sehala dari sebelah kiri terlebih dahulu, dari arah meja yang mempamerkan buku-buku yang kulit depannya sudah haus dimakan cahaya. Dari situ kita laksanakan suatu perjalanan yang semacam tawaf, melewati almari cenderamata, kemudian meneliti pilihan-pilihan buku di dua buah pulau yang umumnya memaparkan buku-buku yang berkisar tentang falsafah, sejarah, politik, dan kebudayaan Asia Tenggara. Jika perlu, kita boleh singgah di ruang tamunya di bahagian belakang, atau melanjutkan perjalanan ke rak lima tingkat Malaysiana, dan menamatkan satu pusingan di pintu masuk.
Idealnya begitu. Tetapi, trafik di Riwayat pada waktu-waktu tertentu selalunya macet. Orang singgah lama di satu-satu stesen, dan kalau berselisih, alamatnya akan berlaga punggung. Memasuki Riwayat, baik untuk beristirehat atau mencari buku, kita harus sentiasa bersedia untuk berhenti, mengalah, berundur, menyelit, atau menukar arah. Jadi, kalau kita datang semata-mata untuk sastera, kita barangkali perlu menatap sejarah terlebih dahulu, sebelum bergerak semula apabila ada peluang.
***
Setelah lebih dua tahun, Riwayat masih menjalankan perniagaan seperti biasa. Sudah tentu, pencapaian itu hadir melalui segala macam penyesuaian, bukan hanya dari segi strategi perniagaan, tetapi juga susun atur buku dan perabot dalam ruang yang sempit itu. Hal ini penting kerana Roestam ingin menjadikan tempat itu semacam astaka yang boleh menempatkan pelbagai acara seperti bacaan puisi, bedah buku, persembahan muzik, bual bicara dan juga wayang pacak. Riwayat sentiasa perlu anjal.
Dalam tahun-tahun itu juga, ramai pelajar universiti yang keluar masuk untuk membantu Roestam menyusun acara-acara. Roestam sedar benar dengan perkembangan terkini dunia perbukuan apabila ramai peniaga buku sudah berpindah, setidak-tidaknya sebahagian daripada operasi mereka, ke atas talian. Tetapi, bagi Roestam, “kedai buku fizikal lebih penting… kita tidak menolak e-commerce.” Dia percaya bahawa para pemain industri perbukuan, penulis, penyair, wartawan, orang seni, orang filem, dan sebagainya perlu berinteraksi antara satu sama lain, dan interaksi itu hanya boleh terjadi jika orang bertemu mata.
Sejak dibuka, “Riwayat mendapat sambutan yang sangat menggalakkan,” kata Roestam. “Orang dari pelbagai latar belakang datang untuk mendapatkan pandangan dan mencadangkan bentuk-bentuk kerjasama dengan kami.” Sudah tentu, ada yang menjadi, dan ada yang tidak. Itu barangkali berkat daripada kurangnya kedai buku runcitan seperti Riwayat di Kuala Lumpur. Jadi orang lebih tertumpu ke satu atau dua buah kedai buku kecil jika tidak mahu ke kedai-kedai buku besar seperti Kinokuniya. Di kedai-kedai buku kecil yang diusahakan secara mandiri dan seringkali dengan jumlah pekerja yang kecil, sentuhannya lebih peribadi. Pembaca dapat berhubung langsung dengan kuratornya, terlibat dalam perbualan, dan akhirnya mencetuskan idea-idea baharu.
Pada tahun 2015, Roestam nekad meninggalkan kerja lamanya yang menuntut banyak waktu dan tenaga. Persoalan kunci yang dia tanyakan pada waktu itu sama dengan teka-teki yang sering kita hadap: sampai bila? Sampai bila kita ingin menunggu budaya membaca kita berubah, kualiti penerbitan bertambah baik, dan dunia perbukuan bertambah pesat, jika kita tidak melakukannya sendiri. Roestam sudah melalui banyak waktu bergolak, baik yang menyentuh keluarga, mahupun tentang persoalan keberadaan diri. “Mewujudkan sebuah komuniti penulis dan pembaca yang rancak sifatnya adalah matlamat yang tidak pernah padam. Tapi, yang lebih penting adalah, abang ingin sentiasa merasa ada, melakukan, dan akhirnya mencapai sesuatu.” Kedai buku Riwayat adalah usaha Roestam untuk ke arah itu.
Izzuddin Ramli merupakan seorang penulis, penterjemah, dan penyunting. Beliau menguruskan portal esei Suara Nadi dan mengendalikan audio siar Bual Nusantara.